PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

25 Mei 2009

Suasana di Penanti

Jam 10.00 pagi tadi, saya bersama empat lagi anggota rombongan dari Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri (JPN) Terengganu bertolak ke Penanti, Pulau Pinang. Kami tiba di kawasan pilihan raya ini kira-kira jam 5.00 petang.

Rombongan kami ini merupakan rombongan kedua JPN Terengganu setelah rombongan pertama yang diketuai oleh Pengarah JPN Terengganu, Haji Yahaya Ali datang membuat tinjauan awal sebelum hari penamaan calon baru-baru ini.

Kehadiran kami ke sini adalah bagi membantu kerja-kerja pilihan raya kecil (PRK) bagi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mewakili Pakatan Rakyat (PR). Terengganu ditugaskan di Unit Peti Undi (UPU) Kubang Ulu.

Sebagaimana yang kita maklumi bahawa PRK ini adalah paling bersejarah dalam negara ini apabila buat pertama kalinya parti pemerintah negara, Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calonnya atau dalam erti kata lain memulaukannya.


Akibat dari itu, suasana sudah pastinya hambar kerana seolah-olah tidak ada perlawanan langsung yang berlaku di sini. Di mana-mana hanya terdapat bendera dan lambang PKR. Sementara lambang-lambang tiga calon bebas tidak begitu kelihatan, kecuali lambang "payung". Itupun diguna lebihan dari pilihan raya kecil di Bukit Gantang baru-baru ini, kerana kebetulan calon yang sama turut bertanding di sini dan menggunakan lambang yang sama. Maka terjumpalah kita perkataan "Calon Parlimen" pada gambar calon yang menggunakan lambang "payung" itu.


Suatu yang tidak kelihatan sebagaimana empat PRK sebelum ini ialah markas-markas Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), sama ada Markas Tektikal (Martek) atau kanopi-kanopi kecil di merata-merata tempat yang kalau dalam PRK Kuala Terengganu dahulu menelan belanja sehingga RM15 juta.


Mungkin polis dalam bilangan yang ramai tidak diperlukan di sini kerana BN tidak bertanding. Maka tanggapan kita, sama ada polis sebelum dan selama ini menjaga keselamatan BN atau ketiadaan BN bererti tiada kekacauan (kerana mungkin BN yang mencetuskannya).


Suasana di sini cukup aman. Jadi bagi memastikan keamanan dalam PRK akan datang, pastikan BN tidak bertanding...

Tiada ulasan: