PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

16 November 2008

Tanggungjawab dalam pendidikan

SEBERANG TAKIR: Semua pihak mempunyai tanggungjawab dalam mendidik anak-anak, termasuk pemerintah, masyarakat, ibu bapa dan guru-guru.

Masing-masing mempunyai peranan tertentu dalam memastikan pendidikan itu berhasil dan mencapai tujuannya.

Demikian ditegaskan oleh Ustaz Ridzuan Hashim, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Nerus ketika berucap merasmikan Ihtifal Tahunan Ke-19 PASTI DUN Seberang Takir di PASTI Al-Mawaddah, Teluk Ketapang dekat sini kelmarin.

"Para guru mempunyai peranan dalam mendidik jiwa anak-anak, begitu juga ibu bapa, masyarakat dan pemerintah sendiri," ujar beliau.

Beliau turut mengingatkan agar pendidikan Islam dilaksanakan secara berterusan dan berkesinambungan.

"Jangan pada peringkat mula sahaja kita laksanakan dengan baik, tetapi di peringkat lain lari dari asas yang dibina.

"Banyak pengalaman, di mana keluhan para ibu bapa berkenaan akhlak dan budi pekerti anak-anak mereka tidak lagi berada di atas landasan yang benar," tambah beliau.

Dalam memastikan suasana yang baik ini terpelihara, pihak PAS kata beliau, ada menyediakan sistem persekolahan bermula dari prasekolah (PASTI) hingga ke peringkat pengajian tinggi.

Ustaz Ridzuan juga menggesa ibu bapa dan masyarakat terus menaruh kepercayaan yang tinggi kepada sistem pendidikan yang diasaskan ini.

"Ia telah terbukti daripada hasil usaha kita ini yang melahirkan pelajar-pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga dari segi akhlak memenuhi sebagai muslim sejati," tegasnya lagi.

Dalam majlis ihtifal itu, seramai 204 orang pelajar dari empat buah PASTI di DUN Seberang Takir telah menerima sijil dan hadiah masing-masing.

Ia turut dimeriahkan dengan persembahan pelajar-pelajar dari keempat-empat buah PASTI berkenaan.

Tiada ulasan: