PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

07 Ogos 2008

Permatang Pauh: Berpeluangkan BN?

SURUHANJAYA PILIHAN RAYA (SPR) telah menetapkan 16 Ogos sebagai hari penamaan calon dan 26 Ogos sebagai hari pembuangan undi bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen P44 Permatang Pauh. Pilihan raya tersebut diadakan ekoran perletakan jawatan penyandangnya selama tiga penggal, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi memberi laluan kepada suaminya yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataan media yang diedarkan kepada wartawan, Pengerusi SPR Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman menyatakan seramai 58,459 pemilih termasuk 490 melalui pos layak membuang undi. Daftar pemilih yang digunakan dalam pilihan raya tersebut dikemaskinikan sehingga 31 Julai, katanya.

Terdapat 28 Unit Peti Undi (UPU) seluruh Parlimen ini di mana sembilan di N10 Dun Seberang Jaya, sembilan di N11 Permatang Pasir dan sepuluh di N12 Penanti. Dato' Seri Wan Azizah memperolehi 30,338 berbanding pencabar tradisinya, bekas Imam Besar Masjid Negara, Dato' Pirdaus Ismail yang bertanding atas tiket BN 16,950 undi.

Pada tahun 1999 majoritinya 590, tetapi pada Pilhan Raya Umum Ke-12 ianya bertambah 13,388. Keseluruhan pengundi di situ ialah 58,449 di mana pengundi yang keluar membuang undi 47,398. Peratus mengundi 81.09 peratus manakala undi rosak 110 sahaja.

Peratus Melayu di sini ialah 68.5 peratus, Cina 24.79 peratus, India 6.3 peratus, manakala kaum lain 0.41 peratus. Dun N10 Seberang Jaya yang dimenangi Umno-BN menerusi calonya, Dato' Arif Shah Omar Shah mengalahkan calon PKR, Ramli Bulat dengan kelebihan 533 berbanding pada Pilihan Raya Umum Ke-11 lalu 4,464.

Dato' Arif Shah memperolehi 9,395 undi berbanding Ramli 8,862 di mana jumlah pemilih keseluruhanya ialah 22,678. Di sini pengundi Melayu berjumlah 62,36 peratus, Cina 23.97 peratus, India 13.13 peratus, manakala kaum lain 0.54 peratus.

Antara daerah mengundi (UPU)nya ialah Jalan Sembilang, Seberang Jaya Dua, Kampung Pertama, Kampung Belah Dua, Seberang Jaya Satu, Jalan Bahru, Simpang Empat, Jalan Tuna dan Taman Tun Husein Onn. Di Dun ini jumlah keluar mengundi ialah 18,479, peratus mengundi keluar 81.48 peratus manakala jumlah undi rosak ialah 222.

N11 Dun Permatang Pasir pula PAS dapat mempertahankan kemenangan tiga penggal berturut- turut apabila bekas Pesuruhjaya PAS Negeri, Hamdan Abdul Rahman memperolehi 11,004 mengalahkan calon BN, Ahmad Sahar Shuib yang mendapat undi 5,571. Majoriti yang didapatinya begitu tinggi iaitu 5,571 undi berbanding dalam pilihan raya ke-11 lalu hanya 679 sahaja. Jumlah keseluruhan pengundi di Permatang Pasir ialah 20,350 di mana 72.31 peratusnya Melayu, 25.94 peratus Cina, India 1.61 peratus dan lain-lain kaum 0.14 peratus.

Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu pengundi yang keluar melaksanakan tangungjawab sebagai rakyat Malaysia berjumlah 16,802 iaitu 82.57 peratus, manakala undi rosak 227 kertas undi. Antara UPU yang wujud di Dun Permatang Pasir ialah Sama Gagah, Permatang Ara, Permatang Pauh, Bukit Indera Muda, Kampung Pelet, Kubang Semang, Tanah Liat Mukim 8, Kampung Cross Street Dua dan Permatang Tengah.

Sementara itu di N12 Dun Penanti pula PKR menunjukkan taring apabila merampasnya kembali daripada BN menerusi calonnya, Mohamad Fairus Khairudin yang memperolehi undi 7,346 berbanding penyandangnya Dato' Abdul Jalil Abdul Majid BN 5,127. Majoriti yang diperolehi ialah 2,219. Sebelum ini, calon PKR, Haji Abdul Rahman Kadir berjaya mengalahkan calon BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-10, manakala pada Pilihan Raya Umum Ke-11 PKR tewas kepada BN dengan majoriti 667 undi sahaja. Jumlah keseluruhan pengundi di sini ialah 15,421. Jumlah pengundi yang keluar mengundi ialah 12,657 iaitu 82.08 peratus, manakala undi rosak pula 184. Mengikut peratus kaum pula Melayu 72.51 peratus, Cina 24.32 peratus, India 2.43 peratus dan kaum lain 0.57 peratus.

Di Dun ini terdapat sepuluh UPU iaitu Guar Perahu, Kuala Mengkuang, Telok Wang, Mengkuang, Sungai Lembu, Penanti, Kubang Ulu, Sungai Semambu, Tanah Liat Mukim 9 dan Jalan Berapit.

Melihat kepada senario di atas, secara adatnya agak sukar bagi BN untuk memenangi pilihan raya ini. Mood rakyat sejak pilihan raya lalu masih tidak berubah, bahkan secara zahirnya nampak semakin kuat bersama Pakatan Rakyat (PR) dan sekaligus masih marah dengan BN.

Sementelahan pula khabarnya BN akan menurunkan Dato' Abdul Jalil Abdul Majid yang telah ditolak oleh rakyat di Dun Penanti pada pilihan raya lalu dengan majoriti yang agak besar juga sebagai calonnya dalam pilihan raya ini. Mungkin beliau akan menerima nasib yang sama sebagaimana pilihan raya lalu.

Dari segi isu BN akan gunakan isu peribadi yang didakwa terhadap Anwar yang sudah dibawa ke mahkamah mulai hari ini. Ini bererti BN tidak boleh menggunakan isu ini kerana ia masih dalam perbicaraan yang nantinya boleh didakwa menghina mahkamah. Maka isu apa lagi yang akan diketengahkan oleh BN? Sedangkan di pihak PR terlalu banyak isu yang melibatkan rakyat yang pastinya akan menarik perhatian pengundi untuk terus menolak BN.

Kita yakin bahawa pengundi di Permatang Pauh adalah pengundi yang bijak membuat pilihan yang paling tepat bagi kelangsungan kehidupan mereka. Semoga mereka boleh menggunakan kewarasan minda mereka untuk menentukan masa hadapan mereka yang terbaik.

Tiada ulasan: