PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

16 Ogos 2009

Perubahan ke arah Islam yang memimpin

SEBERANG TAKIR: Bulan Ramadhan yang datang kepada kita setiap tahun menghendaki kita supaya berubah dari segi budaya, adat dan sebagainya. Ia mengajar kita untuk berubah kepada suasana dan sifat yang lebih baik.

Kita juga mestilah mengambil semangat perubahan itu untuk kita wujudkan perubahan dalam diri, keluarga dan masyarakat.

Demikian dijelaskan oleh Ketua Dewan Ulama' PAS Negeri Terengganu, Dato' Husain Awang ketika menyampaikan ceramahnya di Kampung Batin, dekat sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama' PAS Pusat turut mengingatkan agar kita terus berubah selepas Ramadhan.


"Kita mesti ubah dari budaya jahiliyyah dalam diri kita, dalam keluarga kita, dalam masyarakat kita dalam bangsa kita dan dalam negara kita," tegas Dato' Husain.


Sempena Ramadhan yang bakal tiba ini, beliau mengajak supaya dilakukan perubahan secara menyeluruh dalam kehidupan kita dari sistem kuffar kepada sistem yang berdasarkan iman.


"Kuasa untuk membuat perubahan ada di tangan kita. Kita telah melakukan perubahan pada tahun 1999 lalu dan kita mesti melakukannya sekali lagi secara menyeluruh sebagaimana perubahan yang boleh kita lakukan dalam bulan Ramadhan," ujarnya.


Dato' Husain turut mengulas perubahan-perubahan yang diambil sebagai suatu pendekatan bagi setiap Perdana Menteri yang berkuasa di negara ini.


"Dr Mahathir membawa pendekatan 'Penerapan Nilai-Nilai Islam', tetapi ternyata ianya karut dan hilang begitu sahaja. Datang pula Abdullah Badawi bawa 'Islam Hadhari', ternyata bohong semata-mata, hilang tak tahu ke mana dan tidak disebut lagi. Sekali lagi kita ditipu.


"Kemudian Najib pula menggagaskan '1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'. Bila pula Malaysia ada 2? Ternyata ia adalah 'tipu atas darat kering'," tegas Dato' Husain.


Buktinya kata beliau ialah tidak semena-mena tambang bas dinaikkan dalam keadaan harga minyak sudah turun. Maknanya rakyat kena dahulu dan ia adalah hadiah dari PM baru.


Perubahan yang kita tuntut kata Dato' Husain ialah ke arah yang diredhai Allah iaitu perkara yang selari dengan Islam.


"PAS ajak berubah bukan atas nama bangsa tetapi atas nama tunduk dan patuh kepada Allah. Perubahan kita adalah Islam yang memimpin kita dengan syariat Allah SWT," kata beliau mengakhiri ucapannya.


Turut berucap dalam majlis itu ialah Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Nerus, Dr Alias Razak dan Ketua Penerangan PAS Kawasan, Zakaria Dagang.

Tiada ulasan: