BUKIT GANTANG: PAS Negeri Terengganu melalui Kawasan-Kawasannya telah memulakan tugas sebagai pembantu dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen P.059 Bukit Gantang. Gelombang Keempat yang melibatkan pasukan petugas dengan kekuatan tidak kurang dari 32 orang bagi satu Kawasan mula bertugas di sini mulai 18 Mac 2009.
Petugas-petugas Terengganu telah ditempatkan di enam daerah mengundi atau Unit Peti Undi (UPU) dalam DUN Cangkat Jering,Parlimen Bukit Gantang. Besut di UPU Bukit Gantang, Setiu dan Hulu Terengganu di UPU Cangkat Kering, Kuala Nerus di UPU Air Kuning, Kuala Terengganu dan Kemaman di UPU Pengkalan Aor, Marang di UPU Kampung Cheh, dan Dungun di UPU Jelutong.
Malam tadi, satu majlis taklimat telah diadakan untuk seluruh petugas Terengganu yang telah berkampung di sini. Taklimat yang diadakan di Markas MTD Cangkat Jering itu telah disampaikan oleh Sdra Abd Rahim Ismail, Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Cangkat Jering.
Majlis yang dipengerusikan oleh Sdra Zakaria Dagang itu turut mendengar penjelasan dari Haji Yahaya Ali, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri (JPN) Terengganu.
Abd Rahim dalam ucapannya telah memberikan gambaran menyeluruh tentang kedudukan kawasan Parlimen Bukit Gantang, khususnya DUN Cangkat Jering yang melibatkan petugas Terengganu.
Beliau turut menyentuh isu-isu yang relevan yang akan ditonjolkan dalam kempen pilihan raya ini.
Haji Yahaya pula memberikan kata-kata perangsang kepada para petugas Terengganu yang telah diletakkan harapan yang sangat tinggi oleh petugas tempatan. Beliau juga menjelaskan beberapa isu yang berbangkit dalam pelaksanaan tugas sepanjang berada di sini.
Sementara itu, petugas bagi Kawasan Kuala Nerus yang ditempatkan di UPU Air Kuning telah mula menggerakkan kerja-kerja awalnya di sini. Pasukan pertama ini diketuai oleh Cikgu Wan Shafii Wan Salleh, Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan.
Turut bersama dalam pasukan ini bagi menyelesaikan keperluan asas bagi para petugas ialah Setiausaha PAS Kawasan (Zakaria Dagang) dan Bendahari PAS Kawasan (Tuan Chik Tuan Muda).
Kesemua empat DUN dalam Kuala Nerus telah menghantar wakil masing-masing termasuk petugas Muslimat. Gerak kerja awal yang dijalankan antaranya ialah gotong-royong dan pemasangan alat kempen. Sementara Muslimat mula menggerakkan ziarah rumah ke rumah.
Kuala Nerus diberi tanggungjawab bagi Zon Taman Kuning Sari. Tiga penempatan telah disediakan bagi Kuala Nerus di situ.
Gelombang ini akan berakhir pada 23 Mac dan akan diganti gelombang seterusnya sehingga 28 Mac.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan