PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

04 April 2009

Siapa Penderhaka?

Barisan Nasional (BN) menjadikan isu DERHAKA sebagai isu utamanya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gantang. Sama ada dalam ceramah atau kempen-kempen bersemuka atau melalui risalah-risalah, BN menonjolkan isu ini bagi menarik sokongan orang Melayu khususnya.

Persoalannya, apakah betul Dato’ Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaludin, Menteri Besar Pakatan Rakyat Negeri Perak telah menderhaka kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak? Umno/BN menggambarkan seolah-olah Nizar telah melakukan penderhakaan yang besar terhadap Sultan. Siapakah sebenarnya penderhaka kepada Sultan?

Beberapa peristiwa yang tercatat dalam sejarah Malaysia menunjukkan bahawa Umno;ah sebenarnya penderhaka dan menjatuhkan martabat Raja-Raja Melayu, bukan pemimpin Pakatan Rakyat.

Antara peristiwa berkenaan ialah:

1. Pengasas Umno, Dato’ Onn Jaafar dibuang daripada Istana Johor pada tahun 1920 dan membawa diri ke Singapura kerana mengkritik Sultan atas isu harta.

2. Pada tahun 1974, Tan Sri Ghazali Jawi (bapa Dato’ Seri Tajol Rosli) tidak mahu meletak jawatan Menteri Besar Perak, walaupun perjanjian asal beliau hanya hendak pegang dua tahun sahaja. Apabila sampai masanya, beliau tidak mahu melepaskan jawatan. Sultan Idris murka dan bernazar tidak mahu mencukur janggut selagi Ghazali Jawi tidak meletak jawatan. Bukankah ini derhaka namanya? Tiba-tiba Tajol Rosli kata, Umno tidak pernah derhaka, tidak pernah ucap macam Nizar, “Sembah patik sembah derhaka.” (Utusan Malaysia 12 Februari 2009). Tindakan bapanya kepada Sultan Perak apa pula maknanya?

3. Begitu juga pada tahun 1979, kes Dato’ Rahim Bakar, Menteri Besar Pahang. Media pro-Umno mengkritik Sultan secara terbuka.

4. Pada 1983, Umno hendak meminda supaya kuasa Yang Di-Pertuan Agong mengenai pengisytiharan darurat dikurangkan, maka Umno membelasah Raja-Raja Melayu kerana menolak cadangan tersebut.

5. Pada tahun 1991, dalam Perhimpunan Agung Umno, Sultan Kelantan dihentam secara terbuka kerana menyebabkan Umno kalah di Kelantan.

6. Dalam Perhimpunan Agung Umno juga, perwakilan meminta harta raja disiasat. Berita itu dilaporkan oleh Utusan Malaysia muka hadapan. Apakah ini bukan menderhaka?

7. Satu demonstrasi dan hantar memorandum kepada Sultan Kelantan telah dibuat oleh pemimpin Umno Kelantan. Kenapa FRU tidak tembak gas? Apakah ini bukan menderhaka namanya?

8. Pada 18 Januari 1993 berlaku pindaan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan Raja dibawa ke mahmakah. Apabila Raja-Raja Melayu minta tangguh pindaan ini, maka media mengkritik secara terbuka salah laku Raja.

9. Beberapa siri rapat umum haram Umno di Alor Setar, Bagan Datoh, Seremban, Batu Pahat dan Melaka untuk menunjuk sokongan pada Tun Dr Mahathir dan mengecam Raja-Raja Melayu.

10. Sebab itu, Tengku Razaleigh Hamzah dengan sinis menyatakan, “Mana satukah yang lebih berbahaya, pindaan 1993 atau tindakan rakyat tidak menunjukkan hormat kepada Sultan Perak pada 6 Februari 2009?” Beliau tidak bersetuju tindakan Karpal Singh menyaman Sultan Perak, tetapi beliau menyatakan Karpal berbuat suatu perkara yang dibenarkan oleh Perlembagaan yang pemimpin Umno beri laluan pada tahun 1993. (The Star Online 17 Februari 2009). Tiba-tiba sekarang Umno pula menjerit marah kepada Karpal. Sepatutnya orang Umno kena buat demonstrasi di hadapan Pejabat Umno. Saya yakin mereka yang pergi demontrasi itu memang zero IQ, yang tidak sedar bahawa pemimpin merekalah yang menjatuhkan martabat Raja sehingga boleh dibawa ke mahkamah.

11. Peristiwa Pertabalan Tengku Ibrahim Inderaputera untuk menggantikan Sultan Ismail Petra pada 29 April 1993 di Ketereh, Kelantan oleh Dato’ Annuar Musa. Ini lagi memalukan atau kurang ajar namanya.

12. Kenyataan biadab Dato’ Seri Shahidan Kassim, bekas Menteri Besar Perlis yang mengatakan, “Sultan Kelantan sekarang tidak layak menduduki takhta, dia ada bukti.” (Berita Harian 11 Jun 1993).

13. Tan Sri Muhammad Mohd Taib kata Nizar derhaka. Beliau lupakah yang beliau bawa lari Tengku Puteri Zanariah, puteri Sultan Selangor untuk kahwin lari sampai Sultan murka? Apakah ini bukan derhaka?

14. 23 daripada 24 ADUN Terengganu mengugut untuk memulau majlis angkat sumpah Dato’ Ahmad Said selepas pilihan raya 2008. Mereka membuat kenyataan terbuka menyanggah pihak istana dan mahu Dato’ Seri Idris Jusoh menjadi Menteri Besar Terengganu. Manakala penyokong Umno pula menggelarkan Sultan sebagai 'natang' (binatang). Kenapa polis tidak menangkap mereka yang berdemontrasi dan menghina Sultan itu? Kenapa polis boleh menangkap mereka yang berdemonstrasi di hadapan Istana Kuala Kangsar pada 6 Februari lalu?

15. Dato’ Seri Shahidan Kassim memulau majlis perlantikan Dato’ Dr Md Isa Sabu sebagai Menteri Besar Perlis. Bukankah ini derhaka namanya?

Sekarang jelas siapa derhaka dan tidak hormat kepada Raja. Siapa penderhaka sebenarnya di negara ini? Jawabnya tentulah pemimpin Umno. Pemimpin Umno hanya menggunakan istana untuk talian hayat mereka.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kalau menderhaka tahap gaban seperti yang ditulis tu...sudah pasti parti umno ni dah dibubarkan oleh mana-mana yang dipertuan agong...logik la sikit berfikir...ini tidak...saban penggal sejak merdeka..watikah perlantikan perdana menteri diperkenankan oleh yang dipertuan agong.