PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

18 April 2009

Ustaz Abu Bakar Abdullah kekal YDP Kuala Nerus

KUALA NERUS: Ustaz Abu Bakar Abdullah telah dipilih untuk mengekalkan jawatan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Nerus untuk Sesi 2009/2011. Pemilihan itu telah dibuat dalam Mesyuarat Agung Tahunan Ke-32 PAS Kawasan Kuala Nerus yang diadakan di Masjid Taqwa, Batu Enam dekat sini hari ini.

Majlis yang berjalan selama sepanjang sehari suntuk itu telah dirasmikan oleh Dato' Mustafa Ali, Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu.

Turut terpilih dalam mesyuarat agung itu ialah M. Shukrimun Shamsudin sebagai Timbalan Yang Dipertua. Beliau yang sebelum ini adalah Naib Yang Dipertua PAS Kawasan menggantikan Ustaz Ismail Che Dagang yang kini diberi amanah sebagai Ketua Urusan Ulama' mengambil tempat Ustaz Ismail Mamat.

PAS Kawasan Kuala Nerus juga mendapat Naib Yang Dipertua baru apabila Ketua Penerangan sebelum ini, Dr Alias Razak dipilih memegang jawatan itu.

Mesyuarat agung yang berakhir pada jam 6 petang itu juga telah meluluskan tiga usul setelah dibahas oleh para perwakilan. Usul-usul tersebut ialah:
  1. Bahawa Mesyuarat Agung Tahunan Ke-32 PAS Kawasan Kuala Nerus yang bersidang pada hari ini mengambil satu persetujuan dengan bermatlamat mendidik ahli dan menambah kewangan parti di semua peringkat, iaitu ahli akan menyumbang derma bulanan sebanyak RM1.00 dengan agihan Cawangan 50%, DUN 30% dan Kawasan 20%.

  2. Bahawa Mesyuarat Agung Tahunan Ke-32 PAS Kawasan Kuala Nerus yang bersidang pada hari ini menggesa agar pengurusan Jabatan Penyelidikan PAS Pusat mengguna dan memanfaatkan tenaga dalaman yang sedia ada dalam membuat kajian strategi dan soal selidik berhubung perancangan jangka pendek dan jangka panjang, penentuan calon dan sebagainya, serta tidak lagi menggunakan khidmat swasta atau syarikat tertentu.

  3. Bahawa Mesyuarat Agung Tahunan Ke-32 PAS Kawasan Kuala Nerus yang bersidang pada hari ini mendesak pucuk pimpinan parti mengkaji dengan teliti dan sedalam-dalamnya kesan positif dan negatif atas cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan, sekaligus hendaklah diadakan satu pungutan suara yang menyeluruh atau sidang muktamar khas.
Selain itu tujuh lagi usul diterima tanpa bahas.

Tiada ulasan: