PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

18 September 2009

Iftar dan Sumbangan Anak Yatim

Dato' Tengku Hassan menyampaikan sumbangan kepada anak yatim

KUALA TERENGGANU - Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu telah berjaya mengadakan Majlis Iftar Bersama Anak Yatim dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya kepada 500 orang anak yatim dari 14 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

Majlis berlangsung semalam di Masjid Pengadang Baru dekat sini dan disempurnakan oleh Dato' Tengku Hassan Tengku Omar, ADUN Ladang mewakili Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Marang.

Dalam ucapannya, Tengku Hassan menyebut bahawa usaha yang dilakukan oleh Yayasan Amal ini merupakan antara kewajipan kita untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik di negeri ini.

"Kita terpanggil untuk membantu anak-anak yatim ini bagi turut merasai sama derita dan susah payah mereka.


"Kita mengalu-alukan golongan seumpama ini agar berhubung dengan pihak kita supaya dapat kita bantu sekadar kemampuan kita," ujarnya.


Beliau turut mengajak semua pihak yang diberi kelebihan oleh Allah untuk memberi pertolongan kepada golongan yang kurang bernasib baik ini.


Kepada anak-anak yatim, Tengku Hassan meminta supaya mereka tidak berasa rendah diri.


"Tidak ada sebab untuk merendah diri, bahkan hendaklah berusaha bersungguh-sungguh bagi membina masa hadapan yang lebih gemilang. Kita sedia membantu mana yang patut," tegasnya.


Bantuan seperti yang disampaikan pada hari ini kata beliau bukan hanya dilaksanakan oleh Yayasan Amal sahaja, bahkan setiap DUN di negeri ini aktif memberi sumbangan kepada golongan miskin terutama menjelang sambutan hari raya ini.


"Setakat yang mampu kita cuba bantu, walaupun kita bukan kerajaan, tetapi kita cakna atau prihatin kepada rakyat yang susah di bawah," katanya lagi.


Tengku Hassan juga merayu kepada golongan kaya supaya tampil memberi bantuan sebagai menyokong usaha yang dilakukan ini.


Beliau turut memuji langkah yang diambil oleh beberapa surau dan masjid di negeri ini khususnya dengan mengadakan "Kempen Sekampit Beras" bagi disalurkan kepada golongan misikin di tempat masing-masing.


Dalam majlis itu, Tengku Hassan telah menyampaikan sumbangan berupa hamper barangan dan wang tunai kepada 14 orang anak yatim yang mewakili setiap DUN. Manakala yang selebihnya disampaikan oleh ADUN atau Pengarah Majlis Tindakan DUN masing-masing.


Majlis diakhiri dengan iftar (berbuka puasa).


Zakaria menyampaikan sumbangan kepada anak yatim bagi DUN Seberang Takir

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Selamat Hari Raya Aidilfitri & Selamat Bercuti dari kami di IMCurtain.com. Maaf Zahir dan Batin!

p/s: Kami ingin mengajak para blogger semua untuk menyertai komuniti blogger kami di IMCurtain.com