PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

20 Julai 2008

Ucapan YDP PAS Kawasan Kuala Nerus

Ucapan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Nerus

Ustaz Haji Abu Bakar Abdullah
dalam Mesyuarat Agung Tahunan Ke-31 PAS Kawasan Kuala Nerus

Saya bersyukur ke hadhrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat-Nya kita dapat berhimpun di masjid ini untuk bermesyuarat agung, berbincang, melaksanakan tugas jamaah dan bermuhasabah atas segala perkara yang penting untuk kebaikan perjuangan Islam dan ummah.

Mesyuarat agung kali ini berkebetulan diadakan dalam suasana lebih seratus hari selepas kita menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-12. Dalam suasana Umno/BN dilanda tsunami politik dan rakyat ditimpa kesusahan akibat kenaikan harga minyak dan harga barang keperluan angkara kezaliman kerajaan Umno/BN.

Pada kesempatan ini saya mengalu-alukan kehadiran saudara saudari dalam Mesyuarat Agung Tahunan Ke-31 ini, terutamanya YB Timbalan Presiden yang akan merasmikan mesyuarat agung kali ini, para tetamu, para perwakilan, pemerhati dan saudara saudari sekalian. Kehadiran ini melambangkan semangat persaudaraan, persahabatan, setiakawan yang terus menerus kepada jamaah dan kepimpinannya yang akan dapat mengukuhkan lagi jamaah bagi meneruskan agenda perjuangannya yang unggul dan murni bagi menegakkan Islam di negara ini khususnya di bumi Terengganu.

Alhamdulillah, dengan izin dan petunjuk Allah SWT, jamaah dan perjuangan yang kita dokong ini terus melangkah ke hadapan dan semakin mendapat sambutan dan sokongan dari pelbagai golongan dari kalangan umat Islam dan bukan Islam. Jamaah ini terus membawa risalah Islam yang menjadi teras dan dasar perjuangan walaupun berhadapan dengan berbagai ujian dan mehnah terutamanya dari pihak musuh yang sentiasa berusaha melalui berbagai cara untuk menyekat perkembangan dan kemajuan serta kejayaannya. Hasil daripada kerjasama politik atau tahalluf siyasi kita dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihan raya umum lalu, kita telah mendapat kemenangan yang besar dan berjaya menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di lima buah negeri, meskipun kita masih belum berjaya menubuhkan kembali kerajaan Islam di negeri Terengganu. Namun demikian kita telah berjaya menambahkan bilangan kerusi DUN seratus peratus iaitu lapan kerusi DUN dan satu Parlimen berbanding dengan hanya empat kerusi DUN yang kita menangi dalam Pilihan Raya Umum Ke-11 2004 yang lalu.

Bagi Kawasan Kuala Nerus pula kita bersyukur ke hadhrat Allah SWT kerana dapat merampas kembali DUN Bukit Tunggal walaupun kita masih gagal menawan kembali DUN Tepuh, DUN Teluk Pasu dan Parlimen Kuala Nerus serta menawan DUN Seberang Takir menerusi rakan kita dari PKR. Namun demikian ketewasan kita di DUN Tepuh, DUN Teluk Pasu dan Parlimen Kuala Nerus yang dengan majoriti yang kecil iaitu 340 di DUN Tepuh. Calon kita memperoleh 8,025 berbanding dengan calon BN mendapat 8,455 undi dari jumlah pengundi seramai 19,860. Bagi DUN Teluk Pasu kita tewas dengan majoriti 462 undi. Calon kita memperoleh 6,817 undi berbanding dengan calon BN mendapat 7,279 undi dari jumlah pemilih seramai 16,126 orang. Bagi kerusi Parlimen pula kita tewas dengan majoriti 1,314 undi. Calon kita memperoleh 25,089 undi berbanding dengan calon BN mendapat 26,439 undi dari jumlah 61,214 orang pemilih. Kita dapati jumlah undi yang kita perolehi telah meningkat berbanding Pilihan Raya Umum Ke-11 lalu.

Di samping kerjasama yang kita wujudkan dengan PKR, saya cukup berpuas hati dengan kerja kuat dan kegigihan yang ditunjukkan oleh semua jentera kita dalam pilihan raya lalu, sama ada jentera di peringkat Kawasan, Majlis Tindakan DUN (MTD), Unit Peti Undi (UPU), Cawangan, Ulama', Pemuda, Muslimat dan Nisa'. Walaupun kita tidak nafikan masih wujud kelemahannya, tetapi pada keseluruhannya kita telah berpuas hati. Cuma ditakdirkan Allah kemenangan tidak menyebelahi kita bagi kerusi yang dipertandingan kecuali Bukit Tunggal.

Bagi kita menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, kita hendaklah melipatgandakan lagi usaha dan gerak kerja kita. Insya' Allah, saya yakin bukan sahaja dapat mengekalkan kemenangan di DUN Bukit Tunggal, tetapi juga kita dapat merampas kembali DUN Tepuh, DUN Teluk Pasu, Parlimen Kuala Nerus dan menawan DUN Seberang Takir. Tetapi dengan syarat kita mesti bekerja dengan lebih kuat mulai dari sekarang.

Sebagai sebuah gerakan Islam yang mempunyai matlamat yang jelas untuk menegakkan masyarakat dan pemerintahan yang di dalamnya terlaksana hukum-hukum Allah serta nilai-nilai hidup Islam menuju kepada keredhaan Allah SWT seperti yang ditegaskan dalam Perlembagaan parti. PAS akan terus memperjuangankan cita-cita ini sebagai satu prinsip dan perjuangan yang tidak ada tawar menawar atau tolak ansur. Cita-cita dan matlamat yang termaktub sejak dari penubuhan PAS akan terus kekal. PAS terus kekal dengan prinsip ini, insya' Allah. Prinsip yang memancar dari al-Quran al-Karim dan as-Sunnah al-Mutahharah. Satu pancaran dari pernyataan syahadah.

Saya menyebut perkara ini supaya kita tidak lupa dalam suasana perkembangan politik tanah air sekarang ini, terutamanya apabila PAS telah mendapat sokongan dari kalangan bukan Islam dan bersama-sama dalam gagasan Pakatan Rakyat (PR). Dalam suasana PAS dikatakan menjadi kuasa politik penentu memerintah negara. Saya mengharapkan kepimpinan kita di peringkat Pusat mengambil pendekatan yang berhati-hati agar perjalanan parti kita betul dan tepat dengan kehendak syara' dan strategi politik yang menguntungkan perjuangan parti kita. Kita mahu bukan sekadar kita menjadi kuasa penentu, tetapi dalam masa yang sama kita sebagai bahtera yang ditumpang, bukan kita yang menumpang bahtera lain. Parti kita perlu menjadi tulang belakang kepada PR memerintah negara bagi menggantikan Umno sebagai tulang belakang BN yang ternyata semakin reput dan tidak relevan lagi.

Lupakan sahaja Umno/BN, tinggalkanlah dia selama mana ia menolak al-Quran dan Hadis dan menjadi pengkhianat agama, bangsa dan tanah air.

Kepada Badan Perhubungan PAS negeri kita harapkan kecaknaan dan tumpuan yang lebih hendaklah diberikan kepada Kuala Nerus dalam mengatur dan melaksanakan program dan aktiviti parti, kerana kawasan ini ternyata subur untuk kemenangan perjuangan Islam.

Bagi melangsungkan perjuangan kita di Kuala Nerus ini saya mengharapkan semua jentera parti di peringkat MTD, UPU dan Cawangan hendaklah diperkemaskan dan diperkasakan. Gerak kerja daftar pemilih hendaklah diberi keutamaan. Menambah keahlian dan Cawangan hendaklah diusahakan. Semua jentera pilihan raya hendaklah dilatih supaya benar-benar mahir agar dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab lebih berkesan.

Saya ingin mengingatkan setiap ahli PAS dan penyokongnya agar dapat memahami dan mengingati rukun-rukun utama perjuangan yang perlu kita miliki bersama dalam mengharungi dan menghadapi cabaran dalam perjuangan. Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:

Jika apa yang kamu bawa ini harta benda dunia yang mudah dicapai dan perjalanan yang sederhana jauhnya, nescaya mereka (dengan mudah) akan mengikutimu. Tetapi jarak perjalanan begitu jauh untuk mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah (dengan kata) jika kami berupaya keluar, maka kami akan keluar bersama kamu. Mereka membinasakan diri sendiri dengan sumpah yang dusta, dan Allah mengetahui sesungguhnya mereka adalah dusta. [Surah at-Taubah : 42]

Perjuangan yang besar dan jauh bagi menegakkan cita-cita Islamiyyah ini hanya akan dirasakan dekat dan mudah untuk dipikul oleh orang-orang yang beriman yang yakin kepada janji dan pertolongan Allah SWT. Walaupun amanah Allah SWT yang dipikul ini berat, tetapi keyakinan yang teguh dan pegangan yang kuat kepada kebenaran Islam meletakkan mereka yang berjuang terus berada dalam saf perjuangan dengan penuh ketabahan dan kesabaran. Mereka terus istiqamah dan tidak gentar dan takut dengan ujian dan halangan.

Tetapi bagi golongan yang tidak yakin, mereka akan merasakan perjuangan ini tidak akan ke mana. Perjuangan ini tidak begitu sesuai dengan keadaan masyarakat. Perjuangan ini terlalu ideal dan susah untuk mendapat kejayaan. Lantas mereka berpura-pura memperjuangkan Islam di dalam jamaah yang lain.

Sesungguhnya kejayaan dan kemenangan perjuangan kita hanya akan tercapai apabila pendokongnya mempunyai keimanan yang kuat. Keimanan yang memancar dari hati yang suci. Keikhlasan yang padu yang terbit dari sanubari yang bersih. Semangat yang tinggi yang lahir daripada perasaan yang tinggi. Kesediaan untuk bekerja dan berkorban secara berterusan yang digerakkan oleh keazaman yang teguh. Kejayaan dan kemenangan perjuangan kita tidak datang melainkan sebagai hasil gerak kerja yang berterusan. Kejayaan dan kemenangan perjuangan kita tidak lain melainkan natijah daripada tanzim yang rapi. Kejayaan dan kemenangan kita tidak lain daripada hasil tarbiyah dan pendidikan yang sempurna. Dalam hal ini Asy-Syahid Sayyid Qutb pernah menyatakan:

Tidak ada harakah tanpa tanzim dan tidak ada tanzim tanpa tarbiyah.

Apabila ciri-ciri ini dimiliki dengan teguh, insya' Allah, parti kita terus bergerak di tengah-tengah masyarakat dan menjadi wadah perjuangan bagi mengembalikan martabat umat yang terbaik yang berperanan sebagai pendidik dan pemimpin dengan pertolongan Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud:

Dan mereka yang berjihad pada jalan Kami, akan Kami tunjukkan jalan-jalan Kami. Sesungguhnya Allah bersama-sama para muhsinin. [Surah al-Ankabut : 69]

Bagi memantapkan lagi perjuangan kita, saya menyeru supaya ahli dan penyokong PAS meningkatkan hubungan baik dengan Allah dan Rasul-Nya, menambah ilmu, meningkatkan kefahaman Islam, memberati masalah tarbiyah, meningkatkan kemahiran kerja, meninggikan disiplin dan akhlak berjamaah, membulatkan perpaduan, mengukuhkan ukhuwwah dan persaudaraan, mengukuhkan ketahanan dan kesabaran, memperbanyakkan pengorbanan, menguatkan kedudukan kewangan, menggerakkan kerja-kerja kebajikan dan menjaga ahli dan masyarakat, menjaga dan memelihara jamaah daripada sebarang pencemaran dan tidak takut dan segan silu menyampaikan dakwah kepada orang Islam atau bukan Islam.

Akhirnya PAS Kawasan merakamkan penghargaan yang tinggi kepada bekas pimpinan PAS sama ada yang masih hidup mahupun yang sudah meninggalkan kita. Pengorbanan mereka begitu besar dan banyaknya jasa mereka kepada PAS hingga berjaya meletakkan PAS seperti yang kita warisi sekarang. Saya dan rakan-rakan dalam saf kepimpinan yang saudara saudari beri mandat dalam mesyuarat agung yang lalu insya' Allah, akan terus melaksanakan amanah dan tanggungjawab semampu mungkin dengan sokongan dan kerjasama baik supaya sama-sama kita dapat tingkatkan prestasi, daya juang, pengurusan dan pentadbiran, aktiviti dan pendekatan yang sesuai dan berkesan, sehinggalah kita mendapat kejayaan dan kemenangan yang dijanjikan.

Firman Allah yang bermaksud:

Dan katakanlah (wahai Muhammad), beramallah kami (akan segala yang diperintah), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan. Dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata. Kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.

Tiada ulasan: