PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

01 Mac 2009

Ziarah Hospital


SEMALAM (Sabtu) saya sempat meluangkan sedikit masa untuk menziarahi orang sakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, selepas menghantar anak di asrama Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu (SESTER).

Menziarahi orang sakit, sama ada di rumah atau hospital sudah menjadi rutin saya. Cuma kadang-kadang oleh kerana masa yang sangat terbatas, ada yang dapat segera diziarahi dan ada pula yang agak lambat baru dapat dijenguk.

Antara yang dapat saya ziarahi semalam ialah seorang Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Cawangan Teluk Ketapang, Mohd Ghazali Mohd Zaid, yang dimasukkan ke HSNZ dua hari lalu kerana terkena air panas. Beliau mengalami kecederaan di teliga, pipi dan dada. Baliau dimasukkan ke Wad 5B bagi menjalani proses pembedahan plastik.

Turut sama menziarahi Ghazali ialah isteri saya dan beberapa orang Ahli Jawatankuasa Pemuda DUN Seberang Takir yang diketuai oleh Razali Ibrahim, yang juga Ketua Lajnah Kebajikan MTD Pemuda DUN Seberang Takir.

Sementara di Wad 2EF pula, saya menziarahi Haji Mohamad Awang atau lebih dikenali dengan Haji Mohd Zaid, seorang peniaga gas di Kampung Alur Kuda, Bukit Tok Beng, Seberang Takir. Beliau terlibat dalam kemalangan jalan raya sejak 18 hari lalu dan masih koma. Beliau mengalami kecederaan serius di muka dan kepala.

Rupa-rupanya saya menjadi antara orang yang terakhir menziarahi beliau pada petang itu, di mana pada jam 10 malam tadi beliau menghembuskan nafas yang terakhir. Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un. Kita doakan semoga ruhnya ditempatkan Allah bersama para solihin.

Tiada ulasan: