PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

11 Jun 2012

PAS tidak gadai prinsip

KUALA TERENGGANU - PAS tidak pernah sesekali menggadai prinsip sebagaimana dakwaan sesetengah pihak yang menganggap PAS sanggup berbuat demikian akibat tekanan PKR dan DAP. 

Penolong Setiausaha PAS Negeri Terengganu, Zakaria Dagang berkata, PAS tetap kental dengan prinsip perjuangan parti sehingga kini dan tidak tunduk kepada tekanan mana-mana pihak. 

Sehubungan itu, katanya, tidak timbul isu PAS menjadi kuda tunggangan kedua-dua parti itu kerana pihaknya mempunyai kekuatan tersendiri dalam politik tanah air. 

"Perkara ini jelas dari sudut kepimpinan utama termasuk apa yang diperjelas oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak berganjak dengan prinsip asal. Jadi isu kuda tunggangan ini tidak timbul. 

"Sekalipun pihak tertentu memainkan isu kita menggadai prinsip demi rakan-rakan Pakatan Rakyat (PR), itu semua tidak berlaku kerana kita kekal dengan perjuangan," katanya kepada Sinar Harian, di sini. 

Beliau menjelaskan, PAS bukanlah parti yang lemah dan mengharapkan kekuatan parti lain kerana parti itu sendiri mampu menggerakkan jentera yang ramai. 

Jelasnya, kekuatan PAS boleh dilihat melalui Himpunan Hijau ke Putrajaya pada awal Jun lalu.

"Kita mempunyai kekuatan tersendiri. Jadi, tidak timbul soal PAS berpendirian sebaliknya kerana kita tiak lari dari prinsip asas," katanya.

Zakaria bagaimanapun tidak menolak sikap toleransi dalam beberapa perkara yang ditunjukkan PAS mungkin menyebabkan sesetengah pihak salah faham mengenai tindakan yang diambil. 

Beliau berkata, tolak ansur tetap berlaku selagi ia tidak melanggar prinsip perjuangan parti.

"Dari segi kerja kita, orang mungkin nampak kita tunduk kepada tekanan dan desakan tetapi kita sebenarnya tidak lari dari perjuangan Islam," katanya.

Sumber: Sinar Harian

Tiada ulasan: