PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

18 Januari 2009

Sejarah baru dalam pilihan raya kecil



Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.036 Kuala Terengganu telah berlalu dan keputusannya telah diketahui. PAS yang mewakili Pakatan Rakyat kembali merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang pernah dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum Ke-10 (1999) lalu.

Segala persoalan telah terjawab hari ini setelah melalui tempoh masa lebih sebulan setengah setelah kematian Allahyarham Dato' Razali Ismail pada 27 November 2008. Sepanjang tempoh itu, bermacam-macam spekulasi dan cakap-cakap yang kedengaran di mana-mana, dari peringkat paling atas sehinggalah ke peringkat rakyat bawahan.

Antaranya isu calon yang awal-awal diperkatakan. Barisan Nasional (BN) mengambil pendekatan strategi mengumumkan calon lebih awal, sementara PAS telah awal-awal lagi menetapkan tarikh untuk mengumumkan calonnya dalam tempoh yang selesa (dan biasa) iaitu sekitar seminggu sebelum hari penamaan calon.

Perkara ini dijadikan isu oleh BN dengan membuat tohmahan bahawa PAS sukar untuk menentukan calonnya. Memang diakui bahawa PAS agak sukar untuk menentukan calonnya, tetapi bukan kerana kesukaran itu ia lambat diumumkan. Isunya ialah BN telalu awal mengumumkannya. Mungkin tujuannya ialah mereka mempunyai masa yang selesa untuk menyelesaikan perkara-perkara yang berbangkit berkait isu calon di kalangan dalaman mereka.

PAS mempunyai ramai calon yang berkaliber di Kawasan Kuala Terengganu termasuk tokoh-tokoh besar utama PAS di peringkat Pusat sendiri. Maka masa yang ada itu digunakan sebaik-baiknya untuk mendapat pandangan dari semua peringkat, sama ada dalaman parti sendiri sehingga ke peringkat Cawangan atau dari kalangan orang luar atau orang awam, bahkan juga melalui kajian rasmi badan-badan bebas.

Presiden PAS yang diserahkan mandat oleh Jawatankuasa PAS Pusat sudah membuat keputusan paling bijak walaupun beliau mengakui terlalu sukar. Keputusan yang diambil adalah melalui pandangan dari semua pihak tadi dan paling akhirnya ialah menyerahkan kepada Allah SWT melalui istikharah.

PRK ini mencipta banyak sejarah bagi menambah khazanah arkib pilihan raya dalam negara ini. Antaranya ialah:-

1) Bilangan anggota keselamatan (polis) yang dikerah bertugas tidak kurang dari 10,000 orang (walaupun angka rasmi yang diberikan oleh pihak PDRM ialah 6,000 orang), sehingga kawasan Kuala Terengganu ini 'sesak' dengan polis yang berkeliaran di jalan-jalan raya yang menambahkan kesesakannya yang selama ini sudah selalu sesak.

2) Pegawai Pengurus PRK terpaksa (dan mungkin dipaksa) menarik diri dari jawatannya setelah dibuat laporan polis dan bantahan dari PAS sendiri kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas salah laku beliau berkempen untuk BN. Mungkin BN tidak berani mengambil risiko dengan mengekalkannya, maka beliau dinasihatkan supaya menarik diri.

3) Haji Mohd Abdul Wahid Endut mungkin menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
yang pertama yang menang dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen.

4) Bagi negeri Terengganu, inilah pilihan raya kali pertama yang memperlihatkan sokongan padu dan kerjasama erat di kalangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Selain Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP sendiri begitu bersungguh-sungguh dan all out melibatkan hampir semua tokoh-tokoh besar mereka dalam kempen PRK ini.

5) Pihak polis dan SPR menyifatkan PRK ini adalah pilihan raya kecil paling aman dalam sejarah pilihan raya kecil di negara ini.

Kalau boleh dibuat analisis ringkas, kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat dalam PRK ini adalah atas beberapa faktor seperti kekuatan calon PAS sendiri, sokongan yang meningkat dan luar biasa dari pengundi Cina serta kesepaduan kerja dalam parti-parti Pakatan Rakyat.

Tahniah kepada PAS dan Pakatan Rakyat dan selamat bertugas di medan yang lebih besar kepada Yang Berhormat Haji Mohd Abdul Wahid Endut, Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Bersama para penyokong PAS (termasuk kaum India)

Muslimat DUN Seberang Takir yang bertugas di UPU Kg Cina


Penyokong kaum India Selangor dengan cara kempen tersendiri

Sambil makan sempat lagi berkempen

Suasana di bilik penjumlahan undi Markas Besar PAS

Tiada ulasan: