PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

26 Februari 2009

Mansuhkan PPSMI

Dari kiri: Dato' A Samad Said, Dato' Abu Bakar Chik, Suhaizan Kaiat dan Zakaria Dagang

HARI ini, saya berpeluang bertemu dengan Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said. Beliau berkunjung ke Pejabat Perhubungan PAS Negeri Terengganu dalam siri jelajahnya ke seluruh negara bagi program Kempen Memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Di Pejabat Perhubungan PAS Negeri, beliau telah mengadakan sidang media bersama Dato' Abu Bakar Chik, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu dan Suhaizan Kaiat, Timbalan Pengarah Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP).

Dalam sidang media itu, Dato' A Samad Said melahirkan rasa gembiranya dengan sokongan yang semakin baik yang diberikan oleh pihak media dalam negara ini.

"Kami jelaskan bahawa gerakan kami adalah gerakan sopan, bukan gerakan garang. Ia adalah gerakan hati nurani bagi menghidupkan bahasa, yang mesti dijaga, bukan ditetak," tegas beliau.

Tambah Pak Samad lagi, tujuan gerakan ini ialah bagi menyedarkan pihak kerajaan dalam upayanya untuk mencapai kemajuan melalui sains dan matematik, yang penting sama ada laluan itu akan merencatkan lestari bahasa ibunda.

"Dalam tempoh 50 tahun, bahasa Melayu yang dikuncup akan nazak dan akan dikuburkan. Inilah yang kami runsingkan," keluh beliau.

Dalam hal ini jelas bahawa Kementerian Pelajaran sendiri yang melanggar undang-undang kerana mereka tidak meluhuri undang-undang.

Bagi menjelaskan tuduhan bahawa beliau diperalatkan oleh parti pembangkang, khususnya PAS, Pak Samad dengan tegas menyebut:

"Saya pinjam pentas untuk menyatakan sikap saya, kerana tidak ada pentas lain yang bersedia menerimanya.

"Anjuran-anjuran terdahulu tidak diterima termasuk dari kalangan budayawan dan lain-lain. Apa lagi lowongan yang tinggal? PAS memberi pentasnya. Kalau Umno memberi pentas, saya akan gunakan."

Akhirnya beliau menegaskan, "Perjuangan saya sebagai sasterawan untuk melestarikan bahasa saya."

Dari kiri: Hamazah Mohd Latif, Dato' A Samad Said dan Zakaria Dagang

Tiada ulasan: