PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

21 Julai 2008

Sabasun: Hyper runcit unik di dunia

SABASUN HyperRuncit Sdn Bhd adalah sebuah hyper runcit milik bumiputera Islam 100% yang terletak dekat bandar Kuala Terengganu. Lokasinya ialah di Jalan Bukit Kecil yang jaraknya kira-kira 2 kilometer dari pusat bandaraya Kuala Terengganu.

Bagi saya Sabasun adalah hyper runcit yang paling unik di Malaysia, bahkan mungkin di dunia. Ada beberapa faktor yang menyokong hujah saya ini. Antaranya ialah komitmen yang tinggi dari pihak pengurusannya dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik dengan menawarkan harga terendah atau murah. Sebab itulah motto Sabasun ialah Harga Muroh Sokmo (Everyday Low Prices).

Sabasun juga berusaha melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Muslim
khususnya kepada orang Islam bagi memastikan barangan yang dijual adalah halal. Pihak Sabasun sanggup melawat kilang-kilang yang mengeluarkan produk-produk tertentu bagi memastikan proses yang dijalankan adalah tidak bercanggah dengan syara'. Dengan ini para pelanggan Sabasun tidak perlu berasa syak atau ragu tentang status halal barangan di situ.

Sesuatu yang pelik terdapat di Sabasun yang mungkin tidak akan kita temui di tempat lain ialah mereka menjalankan kempen boikot barangan tertentu yang berkait dengan sensitiviti orang Islam walaupun barangan berkenaan adalah barang popular yang menjadi keperluan ramai. Mereka sanggup kerugian dengan nilai harga yang tinggi dalam melaksanakan perkara berkenaan.

Contohnya dalam Kempen Boikot Barangan Amerika dan Israel, mereka menyebut:

"Kami memulai pemboikotan tersebut dengan kadar kemampuan yang ada pada kami terlebih dahulu. Setakat ini, kami telah memboikot beberapa produk pilihan seperti Coca Cola, Pepsi, rokok, sebahagian dari produk Nestle (aiskrim jenama Nestle, bersama 80 jenis barangan Nestle yang lain; Nestle mempunyai lebih kurang 400 jenis barangan kesemuanya), dan termasuklah Pringles yang dimaksudkan.

"Setelah memboikot barangan tersebut, kami telah kehilangan nilai jualan melebihi RM100 ribu sebulan. Jikalau ditinjau dari sudut bisnes, keputusan ini amat merugikan. Kami akui masih terdapat barangan keluaran negara tersebut di dalam premis kami. Kami berterus terang di sini bahawa di dalam kebanyakan kedai runcit atau supermarket, terdapat lebih 40% barangan keluaran negara pengganas Amerika, England dan Australia. Untuk terus berhenti menjual kesemua 40% barangan tersebut serentak bermakna kami terpaksa mengalami kejatuhan perniagaan. Dan apabila Sabasun tiada, sudah tentu kami tidak mampu langsung untuk terus berjuang. Oleh itu kami mengambil langkah secara berperingkat-peringkat. Kita perlu bertindak RASIONAL, bukan secara EMOSI.

"Sekiranya pemboikotan barangan ini semata-mata helah untuk ambil hati orang Islam, pihak kami tidak akan sanggup untuk menanggung kehilangan jualan sebanyak ini tiap-tiap bulan. Tetapi, kami sangat percaya kepada janji-janji Allah di dalam surah Al-Insyiraah ayat 5-8 yang bermaksud:

Maka sesungguhnya beserta kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya beserta kesulitan itu ada kemudahan. Maka apabila engkau telah selesai, maka tegaklah. Dan hanya kepada Tuhanmu hendaklah engkau berharap.

"Pihak kami juga memboikot barangan baru yang mempunyai unsur-unsur atau ciri-ciri Amerika walaupun produk tersebut buatan Malaysia. Sebagai contoh, barangan yang mempunyai bendera Amerika, atau mercu tanda Amerika (contoh: Statue of Liberty, American Bald Eagle dll), hatta barangan yang tertulis perkataan Amerika di atasnya, termasuk juga watak-watak kartun Disney Picture.

"Ayuhlah kita sama-sama berjuang semampu yang ada untuk bersama membela maruah umat Islam yang saban hari semakin kurang pembelanya. Semuga Allah memberi petunjuk-Nya. Maafkan pihak kami sekiranya ada terkasar bahasa di dalam penerangan ini. Kita mungkin hanya bertentangan pendapat, tetapi sebagai umat Islam, kita perlu terus bersatu utuh di dalam mengharungi cabaran global dewasa ini. Segala yang baik itu datang dari Allah, dan yang tidak baik itu datang dari kelemahan pihak kami sendiri."

Begitu juga dalam Kempen Boikot Barangan Belanda ekoran penerbitan dan pengedaran filem pendek yang memfitnah, menghina dan memburukkan agama Islam bertajuk ‘Fitna’ oleh Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilder pada 27 Mac 2008 yang lalu. Ada juga pasaraya lain yang menjalankan kempen ini, tetapi sekadar melabelkannya sahaja sebagai barangan Belanda, sedangkan barangan berkenaan terus dijual. Bagi Sabasun, mereka tegas dalam perkara ini; semua barangan keluaran negara Belanda tidak dipamer dan tidak dijual.

Satu perkara lagi yang saya berasa cukup kagum dengan Sabasun ialah mereka sanggup tidak menjual barangan yang memang laris di pasaran atas alasan barangan berkenaan mempamerkan tubuh wanita secara keterlaluan seperti sabun Lux. Ini suatu sikap tegas yang patut dipuji.

Saya juga ingin merakamkan penghargaan yang sangat tinggi kepada pihak Sabasun atas usaha gigihnya membantu para pelajar miskin yang sedang belajar agama terutama di luar negara. Tidak sedikit sumbangan yang dikeluarkan setiap bulan kepada pelajar-pelajar berkenaan. Ini adalah sebahagian tanggungjawab sosial yang dilaksanakan oleh Sabasun, selain daripada sumbangan-sumbangan biasa yang sentiasa dihulurkan bagi tujuan kebajikan.

Berikut saya perturunkan beberapa petikan komen para pengguna yang merupakan pelanggan Sabasun:

"Saya respek betullah Sabasun dalam isu boikot barang Belanda. Dalam Malaysia ini tidak ramai yang cakap dan buat, majoritinya hanya tahu cakap tetapi bila masuk bab buat.... hampeh! Tapi Sabasun steady beb! Mereka cakap dan buat. Itu yang buat aku makin sayang kepada Sabasun!"

"Sekarang aku sokmo pergi Sabasun sebab Sabasun ada prinsip dan maruah seperti aku. Hidup SABASUN! We'll always support you..."

"Semua masyarakat menyokong dan dalam sokongan itu ada terselit doa kemakmuran atas segala usaha Sabasun. Ya Allah! Makmurkan Sabasun. Semoga suatu hari nanti hyperruncit ini akan sebenar-benarnya HYPER... Amin."

"Kudoakan rahmat Allah buat seluruh warga Sabasun. Walaupun ku jauh di Sabah tapi doaku buat kalian tak pernah kulupakan. Sebut sahaja Sabasun; hanya doa kebaikan buat kalian semua. Amin."
"Walaupun Sabasun jauh, saya dan suami sanggup shopping di Sabasun walaupun banyak shopping mall yang dekat dengan rumah. We always support Sabasun."

"Sememangnya aku amat respect dengan Sabasun. Pekerjanya tersangat-sangat jujur. Ada satu hari aku dengan keluarga membeli-belah di Sabasun dan aku telah tertinggal handset dalam troli (handset tu dalam beg tangan Nokia N73). Dalam perjalanan balik kereta aku pulak temperature naik dekat stesen minyak Mobil atas jambatan. Ayah aku terima panggilan dari nombor handset aku yang mengatakan handset tersebut telah ditemui di dalam troli oleh seorang pekerja Sabasun. Aku terkejut sebab aku tidak sedar pun bila handset itu hilang. Dengan segera ayah aku ke Sabasun untuk menuntut handset itu. Kesimpulannya kalau diikut pada zaman sekarang, amatlah susah nak cari orang yang jujur macam ini. Kepada Sabasun syabas kerana mempunyai pekerja yang sejujur ini. SABASUN TETAP PILIHAN NO.1."

"Dulu masa dekat-dekat Mydin nak buka ada orang kata, nanti matilah Sabasun dan kedai-kedai runcit kecil. Tapi nampaknya tidak pun. Begitu juga masa Giant nak buka pun kata begitu juga, tapi hampeh pun tiada. Sabasun masih tegak juga, kedai runcit kecil-kecil pun macam tu juga. Nampak gayanya orang Terengganu tak berapa hairan juga dengan kedai besar-besar ni. Yang membeli ramai-ramai tu gamaknya banyak orang luar, bukan orang Terenganu kita. Syabas orang Terangganu."

"Sabasun lebih murah dari Giant dan Mydin. Sokonglah Sabasun... orang kita."

"Walau di mana aku berada, bila balik Terengganu aku mesti pergi Sabasun. Dari aku kecil sampai sekarang, tak kiralah ada Giant ke, ada Mydin ke, what ever.... Sabasun tetap aku kunjungi... demi menolong memajukan perniagaan orang orang Melayu Islam Terengganu.... all the best to you man!"

"Kita semua kena contohi abang Sabasun. Berniaga-berniaga juga. Etika, martabat dan kehormatan sebagai seorang Islam dan rakyat Malaysia juga terlaksana. Menatang apa laungkan agama tapi belakang jual barangan Yahudi.... "

"Aku tetap sokong Sabasun. Giant dakwa mereka adalah peneraju harga rendah di Malaysia? Kalau di KL bolehlah sembang, tapi di Terengganu ni silap ler. Aku biasa shoping RM 300 - RM 350 sekali shoping di Terengganu ni. Sabasun masih lagi terbaik untuk duit aku. Aku dah cuba di Giant dan jauh lebih mahal keseluruhannya dari Sabasun. Untukmu Sabasun, keep it up. We will support you all d way! "

"Sesungguhnya Sabasun akan tetap di hati dan menjadi pilihan utama rakyat Terengganu. Sabasunlah yang sebenarnya Harga Muroh Sokmo. Peneraju Harga Rendah yang terunggul, bukanlah Giant."

Maka wajarlah kita semua pakat sokong Sabasun. Semoga ada keberkatan dalam pembelian kita, insya' Allah.

Layari lama web: http://www.sabasun.com/

Tiada ulasan: