PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

25 November 2008

Misi Kemboja (7): Kenangan sepanjang jalan (Akhir)

SABTU, 8 November 2008, hari keenam musafir kami di bumi Kemboja.

Hari ini adalah hari terakhir kami berada di Kampot, Kemboja. Sepatutnya pada awal pagi lagi kami berangkat untuk menghala ke jalan pulang, tetapi oleh kerana masih ada lagi urusan yang belum selesai di sini, kami lewatkan sedikit perjalanan kami.

Sebagaimana yang dijanjikan, satu lagi majlis diatur di Madrasah A-Islah, Kampung Gendal, Kampot. Kami bergegas ke situ untuk menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM3,452 dan USD200 bagi menyiapkan pembinaan sebuah kantin untuk anak-anak yatim di sekolah itu. Sumbangan itu disampaikan kepada mudir madrasah.



Kerana sudah kelewatan masa, kami segera pula pulang ke rumah Ustaz Sulaiman untuk menunggu kenderaan yang akan membawa kami ke Koh Kong, sebuah bandar yang berhampiran dengan sempadan Thailand. Kira-kira jam 9.15 pagi, sebuah van Hyundai tiba untuk menjemput kami. Di dalamnya ketika itu sudah ada 15 orang penumpang (termasuk pemandu). Sedangkan sepatutnya muatan van itu hanya seramai 11 orang sahaja. Sebaris tempat duduk dikosongkan untuk kami berempat.

Di tengah jalan masih sempat lagi menambah penumpang sehingga terkumpul seramai 22 penumpang (termasuk pemandu) dengan tiga orang berada di atas bumbung. Tidak cukup dengan manusia, van itu dipenuhi pula dengan barang-barang penumpang di bahagian belakang tempat duduk dan di atas bumbung termasuk ayam dan pukat. Cukup lengkap pakejnya. Itulah keistimewaan Kemboja yang kita tidak akan jumpai di tempat kita. Tidak ada sekatan jalan raya, tidak ada polis dan tidak ada JPJ di sepanjang perjalanan.

Perjalanan yang memakan masa empat jam setengah itu melalui jalan ke selatan dan barat daya Kemboja. Jalan rayanya yang baru siap itu agak baik juga walaupun tidak seluas lebuh raya di negara kita.

Di dalam van yang kami naiki itu, kami sempat berkenalan dengan sebuah keluarga Muslim yang terdiri daripada dua orang ibu (nenek), seorang anak lelaki (suami) dan isterinya serta seorang anak perempuan kecil. Lelaki itu bernama Ariffin , berusia 20-an yang fasih berbahasa Melayu. Banyak maklumat yang perolehi dari beliau, dan beliau menjadi jurubahasa kami.

Bersama kami juga seorang pemuda warga Britain dari London, Simon Black yang berusia 22 tahun yang mengembara sejak September lalu untuk tempoh sepanjang setahun ke beberapa negara. Oleh kerana beliau keseorangan, beliau bersetuju untuk bersama kami hingga ke Bangkok.

Jam 12.30 tengah hari, van berhenti untuk makan tengah hari setelah sebelum itu berhenti di sebuah kedai makan non Muslim. Kali ini ia berhenti di sebuah kedai makan Muslim di Tra Peang Roung. Kami sangat berbesar hati kerana pemilik kedai itu sekeluarga fasih berbahasa Melayu. Menurut mereka, selama empat tahun mereka tinggal di Malaysia.

Kami selamat tiba di bandar Koh Kong kira-kira jam 1.45 petang dan van tersebut terus menghantar kami ke Masjid Kampung Poh Buong, tidak jauh dari bandar. Ketika kami bersolat di masjid, Simon duduk di bahagian luar masjid menunggu kami penuh setia.

Di masjid itu juga terdapat sebuah madrasah/sekolah agama. Pada kesempatan itu juga kami menyampaikan sedikit sumbangan kepada guru agama di situ iaitu Ustaz Sulaiman. Sepatutnya kami turut mengadakan sembelihan aqiqah di kampung itu, tetapi terdapat sedikit kesilapan teknikal, kami terpaksa tangguhkan hasrat itu.

Setelah kira-kira satu jam setengah berada di masjid itu, kami mula bertolak menuju ke sempadan Thailand dengan menaiki sebuah teksi. Pemandu teksi itu bernama Abdul Karim, warga Kemboja yang juga fasih berbahasa Melayu.

Lima belas minit kemudian, kami tiba di sempadan, Had Lek, sebuah pekan kecil di sebelah Thailand. Setelah selesai urusan pasport kami di imigresen kedua-dua negara, kami mula mendapatkan kenderaan untuk meneruskan perjalanan ke Trat, sebuah bandar di tenggara Thailand. Untuk sampai ke situ, kami menaiki sebuah van pick up. Van itu menurunkan kami di pekan Khlong Yui dan transit van lain untuk ke Trat.

Dalam perjalanan kami di senja hari itu, kami melalui pesisir pantai Teluk Siam yang banyak terdapat kawasan pelancongan. Sebanyak tiga sekatan jalan raya oleh pihak polis Thailand yang kami temui sepanjang jalan itu. Namun tidak ada pemeriksaan ketat terhadap kami, sekadar melihat pasport salah seorang daripada kami sahaja.

Kami tiba di bandar Trat pada jam 6.35 malam. Stesen bas baru di bandar itu sungguh cantik sekali. Kami segera pula mendapatkan tikit bas ekspres untuk ke Bangkok. Bas mula bertolak pada jam 7.00 malam dan tiba di Stesen Bas Mochit pada jam 11.45 malam. Teman mat saleh kami, Simon turut bersama dalam bas itu.

Di situ kami menghadapi masalah untuk bersolat kerana surau di stesen bas itu telah ditutup. Lalu kami mengambil teksi untuk ke Stesen Keretapi Bangkok dengan harapan ia masih dibuka dan kami dapat bersolat di surau yang berada di situ. Malang lagi nasib kami kerana stesen itu juga telah ditutup.

Kami mengambil keputusan untuk mencari masjid yang berhampiran. Dengan menaiki tuk-tuk kami dibawa ke Masjid Mohanak yang letaknya tidak jauh dari stesen itu. Nasib tidak menyebelahi kami lagi, kerana masjid juga sudah ditutup. Kami terpaksa bersolat di atas bangku panjang di luar pagar masjid.

Di luar jalan besar hadapan masjid itu sudah kedengaran hiruk-pikuk suara manusia yang sedang menjalankan aktiviti perniagaan yang baru bermula jam 2.00 pagi. Kami mengambil kesempatan untuk membeli-belah sedikit pakaian sebagai buah tangan untuk keluarga di rumah.

Pagi Ahad, 9 November 2008, kami mandi dan solat Subuh di Masjid Mohanak. Selepas itu terus ke stesen keretapi untuk mendapatkan tikit bagi perjalanan ke Sungai Golok. Trip yang paling awal ialah jam 3.10 petang.

Kami mengambil sarapan pagi di sebuah kedai makan Muslim berhampiran stesen keretapi itu. Di situ kami berkenalan dengan seorang rakyat Thailand dari Chiang Mai, Adun Wab seorang kakitangan kerajaan (Jabatan Taliair) yang berasal dari Selatan Thailand. Beliau fasih berbahasa Melayu. Beliau turut mempelawa kami untuk bersiar-siar ke tempat membeli-belah di bandaraya Bangkok. Jenuh berjalan juga kami melalui lorong-lorong kawasan perniagaan di situ.

Kami berehat di surau stesen keretapi itu sementara menunggu waktu bertolak. Di situ kami dapat berkenalan dengan ramai saudara Muslim, sama ada dari Thailand sendiri, dan termasuk dari China.

Tepat jam 3.30 petang, keretapi ekspres Bangkok - Sungai Golok berlepas dari stesen Bangkok untuk satu perjalanan yang panjang memakan masa 21 jam. Di dalam keretapi itu kami bertemu dengan pelbagai ragam manusia, termasuk jurujual yang menjaja makanan di setiap perhentian. Tetapi kami tidak dapat merasai makanan yang dijual itu kerana status halalnya diragui. Nasib baik juga kami telah membeli bekalan nasi sebelum bertolak tadi, dapatlah mengalas perut sepanjang perjalanan itu.

Dari waktu petang hingga ke malam dan seterusnya sampai pagi dan menjelang tengah hari, barulah kami tiba di Stesen Keretapi Sungai Golok. Sebelum menuju ke sempadan, kami sempat membeli sedikit buah-buahan di pekan Sungai Golok untuk dibawa balik. Sekali lagi kami menaiki motorsikal yang menjadi pengangkutan utama dari stesen keretapi ke sempadan.

Keika melintasi pihak berkuasa Malaysia di sempadan masuk Rantau Panjang, kami diminta membuka beg dan salah seorang rakan kami diperiksa lanjut. Agak terkilan juga kami kerana sepanjang perjalanan kami beberapa hari di negara orang, sama ada Thailand atau Kemboja, pihak berkuasa mereka tidak pernah pun bertanya tentang beg yang kami galas. Tetapi tiba-tiba di tanahair sendiri kita dilayan sebegini rupa...

TAMAT.

Tiada ulasan: