PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

26 Disember 2008

Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu: PAS mampu menang

SELEPAS enam bulan berlalu Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang, Allah telah mentakdirkan pula berlaku satu lagi pilihan raya kecil. Kali ini negeri Terengganu menjadi gelanggangnya dan medannya di Parlimen Kuala Terengganu.

Kalau di Permatang Pauh, Pakatan Rakyat diwakili oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), maka di Kuala Terengganu ini giliran Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pula diamanahkan untuk berdepan dengan parti pemerintah Barisan Nasional (BN).

Rata-rata kalangan pemerhati politik melihatnya sebagai pertembungan yang sangat sengit. Antara faktornya ialah pilihan raya ini adalah kali pertama berlaku di negeri Terengganu sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12). Ia pastinya menjadi satu penanda aras dan ujian kepada kedua-dua parti yang dominan di negeri ini, dalam suasana tsunami politik dilihat seolah-olah 'tidak' melanda negeri ini pada pilihan raya lalu. Apakah kesan tsunami politik di negeri-negeri di Pantai Barat itu akan turut terbias ke negeri Terengganu kali ini?

Faktor keduanya ialah keputusan PRU-12 lalu di Parlimen Kuala Terengganu adalah sesuatu yang agak 'ganjil' apabila tiga daripada empat kerusi DUN di dalamnya dimenangi oleh PAS dengan jumlah kiraan undi 2,243 majoriti, tetapi undi untuk kerusi Parlimen, PAS kalah dengan 628 undi. Secara umumnya hal ini terjadi disebabkan sikap sesetengah pengundi (kemungkinan pengundi atas pagar) mengambil sikap mengundi PAS di DUN, sebaliknya pula mengundi BN di Parlimen.

Apakah kemungkinan kali ini pengundi berkenaan tidak 'berbelah-bahagi' lagi, kecuali mereka mungkin akan 'berbahagi' dengan calon bebas yang dikatakan akan turut mencuba nasib (yang biasanya memang malang) dalam pertarungan kali ini.

Keadaan ini sudah tentu menjadikan pilihan raya ini sangat sengit. Masing-masing parti yang bertarung akan menggunakan segala kesempatan bagi menarik sokongan para pengundi dengan apa cara sekalipun. Bagi BN, seluruh dunia sudah tahu bahawa wang besar menjadi taruhan mereka. Wang yang berjumlah berjuta-juta sudah tentu akan ditabur 'rata' ke seluruh kawasan Kuala Terengganu ini. Maka mewahlah warga Kuala Terengganu untuk sehari dua ini.

Selain itu faktor calon juga turut menyumbang ke arah kemenangan sesebuah parti yang bertanding. Parlimen Kuala Terengganu melibatkan kawasan bandar dan pinggir bandar, dan keseluruhannya berada dalam kawasan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT). Sebahagian besar para pengundinya sudah tentu terdiri daripada golongan berpendidikan dan terpelajar yang tidak mudah terpengaruh dengan isu-isu murahan yang tidak relevan.

Calon-calon yang dikemukakan oleh parti-parti yang bertanding di sini mesti berlatar belakang pendidikan tinggi dan mampu memenangi hati rakyat melalui pendekatan mesra dan cakna rakyat. Perkiraan pengundi di sini sudah tentu berdasarkan komitmen yang mampu dimiliki oleh calon untuk berkhidmat kepada mereka.

BN telah mengemukakan calonnya. Akhirnya Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu berjaya dinobatkan sebagai calon untuk dipertaruhkan oleh BN dalam pilihan raya kali ini, setelah melalui jalan yang agak panjang untuk sampai ke situ. Di mana sebelum ini telah acapkali disebut beliau akan bertanding dalam pilihan raya lalu. Bagi setengah orang Umno, pemilihan Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh menjadi bonus bagi PAS. Kita tidak tahu apa sebabnya. Itu mungkin masalah dalaman mereka. Mungkin juga sikap beliau yang selama ini dilihat agak kurang mesra dengan rakyat bawahan, kerana beliau lahir dari kalangan keluarga elit.

PAS pula sehingga ini masih belum menamakan calon pilihannya. Ini kerana ketetepan telah dibuat untuk mengadakan majlis perisytiharannya pada 1 Januari 2009 nanti. Kita harap calon yang akan dikemukakan nanti adalah calon terbaik yang berada di hati rakyat teramai di kawasan ini yang pasti insya' Allah, akan mampu membawa kemenangan kepada PAS bagi mengulangi kemenangan besar yang pernah diperolehnya pada Pilihan Raya Umum Ke-10 (1999) lalu.

Di kalangan para pengundi di kawasan ini, rata-rata meramalkan bahawa PAS mampu memenangi pilihan raya kecil ini sekiranya calon yang ditonjolkan nanti adalah calon yang kena dengan selera pengundi di sini.

Tiada ulasan: