PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

01 Januari 2010

Ramahnya bekas guruku

Semalam ketika saya di sebuah kedai buku di bandaraya Kuala Terengganu, saya terserempak dengan seorang bekas guru saya semasa di Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Takir (kini Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri).

Namanya Tan Yam Poy. Orangnya sangat lemah lembut. Kalau tidak silap, beliau mengajar saya mata pelajaran Matematik semasa saya dalam Tingkatan Tiga pada tahun 1975.

Semasa terserempak dalam kedai buku itu, kami serentak menyapa. Katanya, "Rasa macam kenal."

Dan saya memang cukup kenal dengan beliau, walaupun usianya sudah enam puluhan. Beliau masih segak dan cukup lancar berbahasa Melayu dialek Terengganu. Seingat saya, sejak saya meninggalkan SMKST pada tahun 1977 dahulu, ini adalah kali kedua saya terjumpa dengan Cikgu Tan ini.

Beliau masih ingat ketika kali pertama berjumpa saya dahulu, katanya saya berpakaian baju Melayu dan memberikan beliau sekeping kad.

"Semua orang memandang semacam kepada saya ketika itu. Apabila saya pulang, baru saya tengok kad yang diberi itu," ujar Cikgu Tan lagi.

Beliau begitu semangat bercerita kepada saya kisah-kisah beliau terutama berkaitan perjawatannya. Beliau melahirkan rasa kesal dengan pegawai di Pejabat Pelajaran yang melakukan diskriminasi terhadap beliau dalam soal penempatan sekolah.

Apabila bercerita panjang tentang perkara itu, beliau tiba-tiba pula menyebut, "Tak baik mengumpat, tetapi hakikatnya begitulah."

Bicaranya begitu lancar, sehingga tidak sempat untuk saya mencelah.

Beliau datang ke kedai buku itu untuk bertanya tentang lokasi baru sebuah kedai buku lagi dari syarikat sama yang sudah ditutup kerana arahan pihak berkuasa. Tujuannya ialah untuk membayar langganan majalah yang belum dijelaskan. Walaupun kedai berkenaan sudah ditutup, tetapi beliau berusaha menjejakinya sehinggalah ke kedai yang saya berjumpa dengannya.

Dari situ saya melihat bahawa beliau sangat amanah. Di samping itu ciri-ciri lain seperti peramah, lemah lembut dan tidak sombong yang ada pada diri beliau cukup menarik hati saya. Sepatutnya itulah sifat-sifat yang mesti ada pada seorang Muslim.

Kenangan semasa bersekolah dahulu, ramai juga guru-guru berketurunan Cina yang mengajar saya. Selain Cikgu Tan Yam Poy ini, antara yang masih saya ingat ialah Cikgu Pang Teng Chew, Cikgu Lim Swee Hai, Cikgu Tan Poh Beng, Cikgu Lim Peng Sang, Cikgu Goh Kok Lian dan Cikgu Ooi Yin Yen. Sayangnya saya tidak pernah bertemu lagi dengan mereka.

Banyak sekali kenangan bersama mereka. Antaranya cerita lucu, apabila seorang guru memberitahu bahawa Cikgu Lim pengsan di dalam kereta. Apabila kami bergegas ke keretanya, tiada apa-apa yang berlaku. Rupa-rupanya, memanglah Cikgu Lim Peng Sang sedang berada di dalam kereta.

Bersama Cikgu Goh Kok Lian pula, saya masih ingat ungkapan beliau ketika sedang marah kepada kami semasa di dalam kelas dengan kata-kata, "Lu ni olang ke manusia?"

Kenangan lalu terus mengusik jiwa yang kadang-kadang membawa kita tersenyum sendiri...

Tiada ulasan: