Firman Allah SWT yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh. (As-Saff : 2-4)
Marilah kita kota dan laksanakan apa yang kita ucapkan dalam muktamar ini.
Laporan media sama ada cetak atau elektronik yang membesarkan isu muzakarah/muqabalah sebelum ini seolah-olah menggambarkan sesuatu yang besar berlaku pada muktamar kali ini. Muktamar ini dikatakan tidak boleh dikawal dan berlaku perpecahan hebat. Tetapi muktamar kita tenang, kerana kita bersifat dengan Islam dan golongan Islam. Islam mengajar kita untuk berparti atau berjemaah untuk wala' (setia) kepada pemimpin.
Muktamar sebenarnya tempat kita berkhilaf pendapat, berbahas dan bertukar pandangan. Adab ikhtilaf inilah yang kita amalkan dalam muktamar ini. Ia hendaklah dihafal dan diamal oleh semua ahli bagi memperkasakan parti.
Kita perlu membina parti kita menjadi parti yang perkasa. Kita perlu membinanya dengan sifat-sifat Islam. Kita mestilah menjadi ahli parti yang beriman, berilmu dan berakhlak melalui program tarbiyah yang bukan sahaja melalui pembacaan kita dari buku-buku, tetapi melalui pengalaman kita juga.
Negeri-negeri yang diperintah oleh kita akan diisi dengan Islam yang kita perjuangkan. Kita mestilah mengambil peluang masa berharga semasa pemerintahan kita sebagaimana Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang hanya memerintah selama dua tahun sahaja, tetapi memberi kesan yang sangat besar sehingga menjadi iktibar sepanjang zaman.
Kita akan menyelaraskan negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat dengan menubuhkan Majlis Menteri Besar melibatkan semua pemimpin peringkat kerajaan.
Kita wajib melaksanakan keadilan kepada semua rakyat termasuk yang bukan Islam. Sebagaimana Rasulullah SAW, baginda berusaha mengislamkan individu, kabilah dan negara. Baginda bukan sahaja berdakwah di masjid, tetapi keluar ke lapangan melalui seruan dan pengutusan surat kepada ketua-ketua negara atau pembesar-pembesar. Mesej ini mestilah kita sambung.
Kita mestilah membuktikannya melalui pelaksanaan Islam setakat kuasa yang diberikan kepada kita di negeri-negeri yang kita kuasai. Tunjukkan jiwa besar dan jati diri kita dalam kerajaan yang kita perintah.
Sesungguhnya sasaran perjuangan kita adalah luas dan lautan yang kita harungi juga adalah sangat luas yang dipenuhi dengan ribut dan badai. Tetapi akar tunjang kita kuat dan insya' Allah, tidak akan menjejaskan kita. Sementara perjuangan ini pula tiada penghujungnya sehingga kita bertemu dengan Allah SWT.
Kelab Penyokong PAS akan diperkasakan di mana sebelum ini ada cadangan mahu melantik mereka sebagai senator. Namun belum lagi ada persediaan untuk mereka sebagai senator memandangkan ia melibatkan banyak prosedur. Selain itu ada juga cadangan melantik senator dari kalangan ahli PAS di Sabah dan Sarawak di negeri-negeri yang diterajui kerajaan Pakatan Rakyat.
Akhirnya, merakamkan ucapan terima kasih kepada PAS Perak kerana berjaya menjadi tuan rumah muktamar kali ini dan semua yang terlibat dalam menjayakan muktamar ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan