PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

16 Julai 2008

Shabery yang kukenal

DATO' AHMAD SHABERY CHEEK, satu nama besar dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara ini sekarang. Bermula sebagai Ahli Parlimen Kemaman pada 2004, kemudian dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Luar dan bermula penggal ini (2008) selepas beliau mengekalkan kerusi Parlimen Kemaman dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, dilantik menduduki Kabinet Malaysia sebagai Menteri Penerangan.

Nama beliau tiba-tiba menjadi semakin meletup apabila menyahut cabaran untuk berdebat dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dianjurkan oleh Agenda Dialy. Atas sifatnya sebagai menteri yang bertanggungjawab untuk memberi penjelasan kepada rakyat dalam apa-apa isu yang berlaku dalam kerajaan, maka beliau memberanikan diri untuk berdepan dengan tokoh besar dan hebat seperti Anwar. Walaupun Anwar lebih berhasrat untuk berdebat dengan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri yang dikira 'padan lawan', tetapi beliau akur dengan kesediaan di pihak kerajaan untuk menghantar Menteri Penerangan. Yang penting kepada Anwar, beliau berpeluang menyampaikan mesej kepada rakyat Malaysia khususnya dalam isu kenaikan harga minyak sekarang.

Aku sudah mengenali Shabery sejak 30 tahun lalu ketika bersama-sama dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) akhir 1970an hingga awal 1980an. Ketika itu pusat kegiatannya bagi negeri Terengganu ialah di Institut Berakan, yang beralamat di Jalan Sultan Omar,
Kuala Terengganu. Kebetulan pula Shabery turut menjadi tenaga pengajar di sekolah swasta yang akhirnya diroboh dengan rakus dan ganas oleh Kerajaan BN Terengganu yang dipimpin oleh Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad sebagai Menteri Besar.

Aku juga dalam usia masih belasan tahun ketika itu turut bersama rakan-rakan pimpinan ABIM Terengganu ketika itu, antaranya Ustaz Abu Bakar Chik (sekarang Dato'). Seingat aku Shabery ketika itu dilantik sebagai Ketua Biro Pendidikan ABIM Negeri. Beliau memang seorang yang petah berpidato dengan cara dan gaya yang menarik. Aku selalu juga bersama beliau dalam ceramah-ceramah yang diadakan sekitar Kuala Terengganu ketika itu.

Ketika tahun 1980, ABIM Terengganu telah memulakan langkah dalam menubuhkan institusi pendidikan prasekolah berasaskan Islam. Maka tertubuhlah sebuah pusat prasekolah yang dinamakan Tadika Islam (akhirnya ditukar kepada TASKI dan kemudianya PASTI) di Kampung Losong Haji Mat Shafie, Kuala Terengganu pada bulan April 1980. Atas jawatan Shabery sebagai Ketua Biro Pendidikan, beliau dilantik menjadi Pengarah kepada tadika tersebut. Sementara aku pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah. Oleh kerana ketika itu beliau menyambung pengajian di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, tugasnya dalam tadika itu diserahkan sepenuhnya kepada aku.

Aku juga masih ingat ketika Pilihan Raya Umum tahun 1986, beliau turut berkempen untuk calon PAS di DUN Seberang Takir. Ketika itu aku menjadi Setiausaha Jawatankuasa Pilihan Raya DUN.

Pada tahun 1990 apabila kerusi DUN Kijal kosong akibat kematian wakil rakyatnya Cikgu Mohamad Mat Amin, maka berlaku pilihan raya kecil di situ. Kebetulan ketika itu baru muncul Parti Semangat 46 (kemudiannya ditukar kepada Parti Melayu Semangat 46), kerusi DUN tersebut diserahkan kepada S-46 dan calonnya pula ialah Shabery yang kebetulan anak jati Kijal. Lawan beliau ketika itu ialah Dato' Ahmad Said (Menteri Besar Terengganu sekarang) yang menjadi calon BN.

Shabery menjadi orang yang sangat setia kepada Tengku Razaleigh Hamzah yang menjadi pengasas dan Presiden S-46, sehingga apabila Tengku Razaleigh keluar dan membubarkan S-46 dan menyertai kembali dalam Umno, beliau turut bersama-sama. Cuma nasibnya sahaja tidak 'seburuk' Tengku Razaleigh apabila beliau diterima menganggotai kabinet Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Masih terngiang-ngiang lagi di telingaku kata-kata atau ucapan Shabery sepanjang aku bersama-sama beliau suatu ketika dahulu. Antaranya, beliau 'menterjemahkan' akronim PERKIM yang diasaskan oleh Tunku Abdul Rahman Putra sebagai Pertubuhan Kuda Islam Malaysia, kerana mungkin penglibatan Tunku dalam lumba kuda ketika itu. Selain itu slogan BN dalam satu pilihan raya umum semasa Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri iaitu Bersih Cekap Amanah (BCA) disifatkan oleh beliau sebagai Boros
Curang Angkuh. Aku juga masih ingat apabila beliau menyebut bahawa, "Orang dahulu baca al-Quran nak pahala, tetapi orang sekarang nak piala" apabila merujuk kepada Pertandingan Membaca Al-Quran (yang selepas itu dikenali sebagai Musabaqah dan akhirnya sekarang ini Majlis Tilawah).

Malam tadi beliau muncul dalam satu program debat besar ala Debat Presiden Amerika yang disiarkan secara langsung oleh TV9, Bernama TV dan Astro Awani dan ditonton tidak kurang dari 10 juta rakyat Malaysia. Dengan rasa penuh wibawa dan selamba beliau sanggup berdebat dengan Anwar yang cukup terkenal sebagai seorang pemidato yang hebat dengan hujah-hujah yang padat.

Bagi Shabery barangkali inilah peluang untuk membuktikan kepada bossnya setelah beliau dilantik menjadi Menteri Penerangan dan meyakinkan kemampuan dan munasabah dengan jawatan itu. Tetapi terbukti mungkin ramai penyokong BN yang kecewa dengan cara dan hujah beliau dalam debat itu. Beliau banyak menggunakan pendekatan menghentam peribadi lawannya bagi mengalih perhatian dari tajuk yang didebatkan. Beliau ternyata gagal dalam pendekatannya itu, apabila Anwar tidak terpengaruh dan terperangkap dengan cara itu.

Walaupun banyak kali juga tepukan gemuruh dari penyokong-penyokong beliau dalam dewan Dewan Bahasa dan Pustaka itu, bukanlah bermakna beliau berjaya dalam hujahnya atau mematahkan hujah lawan. Mungkin kalau orang dengar beliau bercakap seorang dengan fakta-fakta yang nampak macam hebat, tetapi apabila dijelas dan dipatahkan oleh lawannya, ternyata beliau mengutip fakta yang tidak tepat. Tetapi oleh kerana beliau seorang menteri, cakapnya sudah tentu nampak confident bagi meyakinkan orang.

Ramai penonton yang menyaksikan siaran langsung debat isu "Hari ini memerintah, esok turun harga minyak" malam tadi merungut tentang kelemahan Shabery mengemukakan hujah. Mereka kesal dengan sikap Shabery yang lebih mengutamakan pendekatan menghentam bukan menjelaskan. Antaranya mereka menyatakan, Shabery lebih mahu mengemukakan hujah berbentuk serangan peribadi berbanding menjelaskan fakta bagi pihak kerajaan, adapun fakta yang dikemukakan sukar untuk difahami rakyat.

Sebaliknya pula ramai yang memuji Anwar mengemukakan hujah secara realistik kerana beliau mengambil pendekatan menyebelahi rakyat terbanyak.

Itulah Ahmad Shabery Cheek, dahulu mempunyai idealisme perjuangan yang hebat melalui ABIM, PAS dan Semangat 46, tetapi akhirnya kecundang dalam Umno/BN. Semoga Allah SWT menunjukkan kita jalan-Nya yang benar untuk kita sampai kepada-Nya dalam pencarian Mardhatillah.

Tiada ulasan: