PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

23 April 2012

PAS giat usaha tawan Seberang Takir

KUALA TERENGGANU - PAS Kawasan Kuala Nerus tidak mengetepikan Dewan Undangan Negeri (Dun) Seberang Takir untuk menghadapi pihak lawan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), walaupun laluan untuk menang di kawasan itu bukanlah kerja mudah.

Setiausahanya, Zakaria Dagang tidak pernah menganggap usaha pihaknya menawan kawasan itu yang tidak pernah berhasil sebagai perkara sia-sia, sebaliknya memberi tumpuan seimbang dengan Dun lain di Parlimen Kuala Nerus.

Zakaria berkata, kekalahan di Seberang Takir bukan disebabkan rakyat enggan memilih PR, sebaliknya undi mereka ditenggelamkan dengan undi pos yang jumlahnya cukup besar.

"Pada pilihan raya umum 1999, kita menang di kesemua peti undi di Seberang Takir tetapi kalah disebabkan undi pos. Bagaimanapun kita tetap seimbangkan program kita supaya memberi kelebihan kepada PR kelak," katanya.

Pihaknya mengakui bercita-cita menawan kesemua kerusi termasuk kerusi Parlimen Kuala Nerus, di samping mengekalkan kerusi sedia ada di Dun Bukit Tunggal walaupun memperoleh undi majoriti tipis pada pilihan raya lalu.

Jelasnya, untuk memastikan hasrat itu tercapai, pihaknya sentiasa turun padang melakukan gerak kerja berterusan sehingga kini dan meningkatkan aktiviti parti menjelang pilihan raya.

Beliau berkata, jentera dan ahli parti saling bekerjasama untuk memastikan kemenangan di kesemua kerusi di kawasan Kuala Nerus.

Zakaria berkata, usaha pihaknya dengan menyampaikan isu semasa melalui ceramah umum dan disifatkan sebagai indikator masih lagi diteruskan sehingga kini, dalam masa sama turut menyangkal dakwaan segelintir pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) bahawa ceramah-ceramah PAS tidak lagi mendapat sambutan rakyat.

"Program kita dan ceramah mendapat sambutan daripada penyokong dan orang ramai. Pemimpin Umno boleh kata apa sahaja sebab program mereka mendapat sambutan kerana ada 'umpan'," katanya.

Sementara itu, beliau yakin PR dapat menawan Seberang Takir sekiranya undian awal dengan proses pengundian biasa dilakukan bagi menggantikan undi pos.

Jelasnya, keadaan itu sudah tentu akan memberi saingan sengit kepada Umno dan BN untuk mengekalkan kubu mereka di kawasan tersebut.

"Kalau betul SPR melaksanakan pengundian awal berbanding undi secara pos, kita rasa cabaran akan bertambah sengit," katanya.

Sumber: Sinar Harian

Tiada ulasan: