PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

14 Julai 2008

PASTI miliki bangunan sendiri

Bangunan Ibu Pejabat PASTI Malaysia

SEMALAM, Ahad 13 Julai 2008 bersamaan 10 Rejab 1429, satu lagi sejarah penting dalam sistem pendidikan Islam di negara ini dicatatkan. Peristiwa yang penuh bermakna bagi warga pendidik dan pendokong pendidikan Islam terutama pendidikan prasekolah Islam itu ialah Majlis Perasmian Ibu Pejabat Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Malaysia.

Bagunan tersebut terletak di 1027, Jalan Samudera Utama, Taman Samudera, Batu Caves, Gombak, Selangor. Bagunan setinggi empat tingkat itu menempatkan pejabat pentadbiran PASTI Pusat, bilik mesyuarat, bilik seminar dan asrama, selain galeri jualan peralatan PASTI di tingkat bawah.

Pejabat PASTI Pusat mula beroperasi di premis barunya itu pada 7 Januari 2008 bersamaan 28 Zulhijjah 1428 yang lalu.

Majlis perasmiannya dijadualkan disempurnakan oleh Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Haji Awang, Presiden PAS. Tetapi oleh kerana Tuan Guru berhalangan pada ketika itu, beliau diganti oleh Haji Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS.

Dalam ucapannya, Haji Mohamad Sabu melahirkan rasa gembiranya dengan ucapan tahniah kepada seluruh warga PASTI, terutama Ahli Lembaga Pengarah PASTI Pusat atas kejayaan besar memiliki bangunan yang berharga hampir RM1 juta itu.
Cikgu Azrin Abdul Majid

Sementara itu, Cikgu Azrin Abdul Majid, Ketua Pengarah PASTI berkata, pembelian bangunan itu sesuai berdasarkan keperluan dan kegunaan semasa di PASTI yang semakin bertambah.

"PASTI amat berterima kasih kepada seluruh warga PASTI termasuk ibu bapa murid yang turut memberikan sumbangan kewangan sehingga impian PASTI untuk memiliki bangunan sendiri menjadi kenyataan," tambah beliau.

Beliau mengharapkan agar Pusat Pentadbiran PASTI Malaysia ini bakal menggerakkan pelbagai program peningkatan kecekapan pengurusan serta latihan guru dan pengurus PASTI seluruh negara.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Sdra Salahuddin Ayub yang turut berucap dalam majlis tersebut mengatakan, "Ini adalah satu kejayaan dan membuktikan bahawa Pemuda PAS mampu merancang dan mengurus kemajuan pendidikan di negara ini".

Beliau juga menyeru agar ahli, penyokong dan pencinta pendidikan wajib tampil memberikan sokongan moral dan material kepada PASTI bagi menjayakan pelbagai program pendidikan dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Antara tetamu yang hadir

Dalam majlis yang sama, turut disampaikan Bantuan Khas Program Pendidikan kepada PASTI-PASTI Negeri sebanyak RM4,000 setiap negeri yang berjumlah RM56,000.

Selain itu juga turut disampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang 2007 kepada dua orang pelajar setiap negeri (5 tahun dan 6 tahun) yang telah mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan setara akhir tahun lepas.

Sempena majlis itu juga disampaikan cenderamata kepada bekas Ahli Lembaga Pengarah PASTI Malaysia bagi tahun 2005/2007.

Turut menyerikan majlis ialah bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh seorang pelajar PASTI dan deklamasi sajak oleh bekas pelajar PASTI.

Tiada ulasan: