MINGGU lepas aku kehilangan ibu saudara sebelah ayah. Minggu ini berita sedih menimpa lagi keluarga kami; aku kehilangan bapa saudara sebelah ibuku pula selain kehilangan seorang rakan seperjuangan.
Sebaik selesai berkumandang azan Maghrib dari menara Masjid Al-Muktafi Billahi Shah, Ladang, Kuala Terengganu, bapa saudaraku Mansor Othman, iaitu adik ibuku dari bapa yang berlainan telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu kerana penyakit lelah. Almarhum telah dimasukkan ke Wad 7EF hospital tersebut pada malam sebelumnya.
Kalau sebelah paginya aku menerima berita sedih atas pemergian rakan seperjuangan, Hajah Hamidah Daud, maka di awal malam datang pula satu berita sedih lagi.
Alamarhum Mansor yang kami panggil Ayah Teh adalah anak ketiga dari lima orang adik beradik seibu dan anak pertama dari tiga adik beradik seibu sebapa. Umurnya baru 51 tahun, sama dengan usia kemerdekaan negara, lebih tua daripadaku tiga tahun. Kenangan di zaman kanak-kanak, kami bertiga termasuk seorang lagi bapa saudaraku yang sebaya denganku iaitu adik kepada almarhum 'masuk jawi' bersama.
Ayah Teh adalah seorang yang gigih berusaha. Walaupun pelajarannya tidak setinggi mana, sekadar sekolah rendah sahaja kerana kesempitan hidup apabila kematian ayahnya sejak usianya masih kecil lagi. Di zaman kanak-kanak, beliau sudah bekerja menjaja aiskrim dengan berjalan kaki ke sekeliling kampung. Kalau ada perlawanan bola sepak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, beliau akan berjaja di sana. Aku juga pernah membantu beliau menjaja aiskrim. Aku masih ingat, dengan membimbit termos yang berisi aiskrim dan sebuah loceng di tangan.
Di zaman remaja dan seterusnya, almarhum berjaya dalam kerjayanya sebagai kontraktor binaan dengan projek yang tidak pernah putus, sampai dua tiga tempat dalam satu-satu masa. Ramai anak-anak kampung termasuk anak-anaknya sendiri yang bekerja dengan almarhum.
Almarhum terkenal sebagai seorang yang mudah mesra dan ramai kawan. Tidak hairanlah, apabila tersebarnya berita kematiannya, di rumahnya telah dipenuhi oleh jiran-jiran dan sahabat handai serta rakan taulan, sehingga sampai lewat malam.
Jenazahnya akan disembahyangkan di Masjid Kampung Batin, kampung kelahirannya pada jam 11.00 pagi dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Batin selepas itu. Almarhum meninggalkan dua orang balu dan 16 orang anak.
Hari ini keluarga besarku berkumpul lagi. Dari jauh dan dekat, kami dapat berhimpun penuh seramai 10 orang adik beradik bersama 54 orang anak-anak dan seorang cucu yang merupakan cucu cicit ibu kami, Ramlah Muda.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruh almarhum serta ditempatkan bersama para solihin. AL-FATIHAH.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan