PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

11 April 2010

Mesyuarat Agung PAS Kuala Nerus lulus 5 usul

KUALA NERUS - PAS Kawasan Kuala Nerus yang mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-33 semalam telah meluluskan lima usul.

Usul-usul tersebut ialah dari Jawatankuasa PAS Kawasan, Dewan Pemuda dan PAS Cawangan Batu Enam. Satu usul diterima tanpa bahas, manakala empat usul lagi diterima setelah dibahas oleh para perwakilan.

Usul-usul tersebut ialah:

1) Menyedari suasana politik yang tidak stabil, saling mempunyai 'persepsi' yang berbeza dan bersangka buruk di kalangan pemimpin dan ahli serta sikap suka lepas cakap, sama ada melalui media massa dan blog, tanpa memikirkan kesan kepada "kesatuan fikrah". Maka Mesyuarat Agung Tahunan Ke-33 PAS Kawasan Kuala Nerus yang bersidang pada hari ini mengambil ketetapan untuk:

i) Menggesa seluruh ahli dan kepimpinan PAS di semua peringkat agar memberi wala' dan kepercayaan penuh kepada kepimpinan tertinggi PAS dalam menentukan apa jua tindakan selagi tidak bercanggah dengan dasar parti, kerana mereka dilantik secara sah dan berwibawa melalui muktamar.

ii) Memantau dan memastikan secara khusus kepada seluruh Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan agar mereka tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mempertikaikan Majlis Syura Ulama' dan kepimpinan PAS Pusat dalam kuliah-kuliah umum yang diadakan bagi mengelak daripada berlakunya kekeliruan dan salah faham di kalangan ahli.

iii) Menggesa pimpinan PAS Pusat supaya mereka saling menghormati dan mempercayai serta tidak saling berburuk sangka antara satu sama lain; di samping mengelak daripada bercakaran sesama sendiri dengan menggunakan segala media yang ada khususnya melalui blog, tetapi sebaliknya kembali kepada konsep musyawarah dan muzakarah yang diamalkan dalam Islam.

2) Semenjak kebelakangan ini, isu kebocoran rahsia parti dan perlanggaran etika berjemaah menjadi tabiat yang semakin membarah di kalangan sebahagian pimpinan PAS Pusat. Terlalu banyak rahsia jemaah yang sepatutnya dipelihara telah menjadi "jajaan" segelintir pemimpin. Semua rahsia mesyuarat "terpecah" kepada pihak ketiga sejurus selepas mesyuarat berakhir. Bahkan lebih parah lagi apabila berlaku kebocoran ketika mesyuarat masih lagi berjalan. Merasakan tiada lagi sikap bertanggungjawab sebahagian pimpinan PAS Pusat, maka Mesyuarat Agung Tahunan Ke-33 PAS Kawasan Kuala Nerus yang bersidang pada hari ini bersetuju:

i) Mendesak Jawatankuasa Disiplin PAS Pusat mengambil sikap dan langkah yang lebih proaktif dalam menyelesaikan semua permasalahan tersebut tanpa "terpilih".

ii) Mengambil tindakan yang keras dan drastik terhadap pimpinan PAS Pusat yang "tidak amanah" dan membocorkan rahsia parti.

iii) Mendesak di'haram'kan semua pimpinan PAS Pusat membawa telefon bimbit di dalam sebarang mesyuarat penting di peringkat Pusat.

iv) Menggesa PAS Pusat supaya melantik Jawatankuasa Disiplin parti bukan di kalangan pimpinan PAS Pusat.

3) Bahawa Mesyuarat Agung Tahunan Ke-33 PAS Kawasan Kuala Nerus yang bersidang pada hari ini bersetuju mendesak PAS Kawasan agar peka dengan isu-isu semasa, seterusnya bertindak cepat mengatur strategi dalam menangani isu-isu terkini dan mengambil tindakan susulan yang pantas melawan musuh secara berterusan.

4) Bahawa Mesyuarat Agung Tahunan Ke-33 PAS Kawasan Kuala Nerus yang bersidang pada hari ini bersetuju mendesak PAS Kawasan agar memandang serius masalah gejala sosial yang agak parah sedang melanda masyarakat di sekitar Kuala Nerus, dengan mengadakan kempen membasmi gejala sosial serta menyediakan garis panduan etika berpakaian di premis-premis perniagaan.

5) Bahawa Mesyuarat Agung Tahunan Ke-33 PAS Kawasan Kuala Nerus yang bersidang pada hari ini bersetuju mendesak PAS Kawasan agar menggalakkan pemimpin PAS di semua peringkat menghantar anak-anak mereka ke PASTI dan Dar-Dar yang berdekatan. Mereka ini sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat setempat, di samping dapat mengubah pandangan masyarakat tentang pendidikan Islam dari peringkat awal.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum...Ust ! bukan setakat hp yg tak boleh dibawa masuk,cuba lihat sini http://www.spypen2u.com/index.php?ref=13