PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

03 Ogos 2008

Hilangnya sebutir permata

KIRA-KIRA jam 12.00 tengah hari, telefon bimbitku berdering. Aku menerima panggilan masuk dari seorang sahabat, Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Terengganu. Beliau memulakan bicara dengan ungkapan "jangan terkejut". Aku jadi tertanya-tanya. Di kepalaku menjangkakan sudah tentu ada berita yang mengejutkan untuk disampaikan kepadaku.


Beliau memaklumkan bahawa Puan Hajah Hamidah Daud, Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu merangkap Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuala Nerus telah meninggal dunia. Mulutku lantas menyebut "Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Raji'un".

Bagi mendapat maklumat lanjut, aku terus menghubungi nombor telefon bimbit kepunyaan almarhumah. Panggilanku disambut oleh anaknya, Amal. Beliau memaklumkan bahawa ibunya baru sahaja meninggal pada kira-kira jam 11.40 pagi di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Almarhumah khabarnya mengikuti rombongan Dewan Muslimat ke Indonesia pada Jumaat lalu dan pulang pagi tadi. Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau terus dibawa ke hospital dan menghembuskan nafas terakhirnya di situ.

Tarikh 08.08.08 adalah hari ulangtahun kelahiran almarhumah yang ke-52. Menjelang lima hari lagi ke tarikh itu, almarhumah telah dipanggil untuk menghadap Pemilik Alam ini.

Hajah Hamidah Daud, atau lebih mesra dipanggil sebagai Kak Dah, sama ada oleh orang muda atau orang tua terkenal sebagai seorang yang tegas dan petah berbahas. Selain jawatannya di peringkat Negeri dan Kawasan, almarhumah juga diberi amanah sebagai Ketua Penyelaras Muslimat PAS Dun Bukit Tunggal.

Mesyuarat biasanya akan menjadi lebih 'panas' bila almarhumah ada bersama. Walaupun kadang-kadang timbul kontroversi, tetapi begitulah adat bermesyuarat dalam mencari titik keputusan bagi pelaksanaan sesuatu perkara. Peranannya dalam sesuatu mesyuarat telah berjaya menghidupkan mesyuarat itu.

Almarhumah terkenal dengan sifat beraninya, kadang-kadang jauh mengatasi keberanian seorang lelaki. Pernah pada Pilihan Raya Kecil DUN Anak Bukit, Kedah, almarhumah berdebat dengan seorang menteri ketika bertembung dalam satu rumah semasa kempen. Begitu juga apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Kecil Teluk Pasu suatu ketika dahulu, almarhumah dengan beraninya berdepan dengan pembesar-pembesar Umno dan pihak polis sendiri. Bahkan dalam mana-mana pilihan raya, wataknya akan terserlah dengan semangatnya yang berkobar-kobar.

Di kampung-kampung, almarhumah terkenal dengan kuliah-kuliah muslimat dan ceramah-ceramah di kalangan muslimat. Kuliah-kuliah almarhumah sangat diminati oleh orang ramai, termasuk dari kalangan orang atas pagar dan bahkan orang Umno sendiri. Pendekatan yang dibawanya dapat menarik minat para pendengar.

Pemergian almarhumah pada usia menghampiri 52 tahun ini adalah suatu kehilangan besar bagi PAS khususnya di Kawasan Kuala Nerus sendiri dan umumnya di negeri Terengganu. Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas ruh almarhumah dan ditempatkan-Nya bersama para solihin. AL-FATIHAH.

Tiada ulasan: