PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

03 Julai 2012

Kerajaan PR ada alasan tertentu

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang masih tidak menunaikan janji-janji dalam manifesto pilihan raya mempunyai alasan tertentu dan tidak sewenang-wenangnya melupakan janji mereka terhadap rakyat.

Penolong Setiausaha PAS Negeri Terengganu, Zakaria Dagang tidak menolak ia berkemungkinan sedang dalam pelaksanaan atau masih di peringkat tertentu sehingga tidak dapat dilaksanakan buat masa ini.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan perkara itu tidak patut dipolitikkan kerana ia mungkin turut berlaku di negeri Barisan Nasional (BN) yang turut menabur janji tetapi belum ditepati.


"Kerajaan PR akan menunaikan janji kepada rakyat kerana kita bukannya berjanji kosong. Cuma, kita percaya janji tersebut mungkin mengambil masa seperti masih dalam pelaksanaan dan masih di peringkat tertentu.

"Dalam kerajaan BN pun ada juga yang belum ditunaikan dan belum dilaksanakan walaupun sudah berjanji dengan rakyat," katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata sebagai merujuk kenyataan Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak bahawa rakyat tidak boleh berharap kepada pembangkang untuk menentukan masa hadapan mereka kerana pembangkang mengamalkan tiga nilai buruk iaitu janji tidak ditepati, budi tidak dihargai dan hutang tidak perlu dibayar.

Zakaria yakin apa yang dikata Perdana Menteri itu merujuk kepada negeri-negeri di bawah PR.

Beliau menjelaskan, kerajaan PR mempunyai rekod yang baik dari sudut pembayaran hutang kerajaan negeri setakat ini, sebaliknya memberitahu, kerajaan BN yang meningkatkan hutang sedia ada.

"Kita ada rekod terbaik dan di Pulau Pinang isu hutang hampir selesai dan kita masih cuba menyelesaikan perkara sama di Kelantan dan Kedah. Begitu juga ketika memerintah di Terengganu, kita mengambil berat perkara ini," katanya.

Mengulas lanjut, walaupun mungkin terdapat manifesto yang belum direalisasikan kepada rakyat khusus di negeri di bawah pentadbiran Pakatan, namun BN tidak perlu membuat tuduhan bersifat retorik.

"Kita bukannya bodoh dan kita tidak akan membuat janji-janji yang tidak masuk akal dalam manifesto pilihan raya tetapi berdasarkan pertimbangan yang munasabah demi kepentingan rakyat," katanya.

Sumber: Sinar Harian

Tiada ulasan: