PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

08 April 2009

Manisnya sebuah kemenangan

Keputusan bagi ketiga-tiga pilihan raya kecil (PRK) di negara ini yang berlangsung pada 7 April lalu sudah diketahui, di mana Pakatan Rakyat (PR) mempertahankan dua 'bukit' dan Barisan Nasional (BN) terus menguasai satu 'batang'.

Saya cuba membawa tumpuan kepada PRK Parlimen Bukit Gantang, Perak, di mana PAS Negeri Terengganu diamanahkan untuk membantu jentera di enam daerah mengundi di DUN Cangkat Jering. Lebih khusus lagi saya tumpukan kepada daerah mengundi atau Unit Peti Undi (UPU) Air Kuning yang ditugaskan kepada PAS Kawasan Kuala Nerus.

Sejak awal kami bertugas di UPU ini, telah ada tanda-tanda bahawa di sini agak 'keras' sedikit. Maklumlah UPU ini adalah antara kubu kuat Umno/BN. Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu memperlihatkan BN menguasai hampir 60% pengundi di UPU ini.

Awal-awal lagi (sebelum hari penamaan calon), bendera yang dipasang oleh petugas kami di Taman Kuning Sari (salah satu lokaliti dalam UPU ini) telah dibuang oleh petugas BN. Manakala beberapa hari sebelum hari pembuangan undi, dua helai kain rentang kami telah dimusnahkan oleh petugas BN pada waktu hampir Subuh ketika petugas kami baru sahaja meninggalkan pos untuk solat Subuh.

Satu lagi insiden yang berlaku dua hari sebelum hari mengundi, di mana empat orang petugas kami telah dikepung dan dipukul oleh sekumpulan petugas BN yang berjumlah kira-kira 30 orang di kawasan berhampiran pos kami di lokaliti Larut Hulu.

Bagi menjaga keharmonian kempen pilihan raya ini, pihak kami tidak melakukan apa-apa tindak balas terhadap ketiga-tiga insiden itu, walaupun sebahagian dari anggota kami cuba untuk bertindak, tetapi dapat ditenangkan oleh pimpinan kami. Bagi kami, kami datang ke sini untuk membantu kerja-kerja PRK ini secara aman mengikut sistem demokrasi, bukan untuk mencari pergaduhan.

Pada hari pembuangan undi, keadaan menjadi lebih tegang. Puncanya ialah bilangan petugas PAS jauh lebih ramai berbanding petugas BN. Gabungan petugas dari Kelantan (PAS Kawasan Kuala Nerus), Terengganu (PAS Kawasan Kuala Nerus) dan Perak (PAS Kawasan Tambun) bersama petugas tempatan (UPU Air Kuning) memenuhi setiap ruang di hadapan pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Aur. Petugas-petugas BN seolah-olah tenggelam dalam lautan petugas PAS dan PR.

Pintu masuk rasmi untuk ke tempat mengundi dikuasai oleh petugas PAS. Akhirnya petugas BN terpaksa 'lari' dari situ dan membuka laluan baru secara 'haram' di hadapan bangsal panas BN. Lalu sebahagian petugas PAS beralih untuk berada di laluan baru itu. Maka berlakulah perang mulut yang begitu hangat sekali. Petugas BN yang sudah hilang sabar mula melemparkan kerusi dan botol minuman ke arah petugas PAS, tetapi saasarannya terkena polis yang bertugas di situ hingga menyebabkan tercabut topi yang dipakai polis itu.

Akhirnya seorang anggota polis di situ melepaskan gas pemedih mata ke arah petugas yang berada di situ. Selepas itu datang lima buah trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ke kawasan tempat mengundi itu. Turut hadir ke situ ialah Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. Timbalan Presiden PAS yang datang ke situ telah berunding dengan pihak SPR dan BN.

Keputusan yang dicapai ialah semua petugas PAS mesti kembali ke tempat asal (pintu masuk rasmi) dan petugas BN kekal di hadapan laluan haramnya itu. Walaupun petugas PAS tidak berpuas hati dengan keputusan itu, tetapi atas dasar akur dan patuh kepada arahan pimpinan yang telah dibuat oleh Timbalan Presiden PAS, mereka akhirnya kembali ke tempat asal.

Sehingga sampai ke akhir ketika waktu pengundian ditutup pada jam 5.00 petang, pusat pengundian SMK Pengkalan Aur terus ceria dikuasai oleh para petugas PAS walaupun cuaca pada sebelah petangnya hujan turun yang kadangkala agak lebat juga. Mereka tidak berganjak dari tempat yang ditugaskan sebagaimana arahan yang dibuat sebelum itu.

Bagi saya penyertaan para petugas pembantu dalam PRK ini telah mencipta satu rekod baru. Bagi para petugas dari Kawasan Kuala Nerus sendiri, ramai di antara mereka yang datang lebih dari sekali. Bagi mereka adalah dirasakan sangat rugi sesiapa yang tidak berkesempatan bertugas dalam PRK ini. Sesungguhnya Bukit Gantang sentiasa menghimbau mereka...

Gambar-gambar sekitar hari mengundi:

Abdullah Abd Manan bersama petugas bangsal panas

Anggota FRU berbaris siap menerima arahan bertindak

Kenangan bersama Hj Subky Latif (3 dari kanan)

Bersama seorang penyokong PR yang baru keluar mengundi

Si kembar, Hilmi dan Alimi dari Kuala Nerus

Si kembar kecil, Raudhah dan Irdhina

Perayu undi PAS/PR

Perayu undi Umno/BN

Kumpulan Koboi dari Batu Enam, Kuala Nerus

Kenangan bersama isteri calon PAS, Datin Seri Fatimah Taat (tengah)

Tiada ulasan: