PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

30 Mei 2012

Sahabat, kami redha pemergianmu!

Ketika saya baru sahaja melabuhkan kepala untuk istirehat malam, kira-kira jam 1:36 pagi tadi (Rabu 30 Mei 2012) telefon tangan saya membunyikan nada pesanan (mesej) masuk. Pengirimnya Amiruzaman Sulong yang mengirimkan mesej yang berbunyi: "As-Salam... Saudara Azahar Sulong telah kembali ke Rahmatullah jam 1:30 pagi ini. Al-Fatihah."

Walaupun dalam keadaan kepala yang masih pening kerana baru sahaja terlelap, saya gagahi juga untuk bangun dan segera mengenakan pakaian serta terus bergegas keluar menuju ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk bersama menguruskan jenazahnya.

Azahar Sulong, bukan satu nama besar. Tetapi dia sangat bermakna bagi saya dalam sebuah perjuangan yang kami dokongi bersama khususnya di kawasan Seberang Takir ini. Beliau merupakan Naib Ketua merangkap Setiausaha PAS Cawangan Seberang Takir dan juga salah seorang Ahli Jawatankuasa Majlis Tindakan PAS Dun Seberang Takir yang memegang jawatan sebagai Ketua Portfolio Peralatan Pilihan Raya. 

Beliau yang boleh disifatkan sangat low profile, tetapi mempunyai peranan yang sangat besar dalam menggerakkan PAS di Cawangan Seberang Takir khususnya. Sifat beliau tidak banyak bercakap, tetapi sangat bertanggungjawab dengan sesuatu amanah dan tugas yang diberikan. Walaupun tidak banyak kemahiran kerja yang beliau miliki khususnya sebagai Setiausaha, tetapi beliau gigih menyempurnakan tugas-tugas yang berkaitan melalui pertolongan sahabat-sahabat yang lain. Beliau terkenal sebagai seorang yang sangat tekun dengan kerja atau tugas yang diberikan. Walaupun dalam keadaan serba kekurangan, beliau berjaya melaksakan sesuatu kerja dengan baik. PAS Cawangan Seberang Takir antaranya banyak bergantung kepada kesungguhan beliau sendiri bersama beberapa orang sahabat. 

Dalam usia 49 tahun, beliau dipanggil Allah untuk mengadap-Nya. Beliau dimasukkan ke HSNZ sejak Rabu (23 Mei 2012) lalu kerana darah tinggi. Pada malam Jumaat lalu, beliau terjatuh di dalam bilik air di wad HSNZ. Selepas lima hari koma, beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1:30 pagi tadi. 

Beliau pergi dalam keadaan jemaah masih memerlukan khidmat baktinya yang sangat cemerlang yang beliau telah buktikan. Tidak hairanlah hari ini, rumah keluarganya dipenuhi sahabat dan kenalan ketika menyembahyangkan jenazahnya. Begitu juga ketika mengiringi ke tanah perkuburan. Walaupun beliau bukan orang besar yang punya nama besar, tetapi Allah telah menunjukkan di atas dunia ini suasana yang ramai itu.  

Jenazahnya disembahyangkan dengan diimami oleh Ustaz Ismail Che Dagang dan saya memimpin bacaan doa ketika pengkebumiannya di Tanah Perkuburan Islam Kg Seberang Takir. 

Almarhum meninggalkan seorang balu dan enam orang anak yang berusia sembilan bulan hingga 14 tahun. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruhnya dan ditempatkan bersama orang-orang yang solih. Kami semua meredhai pemergianmu dan kami akan meneruskan perjuanganmu, sahabat! Al-Fatihah.

Tiada ulasan: