PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

25 Februari 2009

Sejarah hidup Prof Zulkifli Mohamad (2)

Kelahiran dan Pengajian


Manusia sebenarnya tidak mengetahui nasib diri dan nasib orang lain di hari depannya, walaupun ada tukang-tukang tenung untuk mengetahuinya. Mengunjungi tukang tenung adalah suatu perkara yang dikira dosa besar, walaupun ramalan tukang-tukang tenung itu betul ataupun salah, itu adalah suatu pembohongan yang amat besar, kerana yang mengetaui sebenarnya adalah Allah SWT. Sebab itu bagi orang-orang yang sedar hakikat ini akan menumpukan doa restunya kepada Allah semata-mata kerana Ianya Maha Mengetahu dan mempunyai kuasa penuh.

Begitu juga manusia tidak mengetahui bahawa pada 22 Mac 1927 bersamaan 19 Ramadhan 1345, lahirnya seorang kanak-kanak di Kampung Kota Lama Kiri, Perak itu akan menjadi seorang tokoh yang akan menjadi pemimpin tanahair yang berjasa, kerana perjuangannya berdasarkan jalan-jalan yang diredhai oleh Allah. Itulah dia ZULKIFLI MOHAMAD.

Melihat kepada tarikh 19 Ramadhan itu, ialah suatu tarikh yang baik, di mana 17 Ramadhan merupakan sejarah yang tidak dapat dilupakan oleh umat Islam, di mana pada malam itulah berlakunya Nuzul al-Quran. Keberkatan dengan sempena malam yang mulia itu, Zulkifli juga diberkati oleh Allah.

Dalam keluarga Mohamad bin Haji Arshad, Kerani Besar Rumah Sakit Umum Kuala Kangsar itu Zulkifli dibesarkan. Dia adalah anak yang kedua dalam keluarga itu, di mana anak yang pertama ialah Zabidi bin Mohamad.

Kehendak Allah tidak siapa yang mengetahui, Dia boleh membentuk manusia dengan bermacam-macam bentuk, dan berkuasa memberi sesuatu yang luar biasa. Ketika Zulkifli dalam perkembangannya meningkat dua tahun, beliau telah diserang penyakit polio yang menyebabkan kaki dan tangannya menjadi lemah dan cacat. Kecacatan itu rupanya adalah suatu hikmah dari Allah untuk menjadikan beliau mendapat perhatian umum. Dan mengingatkan manusia bahawa cacat anggota tidaklah menjadi sebab tidak dapat berjuang dalam hidup ini, malah ramai yang cacat menjadi manusia yang masyhur, seperti Dr Taha Husin yang buta kedua belah matanya sejak kecil telah menjadi Menteri Pelajaran Mesir dan Bapa Kesusasteraan Mesir Moden. Banyak lagi tokoh-tokoh luar biasa di dunia ini, semuanya ini adalah Allah ingin menunjukkan kekuasaan-Nya bahawa orang-orang yang cacat itu tidak boleh dipandang rendah kerana kecacatannya, dan tidak boleh pula dipandang hina.

Kerana kecacatan itulah Zulkifli mendapat perhatian umum lebih dari orang biasa, walaupun ada orang yang memperli dan mengejeknya, tetapi dia tetap juga menjadi orang yang penting dan tokoh besar tanahair Malaysia ini. Apabila telah menjadi kehendak Allah, sesuatu akan berlaku mengikut jadual-Nya.

Zulkifli tetap meningkat umurnya sehari demi sehari. Apabila umurnya meningkat empat tahun enam bulan, beliau dihantar belajar di Sekolah Melayu Parit, Perak kerana beliau mengikuti ayahnya yang ditukar dari Kota Lama Kiri ke sana. Di sekolah inilah Zulkifli meneruskan pengajiannya sehingga Darjah V (Lima), kerana inilah darjah yang paling tinggi ketika itu. Di samping itu beliau belajar Bahasa Inggeris dengan seorang India bernama Ratnam.

Oleh kerana umurnya masih muda ketika tamat sekolah Melayu itu, beliau menyambung pelajarannya ke Sekolah Agama agar memberikan beliau pengetahuan agama dan Bahasa Arab. Beliau telah berada di Sekolah Agama Madrasah Aziziyyah, Parit, Perak sehingga tahun 1937 Masihi.

Sikapnya yang suka berdikari dan ingin kemajuan dalam pelajaran diusahakan sedaya upayanya memperingati pelajaran sehingga beliau dapat bercakap dalam Bahasa Melayu, Arab dan Inggeris yang jarang anak muda yang mempunyai kemampuan seperti itu.

Melihat fizikalnya yang demikian difikir bahawa itu menyulitkan jika hendak menyambung pelajaran lebih tinggi yang terpaksa menumpang orang lain, oleh itu beliau dinasihatkan supaya berehat. Dalam kerehatan selama kira-kira tiga tahun beliau mengambil kesempatan berkongsi berniaga getah bersama Haji Ramli bin Haji Said, Parit. Perniagaan itu dilaksanakan oleh Haji Ramli sahaja, manakala Zulkfli diberi keuntungan.

Hasrat untuk menyambung pelajarannya tidak pernah luput dari hati sanubarinya. Oleh itu pada tahun 1940 beliau bersama-sama abangnya Zabidi menyambung pelajarannya ke Sekolah Agama Idrisiyyah, yang menjadi guru besarnya ialah Tuan Guru Haji Abdullah Fahim (1899 - 1961 Masihi), seorang ulama' dan ahli politik. Sistem sekolah agama ketika itu berbeza dari segi tempat dan bentuk pengajaran. Zulkifli bersama abangnya itu tinggal di sebuah pendok kecil, dan meneruskan pengajiannya sehingga berlaku Peperangan Dunia Kedua, mereka terpaksa berhenti dari belajar dan pulang ke Kota Lama Kiri, Perak.

(Bersambung)

Tiada ulasan: