PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

14 Februari 2009

Mampukah PR pertahan dua bukit?


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh penamaan calon dan pembuangan undi bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau. Ia akan dijalankan serentak iaitu pada 29 Mac dan 7 April 2009. SPR telah mencipta satu lagi sejarah baru dengan menetapkan tarikh pilihan raya tersebut hampir melepasi tempoh 60 hari yang ditetapkan dalam Perlembagaan. Sebabnya semua orang tahu, iaitu menunggu selesainya Persidangan Agung Umno sekaligus pemilihan pimpinan mereka. Hari penamaan calon akan dijalankan sehari selepas selesai perhimpunan agung Umno itu.

Kedua-dua kawasan itu disandang oleh Pakatan Rakyat, di mana Parlimen P.59 Bukit Gantang dipegang oleh PAS dan DUN N.25 Bukit Selambau oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Persoalannya sekarang, mampukah Pakatan Rakyat (PR) mempertahankan kedua-dua kawasan tersebut dalam pilihan raya kecil itu nanti?

Kalau diambil pengalaman dari dua pilihan raya kecil sebelum ini, insya' Allah, PR boleh terus menguasai kedua-dua kawasan tersebut. Di Permatang Pauh, PKR mempertahankan kerusinya dengan menambah majoriti kemenangan. Sementara di Kuala Terengganu, PAS berjaya merampas kerusi dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti yang besar.

Jika diambil kira trend dan mood pengundi atau rakyat dalam kedua-dua pilihan raya kecil itu, kita yakin bahawa insya' Allah kedua-dua kerusi di Perak dan Kedah itu kita boleh pertahankan.

Ini berasaskan kepada beberapa faktor. Antaranya ialah komposisi kaum bagi kedua-dua kawasan tersebut. Di Bukit Gantang, pengundi Melayu 63.5%, Cina 27.1%, India 9.1% dan lain-lain 0.2%. Sementara di Bukit Selambau pula, pengundi Melayu 50.2%, India 29.5%, Cina 19.3% dan lain-lain 1%.

Sejak pilihan raya umum lalu, pengundi-pengundi bukan Melayu telah memberi sokongan yang besar kepada parti-parti PR. Trend ini dilihat semakin meningkat. Kedua-dua kawasan tersebut, undi bukan Melayu menjadi penentu kemenangan kepada sesebuah parti yang bertanding. Dalam pilihan raya kacil kali ini adalah diyakini bahawa mereka akan terus memberi sokongan yang lebih besar kepada PR.

Faktor lain yang dilihat boleh membantu PR memenangi pilihan raya kecil ini ialah masalah dalaman BN sendiri. Sudah kedengaran di Bukit Selambau, Umno menuntut kerusi itu dari MIC. Kenyataan-kenyataan pemimpin Umno terutama di peringkat Bahagian dan Cawangan secara jelas mahukan kerusi itu dengan terang-terang menyebut, jika sekiranya kerusi itu diserahkan kepada MIC sudah pasti mereka akan kalah.

Sekiranya calon Umno yang dipilih, rasanya peluang PR melalui calon PKR akan lebih cerah untuk mempertahankan kerusi itu. Ini kerana sokongan dari pengundi bukan Melayu terutama India akan solid menyokong PR. Dalam keadaan ini, BN sudah jadi serba salah, dan mungkin awal-awal lagi akan menyerah kalah.

Di Bukit Gantang pula, mereka meletakkan punca kekalahan mereka dalam PRU-12 lalu ialah faktor salah letak calon. Awal-awal mereka sudah menyebut supaya peristiwa itu tidak berulang. Ini berdasarkan kepada kenyataan dari bekas Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Perak, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali dan Ketua Penerangan Umno Perak, Dato' Sarani Ismail. Pemimpin-pemimpin Umno di peringkat Bahagian juga turut menyuarakan hasrat yang sama untuk tidak menerima calon luar.

Dalam satu kajian yang dibuat oleh sebuah badan bebas di negara ini berhubung krisis yang berlaku di Perak sekarang, mendapati hasil yang memihak kepada PR. Daripada 507 responden di kalangan pengundi di negeri itu, didapati 76% mahukan pilihan raya diadakan bagi menyelesaikan kemelut itu. 74% pula mahukan supaya DUN dibubarkan, 62% menyifatkan istina tidak mencerminkan kehendak rakyat. Hanya 29% sahaja yang menyokong tindakan istana itu.

Daripada hasil kajian itu, kita boleh membuat kesimpulan mudah bahawa rakyat terus akan menyokong PR dalam pilihan raya kecil itu nanti.

Bagi PR dan BN, kedua-dua pilihan raya kecil ini sangat penting untuk menjadi penanda aras sokongan rakyat untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Masing-masing sudah pasti akan berhempas-pulas bagi mencapai kemenangan.



Tiada ulasan: