PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

05 Mei 2009

Ada juga yang marahkan orang baca Quran

Bermula cerita, seorang anak usrah saya memberitahu bahawa beliau dihubungi melalui telefon oleh seseorang yang tidak dikenalinya, tetapi yang pasti seorang Melayu yang beragama Islam. Pemanggil itu membuat aduan tentang bacaan al-Quran yang biasa diperdengarkan di surau sebelum masuk waktu solat (biasanya menjelang Maghrib) yang dianggapnya menganggu terutama anak-anak yang yang hendak tidur. Begitu juga kuliah-kuliah Maghrib yang diadakan di surau mengganggu orang kampung yang hendak berwirid (?) dan sebagainya.

Saya rasa terpanggil untuk mengulas sedikit isu ini. Kalau dulu kita mungkin biasa dengar di setengah-setengah tempat terutama di kawasan majoriti orang bukan Islam, mereka membuat aduan dan bantahan terhadap suara azan dan bacaan al-Quran terutama pada waktu sebelum Subuh kerana mengganggu tidur mereka.

Bila timbul cerita dari anak usrah saya tadi, saya rasa agak pelik kerana ia berlaku di dalam sebuah kampung yang seratus peratus penghuninya adalah orang Islam. Dari sini kita boleh menimbulkan keraguan terhadap status orang yang mengadu yang tidak bersetuju dengan syiar Islam di dalam kampungnya, walaupun nadanya mungkin seperi 'nasihat'.

Begitu sekali kebenciannya terhadap ayat-ayat Allah yang dikumandangkan pada setiap hari, yang sepatutnya bagi orang-orang beriman ia akan menambahkan iman mereka, seperti firman Allah Ta'ala:

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتۡ قُلُوبُہُمۡ وَإِذَا تُلِيَتۡ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتُهُ ۥ زَادَتۡہُمۡ إِيمَـٰنً۬ا وَعَلَىٰ رَبِّهِمۡ يَتَوَكَّلُونَ

(Maksudnya): Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. [Surah Al-Anfal : 2]

Mungkin juga cetusan itu timbul dari sentimen politik. Kemungkinan pengadu adalah orang yang sangat taksub dan berpegang kuat dengan parti politik yang berfaham kebangsaan. Dan kebetulan pula, surau yang setiap petang memperdengarkan bacaan al-Quran serta mengadakan kuliah Maghrib dan Subuh itu adalah dikuasai oleh penyokong-penyokong parti Islam.

Jangan pula kerana terlalu marah kepada parti yang tidak disetujuinya itu hingga marah dan benci juga kepada ayat-ayat Allah dan pengajaran-Nya. Nampak sangat hati perut mereka yang sangat busuk itu. Sedangkan dalam masa yang sama program-program maksiat yang berlaku dalam kampung seperti acara-acara nyanyian, dikir barat dan lain-lain lagi yang 'bising-bangar' sebuah kampung tidak pernah mereka tegur.

Kita harap ulama'-ulama' atau tok-tok guru yang ada dalam parti kebangsaan itu tolong betulkan ahli atau penyokong mereka yang berfikiran seperti budak sorang ni.

5 ulasan:

kedai buloh besor kali berkata...

Agaknya puak2 yang tak suka dengar bacaan Quran ni,seronok kalau surau pasang lagu2 dangdut.Atau AJK surau buat pertandingan karaoke barulah anak2 diorang dapat tidur lena dan tersengih-sengih macam beruk mat yeh gamoknya.

Tanpa Nama berkata...

Ada satu wartawan dengan seorang pensyarah Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Abdullah Bukhari Abdul Rahim al-Hafiz mengenai adab atau susila membaca al-Quran yang sering diperdengarkan di masjid-masjid:

Wartawan: Sesetengah masjid dan surau menyiarkan bacaan al-Quran melalui pembesar suara. Adakah ini bertepatan dengan ajaran Islam?ABDULLAH: Memang pada mata kasar manusia yang dangkal ilmunya perbuatan sedemikian tidak salah. Namun, kalam Allah itu tidak boleh dibazirkan begitu sahaja.

Sebenarnya ini adalah satu lagi kesilapan berinteraksi dengan al-Quran akibat kejahilan. Allah menegaskan dalam firman-Nya: Dan apabila al-Quran itu dibacakan maka dengarlah serta diamlah supaya kamu beroleh rahmat. (al-A’raaf: 204).

Perkataan dengarlah dalam ayat ini bermaksud mendengar dengan penuh perhatian. Ibnu Jauzi dalam bukunya, Talbis Iblis (Belitan/Tipuan iblis) menyifatkan di antara orang yang ditipu oleh iblis ialah sesetengah orang yang memperdengarkan bacaan al-Quran di menara masjid pada waktu malam dengan suara yang kuat sehingga mengganggu orang tidur.

Situasi yang sama boleh dikaitkan dengan penggunaan pembesar suara. Perbuatan begini sudah pasti menganggu masyarakat sekeliling yang sedang beristirehat, juga menjadi provokasi kepada bukan Islam. Provokasi dilarang sebagai dalam ayat 108 surah al-An’aam di atas.

Tambah buruk lagi ia mengakibatkan orang bukan Islam mengutuk al-Quran sebagaimana yang berlaku pada zaman Nabi yang membawa kepada penurunan ayat 110 surah al-Israk. Selain itu, pastinya kita tidak dapat menjamin masyarakat sekeliling akan diam mendengar ayat-ayat Allah yang diperdengarkan itu. Akibatnya, niat yang nampaknya baik bertukar menghina al-Quran itu sendiri.

Ibni Gharib berkata...

Dalam konteks bantahan yang dibuat oleh budak itu ialah apa yang berlaku dalam kampungnya, di mana bacaan al-Quran itu biasanya dibuat sebelum azan Maghrib. Mungkin sekadar 10 atau 15 minit bagi memperingati manusia supaya bersiap-siap untuk solat Maghrib.Rasanya itu tidak sangat mengganggu.

Lainlah kalau tengah-tengah malam waktu orang tidur, mungkin juga mengganggu.

adi berkata...

assalamualaikum

tak tau nak cakap apa dah.. rasanya kalau dapat budak yang komen tu. mau ajer amber debik..

kedai buloh besor kali berkata...

Terima kasih Tanpa Nama diatas komen yang diberikan,semoga memberi kebaikan kepada kita bersama.Yang menjadi tanda tanya disudut pemikiran saya ialah mengapakah segelintir masyarakat Melayu mudah sangat melatah dan merasa terganggu apabila diperdengar bacaan Al-Quran sebelum waktu azan dan kuliah maghrib melalui corong pembesar suara kununnya(ikut pelat Tun M...)mengganggu kanak-kanak tidur dan orang-orang kampong nak "berzikir".Tetapi apabila ada Jom Heboh, konsert atau fun-fair pada sesuatu tempat dimana kedengaran lagu dan bunyi muzik melangkaui beberapa kampong berhampiran tiada pula orang mengadu dan komplen tentang bunyi bising tersebut.Agaknya bunyi muzik dan nyanyian lagu yang memekak hingga ke larut malam itu tidak sedikit pun mengganggu kanak-kanak tidur dan orang-orang kampong nak "berzikir" yek!!!Entah lah...