PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

24 Jun 2012

Sambutan dingin ceramah PAS bukan ukuran: Zakaria

KUALA TERENGGANU - Rakyat dikatakan semakin meminggirkan PAS khusus di negeri ini apabila ceramah yang menjadi medium utama penyebaran maklumat kepada penyokong PAS kurang mendapat sambutan sejak kebelakangan ini.

Penolong Setiausaha PAS Negeri Terengganu, Zakaria Dagang walaupun tidak menafikan ceramah PAS mendapat sambutan dingin, namun menegaskan ia bukan kayu pengukur menentukan sokongan rakyat terhadap PAS itu.

Mengulas lanjut keadaan itu, Zakaria menjelaskan, sambutan dingin hanya berlaku terhadap ceramah biasa yang dihadiri pemimpin setempat.


"Perkara ini melibatkan ceramah biasa tetapi tidak kepada ceramah besar atau perdana yang menampilkan pimpinan utama.

"Setakat ini, ceramah perdana mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dan kehadiran biasanya melebihi sasaran," katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata sebagai mengulas dakwaan beberapa pihak menganggap PAS diketepikan rakyat berikutan ceramahnya kurang mendapat sambutan di beberapa tempat.

Zakaria sebaliknya menganggap, kehadiran yang kurang memberangsangkan di ceramah biasa bukanlah perkara yang membimbangkan kepada parti itu, jauh sekali menganggap rakyat sudah menolak PAS.

Beliau tidak menafikan tarikan yang kurang disebabkan orang ramai seolah-olah sudah tahu apa yang ingin disampaikan penceramah kerana sentiasa terdedah dengan media alternatif.

"Ada juga yang memberi alasan mereka sudah tahu apa yang ingin dikatakan pemimpin tempatan kerana ia sudah kerap kali diulang selain turut dipaparkan media baru, blog internet dan sebagainya. Jadi kita melihat media bari ini turut mempengaruhi kehadiran orang ramai," katanya.

Beliau menjelaskan, pihaknya turut menyasarkan kehadiran tertentu di ceramah biasa.

"Kita tetap ada sasaran tertentu tetapi ia berbeza sama sekali dengan ceramah umum atau perdana yang menampilkan tokoh besar dan pimpinan utama yang tetap menarik orang ramai ke ceramah terbabit," katanya.

Sumber: Sinar Harian

Tiada ulasan: