PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

17 November 2008

Misi Kemboja (3): Kenangan sepanjang jalan (sambungan)

RABU, 5 November 2008, hari ketiga kami dalam musafir ke bumi Kemboja.

Awal pagi kami dikejutkan oleh siak yang telah datang membuka masjid dan menyiapkan hamparan bagi solat. Sempat juga kami bertahajjud walaupun dalam keadaan tubuh yang agak keletihan.

Solat Subuh pagi itu diimami oleh Haji Salleh, seorang usahawan Cina Kemboja yang telah mendapat taraf penduduk tetap Malaysia yang berulang-alik sebulan di Malaysia dan sebulan di Kemboja (mempunyai dua orang isteri). Bacaan al-Qurannya sangat mengasyikkan kami. Sebenarnya itulah rata-rata yang kami jumpai di Kemboja ini, imam-imam mereka sangat baik bacaan al-Quran.

Selesai solat, kami mengadakan sedikit perbincangan bersama Haji Salleh, Ustaz Sulaiman (guru agama di Masjid Muhajirin, Poipet), sementara keluarga siak menyiapkan makanan untuk bekalan perjalanan kami seterusnya.

Pada kesempatan itu juga, kami menyampaikan sedikit sumbangan kepada Ustaz Sulaiman yang menjadi tenaga pengajar tunggal di madrasah masjid tersebut. Selain itu, kami juga memberi sumbangan pakaian terpakai kepada keluarga siak yang sangat baik hati itu.

Selepas bersarapan ringan di masjid itu, kami mula bertolak dari masjid dengan menaiki 'teksi' (motorsikal seperti tuk-tuk juga) ke stesen bas. Semasa hendak menaiki bas, kami agak keliru ketika mencari pintu bas bagi penumpang. Rupanya pintu di sebelah kanan, kerana di Kemboja pemandunya di sebelah kiri.

Tepat jam 6.45 pagi waktu Kemboja (sama dengan 7.45 pagi waktu Malaysia), bas ekspres Poipet - Phnom Penh mula bergerak menuju destinasi. Bas berhenti di beberapa stesen di bandar-bandar seperti Sisiphon, Battambang dan beberapa pekan kecil lain untuk mengambil penumpang.

Dalam bas, kami sempat berkenalan dengan tiga beranak keluarga Islam Kemboja (ibu dan dua anak perempuan). Mereka tidak boleh berbahasa Melayu, cuma anaknya bolehlah sikit-sikit bahasa Inggeris. Banyak soalan kami tidak mereka fahami.

Semasa bas berhenti untuk makan tengah hari, kami hanya berehat sahaja. Maklumlah restoran berkenaan bukan kepunyaan orang Islam. Mujur kami telah dibekali dengan nasi berlaukkan telur goreng oleh keluarga siak sebelum bertolak tadi.

Sesuatu yang menarik, semasa bas berhenti rehat, mereka sempat mengangkat sebuah injin bas yang rosak ke dalam tempat barang bas yang kami naiki. Rakan-rakan bergurau, "Bas ini akan bertambah power kerana punya dua injin."

Satu perkara lagi, sebelum masuk ke Phnom Penh, bas itu berhenti untuk dibersihkan dahulu. Mungkin itu syarat dan peraturan yang telah ditetapkan di negara mereka.

Jam 3.45 petang, setelah sembilan jam dalam perjalanan, akhirnya bas yang membawa kami itu tiba di Bandaraya Phnom Penh. Kami terus ke Restoran Malaysia, milik Puan Mariam, isteri warga negara Malaysia yang fasih berbahasa Melayu. Restoran itu terletak di tengah-tengah bandaraya Phnom Penh.

Selepas makan masakan Malaysia, kami naik ke tingkat atas restoran itu untuk solat jama' taakhir Zuhur/Asar.

Menjelang senja, kami sempat mengambil angin di pesisir Sungai Mekong yang dihiasi dengan bot-bot pelancong yang berwarna-warni. Kami berjumpa dengan warga Kemboja yang boleh berbahasa Melayu.

Kami kembali ke Restoran Malaysia untuk menunggu Ustaz Sulaiman Hassan, kenalan kami di Kemboja ini. Di situ kami berjumpa dengan dua orang rakyat tempatan iaitu Abdul Wahid Abdullah, pembantu Mufti Kemboja dan Ustaz Mohd Farid Hosen, Pengarah Eksekutif Cambodian Muslim Intellectual Alliance (CMIA) yang pernah belajar di Ma'ahad Tahfiz al-Quran, Padang Midin, Terengganu.

Malam itu hujan turun dengan lebat sekali. Kira-kira jam 7.30 malam, Ustaz Sulaiman tiba untuk menjemput kami. Ustaz Sulaiman membawa kami mengelilingi bandaraya Phnom Penh dalam suasana hujan lebat dan di beberapa tempat terpaksa mengharungi air banjir kilat.

Malam itu kami menginap di Moha Leap Guest House, Phnom Penh.


Menyampaikan sumbangan kepada Ustaz Sulaiman di Masjid Muhajirin, Poipet.


Dalam bas dari Poipet menuju Phnom Penh


Bersama Haji Salahuddin di Sisophon


Suasana kesibukan bandar Battambang


Di pesisir Sungai Mekong dengan bot pelancong

...Bersambung

Tiada ulasan: