PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

15 Julai 2008

Ramai yang abaikan perintah solat

BETAPA ramai hari ini orang yang bernama Islam dan mengaku sebagai orang Islam yang mengabaikan kewajipan mereka terhadap pencipta mereka. Mereka adalah golongan yang lalai dalam melaksanakan solat yang difardhukan ke atas mereka. Mereka memandang ringan terhadap ibadat wajib yang mesti ditunaikan lima kali sehari semalam itu. Mungkin bagi mereka ia terlalu berat untuk dijalankan.

Itulah realiti yang berlaku di hadapan mata kita sekarang, di mana-mana sahaja akan kita temui. Seolah-olah mereka tidak rasa takut langsung dengan balasan yang akan mereka terima nanti. Atau mungkin mereka tidak tahu dan tidak pernah tahu kerana tidak pernah diberitahu dan tidak pernah ambil tahu bahawa akan ada balasan di akhirat nanti bagi mereka yang meninggalkan solat.

Daripada pengalaman kita barangkali, kalau dalam tempoh yang singkat agak payah untuk kita bersangka seseorang itu tidak solat misalnya. Tetapi kalau kita bersama mereka dalam tempoh yang agak lama melewati waktu-waktu solat, maka akan jelas kepada kita sifat sebenar seseorang itu.

Contoh mudah yang selalu kita alami ialah ketika menaiki bas atau kenderaan awam lain dalam satu perjalanan yang memakan masa yang agak panjang. Daripada pengalaman saya sendiri, ketika menaiki bas ekspres dalam perjalanan ke destinasi tertentu, memang selalu bertemu dengan orang yang tidak solat ini. Masalahnya bukan sedikit bilangannya, selalunya majoriti.

Pernah satu masa, ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, apabila bas berhenti untuk memberi peluang kepada penumpang bersolat Subuh, yang turun untuk bersolat hanya dua tiga orang sahaja daripada hampir 40 orang penumpang. Yang lucunya, pemandu sendiripun ada yang tidak solat, walaupun dia berhenti untuk bagi orang solat. Mungkin bagi setengah syarikat bas membuat peraturan begitu.

Kalau penumpang wanita mungkin ada yang uzur, tetapi yang lelaki pula apa alasan yang hendak diberi?

Kalau lihat kepada fenomena begini, betul sebagaimana yang disebut oleh para pendakwah kita bahawa majoriti orang Melayu tidak bersolat. Kajian-kajian yang dibuat bermula dari sekolah rendah sudah jelas memberi gambaran kepada kita keadaan ini. Ibu bapa sendiri tidak pernah menyuruh anak mereka solat, kerana mereka sendiripun tidak pernah bersolat.

Berapa ramaikah orang Islam yang beramal dengan perintah Allah dan ajaran yang telah dituntut oleh Rasulullah SAW yang menyebut di dalam hadithnya:

مروا اولادكم بالصلاة وهم ابناء سبع سنين وضربوا هم عليها وهم ابناء عشر وفرقوا بينهم فى المضاجع

Maksudnya: Suruhlah anak kamu bersolat pada usia tujuh tahun, dan pukullah mereka (jika tidak bersolat) pada usia sepuluh tahun, dan pisahkan antara mereka di tempat tidur.

Ramai di kalangan mereka hari ini tidak pernah menyuruh apa lagi memukul anak mereka dalam perkara berkait dengan solat. Bagaimana seseorang anak itu akan lekat solatnya? Ibu bapa hari ini hanya terlalu menekan soal akademik anak-anak bagi mandapat pencapaian yang cemerlang dalam peperiksaan, bermula dari UPSR lagi. Tetapi mereka tidak pernah memikirkan untuk kecemerlangan anak-anak mereka di sisi Allah SWT.

Apabila tidak ada tarbiyah atau didikan secara teratur bermula dari usia yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW itu, maka agak sukar untuk membentuk peribadi seseorang anak untuk menjadikan solat itu darah daging mereka.

Sepatutnya inilah yang ditekankan, kerana solat itu menjadi benteng atau pendinding kepada seseorang itu daripada melakukan sesuatu perkara yang dilarang sebagaimana firman Allah SWT:

إن الصلوة تنهى عن الفحشاء والمنكر

Maksudnya: Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.

Ibu bapa akan merasa senang dan lapang hati melepaskan seseorang anak untuk ke mana-mana sahaja apabila anak itu sudah sebati dengan solatnya. Mereka tidak akan berasa bimbang kalau-kalau anak itu akan melakukan sesuatu yang terlarang yang akhirnya akan menconteng arang ke muka orang tuanya.

Tanggungjawab ini mestilah kita pikul bersama dan kesedaran terhadap perkara ini mesti disebarkan merata di kalangan para ibu bapa bagi menjamin keselamatan dan kecemerlangan masa hadapan bagi anak-anak mereka.

Pendekatan terbaru yang sedang dirangka oleh Kerajaan Negeri Kelantan untuk memastikan rakyatnya melaksanakan perintah Allah sudah tentu sesuatu yang sepatutnya menjadi contoh bagi penguasa yang memegang amanah sebagai khalifah di bumi ini.

Tiada ulasan: