PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

27 Mei 2009

Dakwah melalui kerja kebajikan

Ustaz Mohd Nor menyampaikan cenderamata kepada petugas pengurusan jenazah

KUALA NERUS: Antara tanggungjawab besar kita yang diperintah oleh Allah di dalam al-Quran ialah melaksanakan dakwah melalui kerja-kerja kebajikan. Apa yang disebut oleh Allah ialah mengajak kepada al-khair (kebajikan), menyuruh berbuat yang baik dan mencegah daripada kemungkaran.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah menyebut demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-8, Badan Amal dan Kebajikan Islam Seberang Takir (BALKIS) baru-baru ini.

"Bagi mencapai kemenangan dalam perjuangan Islam ini, kita mestilah bekerja dengan bersungguh-sungguh kerana ia merupakan syarat utama bagi kemenangan ini," tambah Ustaz Mohd Nor.

Sehubungan ini kata beliau, agenda perjuangan ini mestilah dibawa dengan baik dan kerja-kerja yang dilaksanakan mestilah mengikut aulawiyat (keutamaan).


Ustaz Mohd Nor juga menyarankan agar diubah persepsi berhubung dengan konsep derma.


"Kita mesti mengubah persepsi, di mana derma untuk masjid kita sumbangkan dalam kadar yang banyak, tetapi derma untuk orang susah dalam kadar yang sedikit. Sedangkan keperluan untuk orang susah itu lebih besar dan kesannya juga sangat besar," ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Bukit Payung.


Beliau juga menyebut tentang kesedaran dalam pengurusan harta, di mana ramai juga orang yang beribadat untuk diri sendiri dengan hartanya yang banyak itu. Misalnya saban tahun menunaikan umrah. Sedangkan keperluan dalam masyarakatnya lebih besar.


Turut berucap dalam majlis yang diadakan di Surau Al-Mawaddah, Teluk Ketapang itu ialah Pengerusi BALKIS, Zakaria Dagang.


Dalam ucapannya, beliau menyebut tentang pengurusan BALKIS dan peranan setiap ahli jawatankuasa dan wakil-wakil Cawangan yang dilantik dan diberi amanah.


Zakaria turut mengharapkan kerjasama dari ahli-ahli dalam menyelesaikan masalah yuran dan maklumat berhubung kebajikan ahli-ahli sendiri supaya dapat ditangani secara teratur oleh pihak BALKIS.


Beliau juga mencadangkan agar sampai kepada suatu masa nanti, surau-surau dan masjid-masjid di kawasan ini akan dijadikan pusat operasi dalam mengendalikan semua urusan kebajikan dan kemasyarakatan ahli-ahli qaryah.


Sempena mesyuarat agung ini, pihak BALKIS juga turut menyampaikan cenderamata kepada para petugas pengurusan jenazah yang aktif di kawasan ini. Beberapa orang pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi turut menerima sumbangan dari BALKIS dalam majlis ini.

Tiada ulasan: