PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

22 April 2009

Rezeki yang datang melayang

Mungkin orang selalu menyebut bahawa rezeki itu tidak akan datang bergolek atau melayang. Maksudnya ia kena diusahakan bagi mendapatkannya. Tetapi saya ada beberapa pengalaman tentang rezeki yang datang tanpa kita duga dan tidak pernah kita sangka.

Sebelum ini saya selalu menerima 'rezeki' dari punca yang saya tidak sangka-sangka. Misalnya tiba-tiba ada orang yang datang memberi sesuatu kepada kita sama ada dalam bentuk wang atau benda, sedangkan saya tidak pernah terfikir sebelumnya yang saya akan menerima 'rezeki' itu daripadanya.

Tetapi pengalaman terbaru saya yang hendak saya paparkan di sini agak berlainan dengan 'rezeki' yang tidak disangka yang pernah 'mengunjungi' saya sebelum ini dari segi cara ia 'bertandang'. Yang lepas-lepas biasanya datang secara bersemuka dan secara langsung dengan saya mengenali pembawanya. Tetapi kali ini ia betul-betul datang 'melayang'. Gambar di atas menjelaskan segala-galanya.

Cerita lanjutnya begini. Awal minggu lepas, setelah dalam tempoh sebulan sebelum itu saya tidak masuk ke pejabat kerana berulang-alik untuk bertugas di Bukit Gantang membantu pilihan raya kecil di situ, hari itu saya kembali bertugas di pejabat saya.

Apabila saya masuk ke bilik saya, tiba-tiba saya terpandang satu sampul surat yang diposkan atas nama dan alamat saya (menggunakan alamat pejabat) di atas meja saya. Saya cuba meneliti cop pada setem di sampul surat itu. Di situ menunjukkan ia dipos dari Kuantan, Pahang.

Kemudian saya terus membuka sampul itu, dan di dalamnya terdapat sekeping kertas yang tertulis Hadiah untuk Ustaz Zakaria Dagang => Drp Penyokong PAS, dan dalam lipatan kertas itu terdapat sekeping wang tunai bernilai RM50.

Saya cuba mencari-cari siapakah gerangan yang melayangkan rezeki itu untuk saya. Namun sampai ke hari ini saya tidak dapat mengenal pasti pengirimnya.

Bila saya ceritakan kepada rakan-rakan sepejabat saya, mereka kata bahawa saya betul-betul dapat rezeki yang datang melayang. Sambil bergurau, mereka kata kalau tahu siapa yang mengirimnya, beritahu kepadanya bahawa ramai lagi orang di pejabat ini yang juga ingin 'rezeki melayang' itu.

Bagaimanapun, saya tetap bersyukur ke hadhrat Allah atas rezeki yang dikurniakan kepada saya, kerana ketika itu memang poket saya hampir-hampir kosong. Saya juga mengucapkan terima kasih dan Jazakumullahu khairal-jaza' kepada pengirim misteri itu.

Selama ini memang saya yakin dengan ayat yang disebut sebagai Ayat Seribu Dinar iaitu:

وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجۡعَل لَّهُ ۥ مَخۡرَجً۬ا (٢) وَيَرۡزُقۡهُ مِنۡ حَيۡثُ لَا يَحۡتَسِبُ‌ۚ وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُ ۥۤ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَـٰلِغُ أَمۡرِهِۦ‌ۚ قَدۡ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدۡرً۬ا

(Maksudnya): Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (Surah at-Talaq : 2-3)

Tiada ulasan: