PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

21 Mac 2012

Balai raya jadi markas pilihan raya

KUALA NERUS - Pemimpin Umno setempat terutamanya Ketua Penerangan Umnno Terengganu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman dikecam kerana menjadikan sebuah balai raya di Kampung Seberang Takir sebagai Markas Pilihan Raya Barisan Nasional (BN).

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Seberang Takir, Ustaz Zakaria Dagang menyifatkan tindakan Umno menjadikan sebuah balai raya sebagai markas parti tidak wajar kerana balai raya merupakan bangunan awam bagi kegunaan orang ramai tanpa mengira fahaman parti politik.

Menurutnya, pemimpin Umno-BN termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang juga Exco Kerajaan Negeri tidak tahu bezakan antara hak parti dengan hak kerajaan.

“Kami (PAS) kesal dan dukacita dengan tindakan pemimpin Umno setempat yang juga wakil rakyat (Adun) Seberang Takir, Haji Razif sendiri benarkan balai raya dijadikan markas parti (BN).

“Jika Exco (Razif) sendiri pun tidak ‘reti’ (tahu) hak kerajaan dengan hak parti. Saya minta rakyat ‘ajar’ (ubah) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang,” tegasnya ketika ditemui Harakah, 20 Mac lalu.

Katanya, balai raya merupakan hak orang ramai dan itu bukan harta parti Umno atau Barisan Nasional, tetapi harta kerajaan.

Menurutnya, rakyat melihat tindakan tidak bermoral pemimpin Umno-BN yang rakus menjadikan harta kerajaan sebagai milik parti.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu yakin dengan perkembangan semasa Umno dan kerajaan BN Terengganu bakal ditumbangkan pada PRU13.

“Alhamdulillah, kita (PAS) lihat senario politik semasa di negeri (Terengganu) ini. Umno-BN akan tumbang walau pun pelbagai janji manis ditabur kepada rakyat.

“Sokongan pengundi muda dan pengundi ‘senyap’ yang tidak puas hati dengan kerajaan (BN) tetapi tidak mahu ‘menunjuk’ (jelas). Mereka tetap tolak Umno-BN, insya’ Allah,” jelasnya.

Katanya, persediaan PAS bagi menghadapi pilihan raya tersebut berada pada tahap maksimum, hanya menunggu Parlimen dan Dun dibubarkan.

Ustaz Zakaria Dagang pernah bertanding sebagai calon PAS di Dun Seberang Takir pada tahun 2004 tetapi kalah kepada calon BN, Mohd Shapian Ali dengan majoriti 1,980 undi.

Sumber: Buletinonline
Baca Seterusnya......

05 Mac 2012

Hasan jadi kuda tunggangan Umno

KUALA TERENGGANU - PAS menyelar kenyataan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali yang mendakwa parti itu sebagai kuda tunggangan PKR dan DAP.

Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Zakaria Dagang sebaliknya menegaskan, Hasan sebenarnya menjadi kuda tunggangan Umno dan Barisan Nasional (BN) berdasarkan program pentas beliau mendapat sokongan Umno.

"Kalau dia kata kita kuda tunggangan PKR dan DAP, sebenarnya dia adalah kuda tunggangan Umno kerana dia berada di pentas atas paltform Umno. Walaupun tidak nampak (penglibatan Umno), namun kita tahu di belakangnya adalah Umno," katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau turut tidak menolak kebolehan Hasan dalam membuat orang ramai yang hadir ke programnya menangis, namun kenyataannya yang memburukkan PAS tidak sesekali memberi inpak negatif kepada parti itu.

Tidak dinafikan katanya, Hasan bergerak sebagai musuh PAS ketika ini apabila kerap kali mengeluarkan kenyataan kurang baik mengenai PAS dan masih menyalahkan parti itu berhubung pemecatan keahlian beliau baru-baru ini.

Menurutnya, kenyataan Hasan juga senada dengan musuh-musuh PAS lain yang dilihat cuba melemahkan keyakinan rakyat terhadap parti.

"Apabila terlalu banyak bercakap, semakin nampaklah tembelang dan kenyataan beliau mengenai PAS tidak memberi kesan.

"Apabila berada di luar parti, musuh memang akan bercakap begitu (memburukkan parti) dan sekarang ini menampakkan beliau begitu (musuh PAS)," katanya.

Mengulas ramalan Hasan bahawa PAS akan kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Zakaria enggan membalas kenyataan Hasan, sebaliknya menganggap itu hanya pandangan beliau.

Menurutnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu bebas mengkritik atau berkata apa sahaja mengenai PAS memandangkan beliau tidak bersama mana-mana parti ketika ini.

"Kita rasa kedudukan PAS ketika ini menampakkan parti semakin kuat dengan apa yang berlaku," katanya.

Dalam laporan Sinar Harian sebelum ini, bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Ali meramalkan PAS akan mengalami kekalahan teruk dalam PRU-13 nanti, ekoran terpesong daripada matlamat perjuangan sebenar serta hanya menjadi kuda tunggangan DAP dan PKR semata-mata.

Beliau berkata, sebaliknya DAP dan PKR akan kekal meraih kemenangan besar tidak sebagaimana PAS yang telah hilang keyakinan ahli dan penyokong.

Sumber: Sinar Harian.
Baca Seterusnya......

04 Januari 2012

Mana Memorial Hudud yang dijanjikan ADUN Seb Takir?

[Gambar - Kawasan 'Tebing Tinggi' di Kampung Seberang Takir di mana menurut sejarahnya adalah tempat 'takir tangan' (potonng tangan) menurut Undang-Undang Islam Itqan al-Muluk Bi Ta'Dil al-Suluk yang dilaksanakan semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Kini menjadi taman rekreasi di mana asalnya mungkin tapak Memorial Hudud yang dijanjikan]

KUALA NERUS - Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Undang-Undang Itqan al-Muluk Bi Ta’Dil al-Suluk, PAS DUN Seberang Takir mempersoalkan, di manakah Memorial Hudud yang pernah dijanjikan oleh Kerajaan Umno dan Barisan Nasional?

Menurut Pengarah Majlis Tindakan DUN Seberang Takir, Ustaz Zakaria Dagang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Ahmad Razif Abdul Rahman pernah menyebut bahawa kerajaan merancang untuk membina Galeri Hudud di Kampung Seberang Takir.

Beliau yang dihubungi Buletinonline berkata, pertanyaan tersebut sudah acap kali diajukan kepada Ahmad Razif terutamanya, dalam majlis dan ceramah penerangan PAS.

Namun, katanya, Razif tidak pernah menjawab, sama ada kerajaan akan meneruskan atau sebaliknya, rancangan membina kawasan bagi memperingati sejarah perlaksanaan undang-undang hudud pada zaman Sultan Zainal Abidin III.

“Dia (Razif) nak buat monumen atau tanda bahawa Seberang Takir sebagai satu tempat perlaksanaan hukum hudud.

“Nak buat (memorial) sebab asal nama Seberang Takir ini adalah 'seberang tempat orang takir tangan', tempat orang potong tangan (dalam) perlaksanaan hukum hudud pada zaman Sultan Zainal Abidin III dulu,” ujar Ustaz Zakaria dalam ceramahnya yang dirakam Buletinonline di Kampung Duyung pada 13 Disember lalu.

Menurut beliau, Kampung Seberang Takir tercatat dalam sejarah pelaksanaan hukum Islam di negeri ini, iaitu semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881 - 1918).

Katanya, asal nama Seberang Takir ialah apabila sultan memerintah pesalah kes kecurian dipotong (takir dalam istilah/loghat Terengganu) tangannya di seberang. Akhirnya timbullah nama Seberang Takir yang bermaksud seberang tempat takir (potong) tangan pencuri.

Ustaz Zakaria yang juga Penolong Setiausaha PAS Terengganu berkata, PAS menyokong pembinaan memorial itu walaupun tujuan Razif mahu membina memorial tersebut adalah untuk tarikan pelancong.

Tetapi, katanya, mungkin kerajaan Umno/BN tidak akan membina memorial tesebut kerana dasar Umno/BN yang tidak menyokong perlaksanaan hukum Islam itu.

“Tapi, saya rasa dia (Umno/BN) tak buat doh, pasal kalau dia buat pun akan memakan dirinya, (kerana) dia duk marah ke Hudud, marah ke hukum Islam, tib-tiba dia nak buat (Menorial Hudud)…memang dia tak akan buat,”jelasnya.

Sumber: Buletinonline.
Baca Seterusnya......

30 Disember 2011

Sambutan 100 Tahun Itqan al-Muluk Bi Ta'dil al-Suluk

Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu akan menganjurkan program Sambutan 100 Tahun Itqan al-Muluk Bi Ta'dil al-Suluk (Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu) atau juga disebut Perlembagaan Terengganu 1911.

Program akan dilangsungkan pada 6 & 7 Januari 2012, bertempat di Kampung Gaung, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Pelbagai acara telah disusun sepanjang dua hari program berlangsung. Antaranya dua ceramah perdana bagi dua malam berkenaan yang menampilkan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat (Mursyidul-Am PAS), Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Presiden PAS) dan Dato' Seri Anwar Ibrahim (Ketua Umum PKR) serta beberapa pemimpin utama Pakatan Rakyat.

Selain itu acara Diskusi Khas mengenai Itqan al-Muluk turut membariskan panel terdiri daripada Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang (Presiden PAS), Dato' Harun Taib (Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat) dan Dato' Dr Mohamad Abu Bakar, seorang tokoh sejarah yang berasal dari Marang, Terengganu.

Ustaz Azhar Idrus turut terlibat menyampaikan Kuliah Dhuha pada pagi Sabtu (7 Januari). Selebriti Iwan Shahman dan Ustaz Mohd Zamri Zainuldin akan mengisi slot-slot khas dalam program tersebut. Acara-acara khas yang melibatkan pemuda dan muslimat turut diadakan.

Pameran mengenai undang-undang Islam akan disediakan sepanjang program berlangsung. Sementara buku khas mengenai Itqan al-Muluk akan diterbitkan dan dijual dalam program tersebut.
Baca Seterusnya......

30 November 2011

Ekspedisi Ukhuwwah ke Kg Mak Jintan


KUALA NERUS - PAS Kawasan Kuala Nerus akan terus mengambil tanggungjawab membantu para penduduk Kampung Mak Jintan walaupun kampung tersebut terpisah dari persempadanan politik dengan kawasan parlimen itu.

Menurut Yang Dipertua PAS Kuala Nerus, Cikgu Shukrimun Shamsudin, program ziarah dan sumbangan bantuan berterusan ke kampung terbabit memandangkan ia tidak diambil perhatian oleh pihak berwajib.

"Kita sentiasa buat lawatan, tanpa mengikut musim, insya' Allah, kerana kita tahu di sini kurang diberi perhatian sangat oleh pihak berwajib, maka kita mengambil tangungjawab ini bagi kawasan kita (Kuala Nerus)," ujarnya ketika ditemui Skuad Buletin selepas program Ekspedisi Ukhuwwah yang diadakan pada Ahad, 1 Muharram 1433 bersamaa 27 November lalu.

Beliau berkata, PAS memberikan bantuan berupa barangan dapur bagi meringankan beban penduduk menghadapi musim banjir sekadar termampu.

Menurutnya yang juga Bendahari PAS Terengganu, sebelum ini PAS Kuala Nerus menyumbangkan sebuah penjana elektrik bermotor untuk kegunaan penduduk dan insya' Allah akan meningkatkan taraf hidup penduduk, sekiranya diberi mandat menjadi kerajaan.

"Kita datang ke sini bawa apa-apa yang kita mampu setakat ini. Penduduk di sini biasanya bersungut masalah jalan, tiang api pun tak ada lagi, yang itu biasalah. Setakat 'enjin api' (yang kita beri) itu sudah boleh dipakai.

"Dalam keadaan kita bukan (diberi mandat sebagai) kerajaan (kalau) nak bantu untuk buat jalan memang kita tidak mampu lagi," jelasnya.

Walaupun beliau tidak lagi menjadi Ahli Parlimen Kuala Nerus, Cikgu Shukrimun berazam akan terus memberikan khidmat dan merapatkan ukhuwwah di antara PAS dengan penduduk Kampung Mak Jintan.

"Kita akan sentiasa datang ke sini dan kita tidak mahu putus hubungan. Kalau sekiranya berlaku bersempadanan semula kawasan pilihan raya pun, insya' Allah, kita akan teruskan kerana hubungan kita bukan (setakat) hubungan politik, (namun) hubungan ukhuwwah," tegasnya.

Turut sama dalam rombongan PAS Kuala Nerus adalah Penolong Setiausaha PAS Terengganu merangkap Setiausaha PAS Kuala Nerus Ustaz Zakaria Dagang, Ahli-ahli Jawatankuasa PAS Kawasan dan Pemuda DUN Tepuh.
Baca Seterusnya......

31 Oktober 2011

PAS punya kekuatan sendiri

KUALA TERENGGANU – PAS membina kekuatan tanpa mengharapkan kelemahan di pihak lawan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Zakaria Dagang berkata, kelemahan yang dikenal pasti di pihak Barisan Nasional (BN) khususnya boleh dianggap sebagai bonus, namun bukan sebagai penambah kekuatan kepada parti itu.

Beliau berkata, sekalipun BN dikatakan mempunyai beberapa kepala sehingga mewujudkan pasukan tertentu, namun PAS tidak akan mengambil kesempatan terhadap peluang tersebut.

“Kita membina kekuatan sendiri tanpa mengharapkan perpecahan dalam kalangan musuh walaupun ia dilihat satu bonus kepada kita,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di sini.

Mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta BN bekerja sebagai satu pasukan dalam menghadapi pilihan raya akan datang, Zakaria tidak menolak BN mungkin mempunyai beberapa pasukan sehingga pemimpin kedua tertinggi Umno itu menyarankan perkara sedemikian.

Bagaimanapun, sepanjang berada dalam politik tanah air, Umno dilihat mempunyai banyak pasukan dan tidak terkecuali di peringkat negeri.

“Mungkin Muhyiddin mahu menggambarkan dalam kalangan pemimpin yang mempunyai pasukan itu tiada persamaan dari segi fikrah (fikiran) dan kita juga turut mendengar bahawa beliau dan Perdana Menteri dalam pasukan berbeza.

“Segelintir orang tahu dalam Umno sendiri memang ada ‘team’ dan klik tertentu sehingga membawa kepada perebutan kuasa dan kerusi,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan semangat satu pasukan boleh membentuk kekuatan dalaman parti selain mendapat keyakinan daripada orang ramai.

“Kita ambil contoh macam pasukan bola sepak, mesti ada satu kapten dan satu arahan untuk memastikan matlamat untuk mencapai kejayaan tercapai dan dalam politik pun, sepatutnya begitu,” katanya.

Sumber: Sinar Harian
Baca Seterusnya......

07 Oktober 2011

Selamat Hari Lahir, Baiyyinah!



Tanggal 7 Oktober 2005, tepat jam 3.09 petang, hari ketiga umat Islam menjalani ibadat puasa Ramadhan, di Dewan Bersalin Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, kami dilimpahkan kegembiraan dengan kelahiran anak kesembilan.

Dia menjadi anak kami yang satu-satunya dilahirkan di hospital setelah tujuh abang dan kakaknya lahir di rumah neneknya serta seorang kakaknya lahir di Klinik Kesihatan Seberang Takir.

Rupanya dia menjadi anak bongsu dalam keluarga ini sekaligus menjadi pelengkap kepada keluarga kami.

Hari ini umurnya genap enam tahun, yang merupakan tahun persediaan untuk beliau menapak ke sekolah rendah apabila masuk umurnya tujuh tahun nanti. Sudah dua tahun beliau berada di prasekolah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).

Banyak keistimewaan yang ada pada anak bongsu kami ini. Dia disenangi oleh ramai orang dengan sikap 'over' peramahnya. Di mana sahaja keberadaannya, pasti mencuri perhatian orang. Siapa sahaja yang ditemuinya pasti disapa, tanpa rasa segan dan malu.

Kalau melawat hospital, beliau akan pergi ke katil-katil pesakit dan bertanya dengan pelbagai soalan mengenai pesakit berkenaan. Masuk ke bank, habis disinggahnya ke kaunter dan menyapa pekerja di situ, hingga sampai masuk ke bilik pengurus.

Oleh kerana beliau seorang kanak-kanak, tidak ada orang yang memarahinya. Lagipun tidak ada tindakan yang melampau yang dilakukannya. Bahkan beliau dipuji oleh orang-orang yang 'ditemuinya' mungkin kerana keberanian dan kepetahannya.

Setiap hari bekerja, beliau akan berada di pejabatku setelah pulang dari sekolah. Beliau disenangi oleh semua petugas di pejabat, bahkan juga pengunjung-pengunjung yang datang sekali sekala. Boleh dikatakan semua mengenalinya. Bahkan juga beliau mengenali pemimpin-pemimpin PAS, terutama dari negeri ini.

Itulah Nur Rahmah Baiyyinah. Semoga beliau lebih matang pada usianya hari ini, insya' Allah. Catatan lain yang berkaitan dengan Baiyyinah boleh dilihat di sini dan di sini.
Baca Seterusnya......

03 Oktober 2011

Teks Khutbah Presiden PAS mengenai Hudud

خطبة جمعة

كهيباتن اسلام دڠن حكوم حدود

الحَمْدُ للهِ الّذِى أنْزَلَ عَلَى عَبدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَلْ لَهُ عِوَجًا. أَشْهَدُ أَنْ لاَإِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ. لَهُ الأَسْمَاءُ الْحُسْنَى وَالصِّفَاتُ العُلَى. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ حَبِيْبِنَا وَشَفِيْعِنَا وَقُدْوَتِنَا وَأُسْوَتِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنِ اهْتَدَى. أَمَّا بَعْدُ.
فَيَا عِبَادَ اللهِ! اتَّقُوْا اللهَ. وَتَزَوَّدُوْا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ.

واهي همبا2 الله! برتقوىله کڤد الله دڠن مڠيكوت سڬل فرينتهڽ دان منيڠڬلكن سڬل لارڠنڽ. چاريله بكالن، سبأيك٢ بكالن اياله برتقوى. مك سسڠڬوهڽ برجياله اورڠ٢ يڠ برتقوى.

سيدڠ جمعة سكلين،

الله سبحانه وتعالى مڠوتوسكن رسول٢ عليهم الصلاة والسلام مڠاجق مأنسي كفد اسلام فتنجوق دان اجارن الله يڠ واجب دفاتوهي سچارا مڽره ديري دڠن يقين الله سبحانه وتعالى ايت بوكن سهاج توهن يڠ مها اسا يڠ تيدق اد سكوتو باڬيڽ، الله جوڬ برصفة دڠن سڬل صفة كسمفرنأن. دانتاراڽ اياله صفة عاديل يڠ مطلق، تيدق اد ظاليم سديكيت فون درفد الله سبحانه وتعالى.

دانتارا رحمة الله يڠ تيدق ترهڠڬ كفد همبا٢ڽ اياله منورونكن حكوم شريعة ملالؤى نبي٢ دان رسول٢ عليهم الصلاة والسلام. مك نبي٢ دان رسول٢ عليهم الصلاة والسلام مننجوقكن كفد مأنسي بوكن سهاج مڠاجر حكوم شريعة، بهكن برعمل. بوكن سهاج حكوم يڠ بركأيت دڠن ديري ماسيڠ٢ دان كلوارڬ، ترماسوقله حكوم دان اوندڠ٢ بركأيت دڠن فمرينتاهن نڬارا.

مك نبي٢ دان رسول٢ عليهم الصلاة والسلام بردفن دڠن كراجأن يڠ ظاليم دزمان ماسيڠ٢. دانتارا كظاليمن ايت اياله تيدق ملقسناكن حكوم الله سبحانه وتعالى.

دكالڠن نبي٢ ايت اد يڠ برجاي دبري كسمفاتن اوله الله سبحانه وتعالى منڬقكن نڬارا دان فمرينتاهن دان اد يڠ تيدق سمفت، تتافي مواريثي فڠيكوت٢ يڠ برجاي منڬقكن نڬارا دان فمرينتاهن يڠ ملقسناكن حكوم الله سبحانه وتعالى.

دانتارا حكوم٢ يڠ ماسيه تيڠڬل دسمفيڠ القرءان الكريم، كتاب معجزة يڠ تيدق بوله دهافسوكن سهڠڬ هاري قيامة اياله ساقي باقي يڠ اد ددالم كتاب توراة يڠ دعملكن اوله اورڠ٢ يهودي بني اسرائيل دان كتاب انجيل دفرينته برعمل دڠن توراة كفد فڠانوت٢ اڬام كريستيان.

دانتارا اوندڠ٢ يڠ دسبوت ددالم توراة اياله اوندڠ٢ قِصَاص دان حدود يڠ بركأيت دڠن كسالهن جناية. افبيل برلاكو دكالڠن راج٢ دان فميمفين٢ بني اسرائيل مڠرجاكن معصية سفرت برزنا، ممينوم ارق دان سباڬيڽ، دڠن براني مريك مميندا حكوم الله سبحانه وتعالى دان مڠاداكن حكوم سمفيڠن يڠ تيدق دايذين اوله الله سبحانه وتعالى. الله سبحانه وتعالى مڠيڠتكن اومة محمد صلى الله عليه وسلم ملالؤي وحي يڠ دتورونكن كفد رسول الله صلى الله عليه وسلم:

وَلَقَدْ أُوحِىَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَسِرِينَ.
(سورة الزمر : ٦٥)
(مقصودڽ): دان سسڠڬوهڽ تله دوحيوكن كفدامو (واهي محمد) دان كفد نبي٢ يڠ تردهولو درفدامو: "دمي سسڠڬوهڽ، جك اڠكو (دان فڠيكوت٢مو) ممفرسكوتوكن (سسوات يڠ لأين دڠن الله) تنتوله اكن ڬوڬور عمالنمو، دان اڠكو اكن تتف منجادي دري اورڠ٢ يڠ روڬي."

دانتارا شريك ايت اياله مڠاداكن حكوم سنديري دالم فركارا يڠ تيدق دايذين اوله الله سبحانه وتعالى. فرمان الله تعالى:

أَمْ لَهُمْ شُرَكَــئُوا شَرَعُوا لَهُم مِنَ الدِّينِ مَالَمْ يَأْذَن بِهِ اهُن .
(سورة الشورى : ٢١)
(مقصودڽ): فاتوتكه مريك ممفوڽأي سكوتو٢ يڠ مننتوكن مان٢ بهاڬين دري اڬام مريك سبارڠ اوندڠ٢ يڠ تيدق دايذينكن اوله الله.

رسول الله صلى الله عليه وسلم تله برجواڠ باڬي منڬقكن سبواه كراجأن يڠ ملقسناكن شريعة الله سهڠڬ منولق تاوارن منجادي راج دان فميمفين، جوڬ دتاوركن هرتا يڠ باڽق كتيك براد دالمكة المكرمة كران نڬارا يڠ دتاوركن ايت تيدق ملقسناكن شريعة الله سبحانه وتعالى.

مك رسول الله صلى الله عليه وسلم برهجرة المدينة النورة ستله كالڠن فندودقڽ مڽره ديري دان هرتا مريك سرت تانهأير مريك باڬي منڬقكن شريعة الله سبحانه وتعالى. مك الله ممرينتهكن فارا صحابة يڠ مڠانوت اسلام سبلومڽ سفاي برهجرة. ستله دڬابوڠكن ڬولوڠن مهاجرين دان انصار ترتڬقڽ نڬارا المدينة النورة، مك الله منورونكن سورة٢ مدانية (سورة٢ يڠ دتورونكن دمدينة) يڠ تركندوڠ ددالمڽ داسر دان اوندڠ٢ نڬارا. دانتاراڽ اياله اوندڠ٢ جناية باڬي مڠاول كأمانن دان كسلامتن، اوندڠ٢ قصاص دان حدود.

افبيل رسول الله صلى الله عليه وسلم منجاتوهكن حكومن ترهادف سئورڠ فرمفوان بڠساوان (كنمأن) يڠ تله ملاكوكن كسالهن منچوري دڠن فڠاكوان دان كڽتأن يڠ جلس، مك دجاتوهكن حكومن حدود يأيت دفوتوڠ تاڠن. مك ڬمفرله دكالڠن بڠساوان٢ قريش يڠ تله مڠانوت اسلام. مريك براس فليق دان لوار بياس بڬيمان سئورڠ بڠساوان بوله دجاتوهكن حكومن فوتوڠ تاڠن.

مريك تيدق براني انتوق مرايو كفد رسول الله صلى الله عليه وسلم كران كهيباتنڽ. لالو مريك ممينتا جاس بأيك أُسَامَة بن زيد رضي الله عنهما، چوچو اڠكت رسول الله صلى الله عليه وسلم، سئورڠ صحابة يڠ ساڠت دسايڠي اوله رسول الله صلى الله عليه وسلم. بليو دمينتا سفاي مرايو كفد رسول الله صلى الله عليه وسلم اڬر دبيبسكن فرمفوان ايت درفد دجاتوهكن حكومن حد ايت.

دمي مندڠر فرمنتأن أسامة، تيبا٢ رسول الله صلى الله عليه وسلم براوبه واجهڽ كران مركا دان برسبدا كفد أسامة:
أَتَشْفَعُ فِىْ حَدٍّ مِنْ حُدُوْدِ اللهِ؟
(مقصودڽ): اداكه اڠكو ممنتا شفاعة دالم حكوم حد يڠ دڽتاكن حكومنڽ اوله الله؟

يعني حكومن يڠ دتتفكن اوله الله ددالم كتابڽ، اڠكو منتا اكو سفاي منيڠڬلكن حكومن اين. كمدين رسول الله صلى الله عليه وسلم كلوار كمسجد مڽمفيكن اوچافن كفد فارا صحابة بركنأن رايوان سفاي دهافوسكن حكومن حد يڠ دكناكن كأتس فرمفوان بڠساوان ايت، دان منروسكن اوچافن دڠن سبداڽ:

إِنَّمَا هَلَكَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلكُمْ أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الْحَدَّ. وَإِنِّى وَالَّذِى نَفْسِىْ بِيَدِهِ وَلَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا. (رواه مسلم)
(مقصودڽ): سسڠڬوهڽ تله بيناسله اومة يڠ تردهولو درفد كامو افبيل اورڠ بڠساوان ملاكوكن كسالهن منچوري مريك ممبيبسكنڽ، تتافي افبيل اورڠ يڠ لمه ملاكوكن كسالهن ايت مريك دحكوم دڠن حد. دمي الله، جك سكيراڽ فاطمة بنت محمد منچوري، نسچاي اكو فوتوڠ تاڠنڽ.

اين مننجوقكن فنڬاسن دالم ملقسناكن حكوم الله سبحانه وتعالى دان ملقسناكن حكوم اين منجادي كهيباتن باڬي اومة اسلام يڠ مڠڬرونكن موسه٢ اسلام كران كعاديلن دان كأمانن يڠ وجود ددالم مشاركت اسلام.

كتيك تنترا اسلام مڠواسأي ولايه روم تيمور، راج روم تيمور يڠ مڠوندوركن تنتراڽ كأوتارا شام ممنتا فڠينتيفڽ سفاي مڠينتيف، ممرهاني دان مليهت افكه يڠ دلاكوكن اوله اورڠ اسلام ستله مريك ممرينته ولايه ايت.

ستله سلسي منجالنكن توڬس، فڠينتيف ايت داتڠ مڠادف راج روم دان مڽتاكن اورڠ٢ اسلام ايت اياله اورڠ٢ يڠ طاعة كفد الله. دوقت مالم مريك اداله اهلي٢ عبادة، دوقت سياڠ مريك اداله فهلاوان يڠ ڬاڬه براني. مريك اداله اورڠ يڠ عاديل، سكيراڽ انق راج مريك منچوري نسچاي مريك فوتوڠ تاڠنڽ.

بيلا مندڠر اوچافن ايت، راج روم مڠتاكن: "سلامت تيڠڬل واهي بومي شام، تيدق اد هارفن لاڬي انتوق كمبالي سكيراڽ بومي ايت دفرينته اوله مأنسي يڠ سفرت اين."

الله سبحانه وتعالى تله منجاديكن كهيباتن اورڠ اسلام دڠن اوندڠ٢ يڠ عاديل دان هيبة، يڠ برجاي موجودكن كأمانن دان كسلامتن ددالم نڬارا دان مشاركت اسلام.

افبيل برلاكو كداتڠن تَاتَر يڠ منجاتوهكن كراجأن عَبَّاسِيَّة، قوم تَاتَر تله مڠهافوسكن اوندڠ٢ اسلام دان دڬنتي دڠن اوندڠ٢ يَاسَك، مڠهافوسكن شريعة الله سبحانه وتعالى.

فارا علماء اسلام يڠ ڬاڬه براني بڠكيت ممبري امارن كفد اومة اسلام. دانتاراڽ ابنُ كَثِير مڽبوت ددالم تفسيرڽ كتيك منفسيركن فرمان الله تعالى:

أَفَحُكْمَ الْجَـهِلِيَّـةِ يَبْغُونَ، وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اهِن حُكْمـًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ.
(سورة المائدة : ٥٠)
(مقصودڽ): اداكه مريك ايت ماهو برحكوم جاهيلية؟ سيافكه يڠ لبه بأيك حكومڽ سلأين الله باڬي قوم يڠ يقين كفد الله.
هاڽ اورڠ٢ يڠ تيدق فرچاي كفد الله سهاج يڠ منولق اوندڠ٢ شريعة الله سبحانه وتعالى.

ابن كثير ممبري امارن ددالم تفسيرڽ، سسياف دكالڠن اومة اسلام يڠ مڠڬنتيكن حكوم الله دڠن حكوم يڠ لأين دان مڠأڠڬف حكوم يڠ لأين لبه بأيك درفد حكوم الله سبحانه وتعالى، برمعنى دي تله مرتد يأيت مڠلواركن ديريڽ درفد اڬام اسلام.

بتاف جلسڽ فركارا اين، الله سبحانه وتعالى مڠأڠڬف مميليه اوندڠ٢ يڠ لأين درفد اوندڠ٢ الله اداله مڠيكوت هوا نفسو. الله برفرمان كفد نبي صلى الله عليه وسلم:

وَأَنِ احْكُـمْ بَيْنَهُم بِمَآ أَنْـزَلَ اهُن وَلاَ تَتَّبِعْ أَهْوَآءَهُـمْ.
(سورة المائدة : ٤٩)
(مقصودڽ): دان برحكومله كامو (واهي محمد) دڠن اف يڠ تله دتورونكن اوله الله، دان جاڠن كامو مڠيكوت هوا نفسو مريك.
اين برمعنى، اوندڠ٢ يڠ لأين درفد اوندڠ٢ الله اداله اوندڠ٢ هوا نفسو.

هاري اين اومة اسلام دكتاكن تله مرديكا درفد فنجاجه. سبنرڽ فنجاجه تيدق هابيس سفنوهڽ. مريك منيڠڬلكن اوندڠ٢ مريك، مريك منيڠڬلكن فراتوران مريك، مريك منيڠڬلكن چارا هيدوف مريك. اينيله يڠ مڠحاصيلكن كبوروقكن، هورو هارا، كرونتوهن اخلاق، مريبقڽ جنايه يڠ برلاكو ددالم مشاركت اسلام. اينيله فونچاڽ، يأيت كيت منيڠڬلكن شريعة الله دان برعمل دڠن اوندڠ٢ فنجاجه.

ستروسڽ ماريله كيت كمبالي كفد فرايڠاتن الله سبحانه وتعالى ددالم القرءان:

اعوذ بالله من الشيطان الرجيم
وَمَا كَانَ لِمُـؤْمِنٍ وَلاَ مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اهُن وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ. (سورة الأحزاب : ٣٦)
(مقصودڽ): دان تيدق هاروس باڬي للاكي دان فرمفوان يڠ برايمان افبيل الله دان رسولڽ منتفكن مڠنأي سسوات فركارا دالم اوروسن مريك، لالو مريك ممبوات فيليهن يڠ لأين.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي الْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالأَيَاتِ وَالْحِكْمَةِ. وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ.>

اَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْم.


110930
Baca Seterusnya......

02 Oktober 2011

Jangan burukkan hubungan PAS-DAP

KUALA TERENGGANU – Barisan Nasional (BN) diingatkan untuk tidak terus memburukkan hubungan PAS dan DAP berikutan isu hudud yang ditimbulkan semula Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini.

Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Zakaria Dagang berkata, keadaan yang sama berlaku dalam BN apabila MCA dan Gerakan turut mengugut keluar parti sekiranya UMNO mahu melaksanakan perundangan Islam itu.

Menurutnya, tiada apa yang pelik sekiranya orang bukan Islam menentang hukum tersebut kerana mereka memang tidak memahami perkara itu.

“Mereka tidak faham konsep hukum itu sendiri dan ia bukan pelik apabila orang bukan Islam tidak faham dan tindakan yang sama akan dilakukan MCA dan Gerakan sebagaimana DAP sekiranya perkara itu berlaku.

“Kalau ada penjelasan yang diberi kepada mereka, tentu mereka faham kerana hudud jelas untuk orang Islam, bukan untuk mereka (orang kafir),” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di sini.

Beliau juga tidak terkejut dengan tindakan DAP, MCA dan Gerakan, sebaliknya berasa hairan apabila orang Islam sendiri menentang hukum hudud.

Menurutnya, segelintir orang Islam ada yang tidak faham berhubung dengan konsep hudud sehingga tidak bersetuju dengan hukum tersebut.

Sementara itu, mengulas berhubung arahan tutup mulut berhubung isu tersebut, Zakaria menganggap, ia adalah usaha untuk memastikan perkara itu tidak terus dipolemikkan.

Bagaimanapun, katanya, semua pihak perlu akur terhadap keputusan yang dibuat kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) melalui mesyuarat yang diadakan pada 28 September.

Sebelum ini, pemimpin ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat (PR) diarahkan menutup mulut berhubung isu pelaksanaan hukum hudud sehingga mesyuarat parti komponen itu berlangsung pada Rabu lalu.

Arahan tersebut dikeluarkan oleh PR berikutan isu hukum hudud menjadi polemik terutama antara PAS dan DAP sejak isu itu timbul baru-baru ini.

Sumber: Sinar Harian
Baca Seterusnya......

30 September 2011

30 bakal haji diraikan

SEBERANG TAKIR - Majlis Tindakan Dun (MTD) Seberang Takir telah mengadakan satu majlis ringkas bagi meraikan bakal-bakal haji dari Dun ini malam Rabu lalu.

Seramai 30 orang bakal haji telah diraikan oleh pemimpin MTD yang diketuai oleh Ustaz Zakaria Dagang di Surau An-Nur, Telaga Daing dekat sini.

Majlis dimulakan dengan solat hajat memohon keselamatan dan kesejahteraan bakal-bakal haji selepas solat Isya'. Ia diikuti dengan ucapan Pengarah MTD dan tazkirah ringkas oleh Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Kuala Nerus, Dato' Dr Abdullah Abas Abu Bakar.

Majlis diakhiri dengan penyampaian sedikit cenderamata oleh Pengarah MTD.

Bakal-bakal haji berkenaan akan mula berlepas ke tanah suci pada 30 September 2011 melalui Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.
Baca Seterusnya......

29 September 2011

Ribut paling kuat sejak 10 tahun

KUALA TERENGGANU - Bencana ribut sekali lagi membadai bandaraya Kuala Terengganu kira-kira jam 9 malam Selasa 27 September.

Dilaporkan, kejadian yang berlaku selama 30 minit berserta guruh dan petir telah mengakibatkan pokok-pokok terbalik, berpuluh-puluh rumah, kedai dan sekurang-kurangnya 10 kenderaan rosak.

Dataran Syahbandar adalah yang paling teruk dilanda daripada 25 kawasan yang telah di rahmat ribut, kata Majlis Bandaraya Kuala Terengganu Penolong Pengarah Razali Mohd.

Kawasan-kawasan lain termasuk Jalan Pegawai, Jalan Sultan Omar, Jalan Batas Baru, Jalan Sultan Zainal Abidin, Jalan Sultan Sulaiman, Jalan Sultan Mahmud, Jalan Masjid Abidin, Batu Burok, Kuala Nerus, dan Nisan Empat.

"Feri penumpang berhampiran Pasar Payang, pasu bunga dan kanopi kedai di Dataran Shahbandar rosak teruk manakala bumbung pasaran juga terpesona," Razali kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Seberang Takir, Ustaz Zakaria Dagang, kawasan Seberang Takir antara lokasi yang terjejas akibat bencana alam itu.

Katanya, sekurang-kurangnya dua orang mangsa cedera dan seorang lagi masih dirawat di hospital.

"Lebih 30 buah rumah terlibat dalam bencana ribut itu, beberapa buah rumah rosak teruk kerana ditimpa pokok dan bumbung terangkat diterbangkan angin kencang, dua cedera, seorang masih di(rawat) di wad (hospital)," ujarnya ketika dihubungi Buletinonline.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha PAS Terengganu berkata pihak MTD telah mengambil langkah menziarahi mangsa-mangsa terbabit dan menghulurkan bantuan segera.

Menurutnya, ribut kelmarin adalah yang paling kuat sejak 10 tahun yang lalu.

"Pernah berlaku (dahulu ribut yang kuat) melibatkan (kerosakkan) banyak rumah kira-kira 10 tahun lalu, (kejadian ribut) yang kecil-kecil sudah banyak kali (berlaku)," jelasnya.

Kejadian yang sama berlaku pada 18 Jun 2011 yang lalu yang mengakibatkan beberapa kawasan terutamanya kawasan Batu Burok rosak teruk.

Selain itu ia turut meranapkan hampir 150 buah rumah di 13 buah kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Pasu, Manir.

Sumber: Buletinonline
Baca Seterusnya......

19 September 2011

Rumah Terbuka Idul-Fitri PAS Terengganu

Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) akan mengadakan majlis Rumah Terbuka 'Idul-Fitri 1432 pada Khamis 22 September 2011 bersamaan 24 Syawwal 1432 bertempat di Perkarangan Pejabat BPPNT, Taman Seri Intan, Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu.

Majlis akan bermula jam 11.00 pagi sehingga jam 3.00 petang.

Pelbagai juadah akan disediakan, termasuk menu utamanya nasi minyak, selain nasi dagang, sate, ketupat dan lain-lain. Juadah berkenaan disediakan oleh setiap PAS Kawasan di negeri ini dan Dewan-Dewan Ulama', Pemuda dan Muslimat Negeri. Termasuk juga menu yang disediakan oleh pihak Ikatan Anak Terengganu di Perantauan (Perantau).

Jemputan telahpun dibuat kepada jabatan-jabatan kerajaan dan swasta di sekitar Kuala Terengganu, selain daripada para penduduk di sekitar Taman Seri Intan ini.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan majlis tersebut.
Baca Seterusnya......