PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

26 Mac 2012

Pembangkang boleh berjaya jika pilihan raya telus

Bersama Pesuruhjaya PAS Terengganu dan lagenda bolasepak negara, Abdullah Ali dalam majlis makan tengahari pemimpin PAS.

KUALA TERENGGANU - Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Zakaria Dagang percaya lebih banyak negeri jatuh kepada pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sekiranya pilihan raya berjalan secara adil.

Menurutnya, sudah tentu pembangkang mempunyai potensi meluaskan kedudukannya di negeri-negeri lain termasuk Terengganu jika perjalanan pilihan raya berlaku secara telus.

"Salah satunya kebebasan media dan sekiranya hak tersebut berlaku, sudah tentu kita boleh mempertahankan negeri Selangor, Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah," katanya.

Beliau berkata, liputan terhad kepada pembangkang menyebabkan peluang untuk membalas serangan parti pemerintah terhad.

Jelasnya, dalam keadaan tertentu, parti pemerintah juga sering kali menggunakan akhbar dengan mendakwa pembangkang gagal dalam mengurus tadbir negeri dengan baik berbanding parti pemerintah.

"Dalam soal ini, kita yakin rakyat boleh menilai sendiri gambaran buruk yang diberikan parti pemerintah dan membuat perbandingan sendiri," katanya.

Bagaimanapun, pada masa sama Zakaria turut bersetuju dengan pendirian Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) yang bersetuju melaksanakan beberapa perkara yang diperjuangkan pembangkang dalam pilihan raya umum kelak.

Beliau berkata, jika kesemua tuntutan terutama yang diperjuangkan dalam himpunan Bersih 2.0 diluluskan, sudah tentu ia akan memperlihatkan perubahan ke arah proses pilihan raya yang lebih baik.

Sementara itu, mengulas keyakinan parti pemerintah merampas negeri-negeri pembangkang, beliau berkata, mana-mana parti politik akan bercakap mengenai kemenangan di pihak mereka walaupun belum tentu keputusan sebenar dalam PRU13.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan mempunyai keyakinan dalam aspek yang sama apabila percaya pembangkang dapat mengekalkan kerusi sedia ada, di samping merampas kerusi lain yang tewas.

Bagi Barisan Nasional (BN), mereka akan berkata begitu bagi memberi semangat kepada penyokong mereka, tetapi bagi PAS, kita rasa dapat kekalkan dengan apa yang sedia ada serta menambah kerusi lain. Kita yakin dengan kerja kita dan mengharapkan pertolongan Allah SWT. Insya' Allah, kita boleh menang," katanya.

Tiada ulasan: