PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

17 November 2009

50 Tahun PAS Kawasan Kuala Nerus

PAS Kawasan Kuala Nerus baru sahaja selesai menyambut Jubli Emas sempena genap 50 tahun penubuhannya pada tahun 1959 yang lalu. Sepanjang tempoh 50 tahun itu, sudah tentu terdapat banyak peristiwa pahit manis yang membawa nostalgia kepada mereka yang terlibat sepanjang perjalanannya sampai ke hari ini.

Dalam tempoh setengah abad itu, seramai empat orang Yang Dipertua telah diamanahkan sebagai peneraju PAS Kawasan ini. Mereka ialah Haji Ismail Abas (1959 - 1969), Haji Hashim Embong (1969 - 1971), Ustaz Haji Awang Abu Bakar (1971 - 2001) dan Ustaz Haji Abu Bakar Abdullah (2001 - sekarang). Yang Dipertua yang pertama dan kedua telah pergi mendahului kita. Sementara Yang Dipertua yang ketiga dalam keadaan yang sangat uzur.

Dalam tempoh itu juga, seramai 10 orang Setiausaha telah berkhidmat dengan penuh cemerlang. Mereka terdiri daripada Haji Mustafa Mohd Zin (1959 - 1967), Syed Shafie Tuan Baharu (1967 - 1969), Abd Rahim Abd Rahman (1969 - 1977), Haji Mokhtar Haji Mohd (1977 - 1979), Ustaz Haji Abidin Embong (1979 - 1981), Mohamad Haji Abdullah (1981 - 1983), Haji Hussin Ismail (1983 - 1985), Ustaz Haji Abu Bakar Abdullah (1985 - 2001), Zakaria Dagang (2001 - 2009) dan Haji Tuan Chik Tuan Muda (2001 - sekarang). Tiga daripada mereka, iaitu Haji Mustafa, Syed Shafie dan Haji Mokhtar telah berpulang ke rahmatullah.

Manakala di peringkat Dewan Pemuda, seramai 10 orang juga telah menjawatnya. Mereka ialah Haji Hashim Embong (1959 - 1969), Haji Ahmad Muda (1969 - 1975), Ustaz Haji Abidin Embong (1975 - 1977), Ustaz Haji Abu Bakar Chik (1977 - 1985), Ustaz Haji Nik Kamaruddin Ibrahim - pemangku (1984 - 1985), Ustaz Haji Mahmood Sulaiman (1985 - 1991), Zakaria Dagang (1991 - 2001), Mohd Nordin Mahmood (2001 - 2003), Ustaz Haji Ahmad Bukhori Ghazali (2003 - 2007) dan Ustaz Ridzuan Hashim (2007 - sekarang). Kesemuanya masih hidup kecuali Haji Hashim. Yang menariknya, Ketua Dewan Pemuda yang kesepuluh adalah anak kepada Ketua Dewan Pemuda yang pertama.

Di peringkat Dewan Muslimat pula, hanya tiga orang sehingga ini yang telah memegang jawatan tersebut iaitu Hajah Tengku Mandak Embong (1959 - 1969), Ustazah Hajah Rokiah Haji Abas (1969 - 1993) dan Ustazah Hajah Tengku Aminah Tengku Ali (1993 - sekarang).

Urusan Ulama' Kawasan yang diwujudkan sejak 2001 hanya mempunyai dua orang ketua, iaitu Ustaz Haji Ismail Mamat (2001 - 2009) dan Ustaz Haji Ismail Che Dagang (2009 - sekarang).

Sambutan yang diadakan itu adalah antara lainnya bertujuan untuk mengingati sejarah perjuangan pemimpin yang terdahulu yang telah merintis jalan, menempuh onak duri dan pahit maung dalam perjuangan ini bagi meletakkan parti Islam ini di persada.

Selain itu ia juga bertujuan meningkatkan semangat dan daya juang di kalangan ahli dan penyokong, bahkan juga pemimpin hari untuk terus berjuang memartabatkan Islam di bumi bertuah ini.

Kita bukan orang yang memulakan perjuangan ini, dan kita juga bukan orang yang mengakhirinya. Kita adalah mata rantai dalam perjuangan yang masih panjang ini. Kita akan pastikan bahawa perjuangan ini akan diteruskan oleh generasi pelapis kita yang sudah tentu di kalangan anak-anak kita. Kita mesti membina mereka sewajarnya bagi melayakkan mereka mengambil tanggungjawab besar perjuangan ini. Kita meletakkan harapan yang besar kepada mereka sebagai penyelamat generasi akan datang, insya' Allah.

Pemimpin datang dan pergi silih berganti. Sebahagian dari mereka telah lebih awal pulang menyahut seruan Ilahi. Manakala sebahagian pula sudah terlalu uzur untuk membawa obor perjuangan ini. Maka kita yang masih kuat ini wajib memegang amanah ini dengan sebaik-baiknya. Jangan ada dalih dan alasan untuk lari dari tanggungjawab besar ini. Alasan-alasan yang direka hanya merupakan dahan-dahan rapuh yang dijadikan tempat bergantung. Ingat, kita akan hancur dan musnah bersama dengan orang-orang yang telah dihancur dan dimusnahkan Allah atas sebab mengkhianati perjuangan ini.

Di kawasan ini, sudah 50 tahun parti Islam ini berada di persada perjuangan menegakkan hukum Allah. Hari ini kita melihat hasil dari perjuangan orang-orang yang terdahulu. Pengorbanan mereka terlalu besar dalam meletakkan asas dan merintis jalan untuk dilalui oleh para pejuang selepasnya termasuk kita pada hari ini.

Kepimpinan utama kita telah meletakkan asas yang kukuh kepada perjuangan ini. Walaupun dikecam dan ditohmah dengan pelbagai kecaman, tohmahan bahkan fitnah, mereka tetap teguh memegang amanah kepimpinan ini. Sebagai ahli, kita wajib wala' kepada kepimpinan kita.

Semoga 50 tahun yang telah dilalui oleh PAS Kawasan Kuala Nerus ini, melalui sambutan gilang gemilang yang diadakan ini, akan menjadikan kita lebih matang dalam segala tindakan. Mudah-mudahan PAS Kawasan Kuala Nerus terus maju dalam membawa obor perjuangan ini bagi memartabatkan agama Allah di atas muka bumi ini, insya' Allah.

Lihat Sejarah PAS Kawasan Kuala Nerus.

Tiada ulasan: