PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

13 Februari 2009

Cerita Bayyin


Anakku yang kesembilan (bongsukah?) NUR RAHMAH BAIYYINAH berumur 3 tahun 4 bulan cukup menyenangkan keluarga kami dengan telatah-telatahnya yang melucukan. Dia sangat suka meniru gaya orang-orang yang lebih tua daripadanya, sama ada cara berpakaian atau percakapan. Kadang-kadang kita tidak terfikir yang dia boleh menutur atau bertindak sesuatu dalam usianya sebegitu.

Di kalangan abang dan kakaknya ada yang memanggilnya dengan Bayyin atau Baiyinah. Dia sendiri membahasakan dirinya dengan Bainah. Bila bercakap atau menceritakan sesuatu perkara, tuturnya begitu lancar mengalahkan orang tua. Kami selalu terbahak-bahak ketawa mendengar 'syarahannya'.

Ada dua cerita menarik baru-baru ini. Pertama, ketika mendengar bunyi bising motosikal yang sedang dibaiki di rumah jiran kami, Bayyin tiba-tiba menjenguk di tingkap dan berkata kepada anak-anak muda yang sedang membuat bising itu, "Jangan kuat (bising) sangat, saya takut." Anak-anak muda itu menjawab, "Tak apa sekejap sahaja." Selepas itu Bayyin menceritakan peristiwa itu kepada emaknya.

Cerita kedua pula, beberapa hari lalu, ketika mendengar van jiran kami yang menjual sayur pulang ke rumahnya, Bayyin tiba-tiba keluar dan menuju ke rumahnya dengan membawa wang sebanyak 40 sen tanpa diketahui oleh emak dan orang lain dalam rumah ini. Dia meminta kepada penjual sayur itu untuk membeli petai tanpa disuruh oleh sesiapa. Si penjual itu memberinya seikat petai yang berharga RM2 dan wang 40 sen yang dibayar oleh Bayyin itu dikembalikan. Emaknya terkejut bila tiba-tiba dia pulang membawa seikat petai dan menjelaskan kepada emaknya apa yang dibuat tadi. Bila ditanya kepada penjual itu, dia mengesahkan bahawa Bayyin datang untuk membeli petai. Emaknya menjelaskan bayaran itu.

Dari dua peristiwa itu, sebenarnya tidak ada orang yang menyuruh atau mengajarnya untuk bertindak sebagaimana yang dibuatnya. Mungkin barangkali dia selalu memerhatikan kelakuan-kelakuan atau tindakan orang tua dan dia cuba menirunya.

Bila sesi persekolahan dibuka pada awal tahun baru-baru ini, kami mendaftar untuk memasukakannya ke Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Al-Mawaddah, Kg Teluk Ketapang yang terletak dalam kawasan rumah kami. Pada minggu pertama, dia hadir penuh lima hari, tetapi masuk minggu kedua, hanya sempat dua hari sahaja. Selepas itu dia enggan untuk ke sekolah lagi. Bila ditanya kenapa tidak mahu sekolah, alasan yang diberi ialah, "Cikgu tak pasang kipas." Sedangkan di bilik kelasnya kipas di siling berpusing ligat. Tetapi baginya itu sahaja alasan yang paling munasabah untuk diberikan bagi menjustifikasikan keengganannya untuk ke sekolah.

Walaupun dia tidak bersekolah, tetapi kebolehannya cukup terserlah dalam mengingati bacaan doa-doa dan zikir-zikir yang diajar di PASTI. Emak, abang-abang dan kakak-kakaknya selalu mengajarnya di rumah. Mulutnya sentiasa menyebut zikir-zikir bila bermain dengan anak-anak patungnya. Yang membanggakan kami, sebutan makhraj doa dan zikir itu betul dan tidak nampak pelat atau telor.

Bayyin menjadi popular bila wajahnya menjadi pilihan sebagai 'widget' dan 'avatar' di beberapa blog atau laman web. Ada juga yang mengambil gambarnya untuk dibuat rantai kunci (key chain) dan khabarnya laris sekali dijual.

Kami doakan semoga Bayyin terbentuk sebagai anak solehah yang menjadi kebanggaan keluarga. Ameen!!!


Tiada ulasan: