PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

16 November 2009

Warna warni Sambutan Jubli Emas Kuala Nerus


KUALA NERUS - Sambutan Jubli Emas PAS Kawasan Kuala Nerus yang berlangsung pada Sabtu lalu berjalan dengan penuh meriah. Sambutan yang diberikan oleh ahli-ahli dan penyokong PAS di kawasan ini khususnya sangat memberangsangkan. Walaupun sekarang adalah musim tengkujuh, di mana sebelum ini hujan turun setiap hari, tetapi pada hari sambutan ini Allah anugerahkan dengan cuaca yang sangat baik; mendung sepanjang hari hingga ke malam.

Seawal jam 7.00 pagi, majlis telah bermula dengan Larian Jubli Emas yang melibatkan empat kategori iaitu 12 tahun ke bawah, 13 - 18 tahun, 19 - 40 tahun dan 40 tahun ke atas. Johan bagi keempat-empat kategori itu telah diberi keistimewaan untuk menerima hadiah dari Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang semasa majlis perasmian sambutan.

Majlis perasmian pula dimulakan dengan acara pemeriksaan perbarisan seramai 120 anggota yang terdiri daripada Unit Amal, Nisa', Skuad Khidmat dan Guru PASTI Kawasan Kuala Nerus. Majlis yang dipengerusikan oleh Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuala Nerus, Zakaria Dagang itu dimulakan dengan alunan wahyu (bacaan ayat-ayat suci al-Quran) oleh Abdul 'Alim Zakaria.

Ia diikuti pula dengan ucapan aluan oleh Pengarah Sambutan yang juga Naib Yang Dipertua PAS Kawasan, Dr Haji Alias Razak. Menyusul selepas itu, ucapan Yang Dipertua PAS Kawasan, Ustaz Haji Abu Bakar Abdullah. Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato' Haji Abu Bakar Chik pula berucap mewakili Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu dengan membawa nostalgia dan kenangan pahit manis semasa bersama PAS Kawasan Kuala Nerus.


Kemuncak dalam majlis perasmian itu ialah ucapan dari Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Beliau menghimbau sejarah gerakan Islam yang bermula dari zaman Rasulullah SAW, para sahabat dan sampai kepada cetusan penubuhan PAS di Tanah Melayu (Malaya) yang seterusnya sampai ke Kuala Nerus ini.


Dalam majlis itu, Almarhum Haji Hashim Embong dianugerahkan sebagai Tokoh Jubli Emas PAS Kawasan. Almarhum merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan yang kedua (1969 - 1971) dan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan yang pertama (1959 - 1969). Banyak lagi jawatan lain yang pernah disandangnya, termasuk sebagai ADUN Jeram (1969 - 1974). Anak almarhum, Ustaz Ridzuan Hashim yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Nerus sekarang (yang kesepuluh) menerima bagi pihak almarhum.


Sementara itu, Haji Mohamad Omar, seorang veteran PAS yang pernah memegang jawatan Bendahari dan Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan beberapa penggal telah dianugerahkan Tokoh Keluarga Mithali. Sembilan dari 11 orang anak beliau berjaya berada di menara gading, termasuk seorang yang sedang menyiapkan PhD. Sementara seorang lagi masih di sekolah menengah.


Engku Ali Engku Ngah, 47, dianugerahkan sebagai Tokoh Sukan. Beliau adalah pemegang rekod emas dalam beberapa siri Asean Para Games dan beberapa pencapaian terbaik dalam Sukan Fespic, Asian & Oceanian Table Championship, International Wheelchair Amputee Sport, Arafura Oceania Paralympic Games, German Open Table Tennis dan beberapa acara lain termasuk di peringkat kebangsaan dalam acara ping pong OKU.


Turut menerima anugerah ialah Harun Ahmad, yang berasal dari Pulau Duyung wakil Malaysia dalam acara renang di beberapa Sukan Paralympik.


Selepas majlis perasmian, beberapa acara berjalan serentak, iaitu persembahan pentas, pertandingan gubahan dan masakan, penyampaian bantuan kepada golongan miskin.


Juara Akademi Nasyid TV9, Azhan Atan ditampilkan dalam acara persembahan pentas yang dihoskan oleh bekas vokalis Shoutul-Amal, Abdul 'Alim Zakaria. Turut membuat persembahan ialah kumpulan-kumpulan nasyid dari Ma'ahad at-Tahfiz wal-Tarbiyyah (MTT) Darul Iman dan Madrasah Darul Taqwa serta pelajar-pelajar PASTI.


Seramai 120 orang telah menerima sumbangan bantuan berupa hamper barangan keperluan harian di bawah kelolaan Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan. Sumbangan telah disampaikan oleh Pengarah MTD Tepuh, Ustaz Abu Bakar Abdullah; Pengarah MTD Teluk Pasu, Ustaz Ismail Mamat; Pengarah MTD Seberang Takir, Zakaria Dagang dan Pengarah MTD Bukit Tunggal, Dr Alis Razak.


Sepanjang program, turut diadakan ialah Pameran Jubli Emas PAS Kawasan Kuala Nerus, pemeriksaan kesihatan dan rawatan perubatan Islam dari Darus-Syifa'.


Pada tengah harinya, pengunjung dijamu dengan Jamuan Rakyat. Sebanyak empat ekor lembu dan seekor kerbau telah dijadikan lauk untuk jamuan ini.


Sukaneka pula dijalankan pada sebelah petang dengan beberapa acara yang dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan. Acara kemuncak dalam sukaneka ialah tarik tali akhir antara DUN Bukit Tunggal lawan DUN Tepuh yang berakhir dengan kemenangan bagi DUN Bukit Tunggal.


Pada sebelah malamnya pula, berlangsung Ceramah Perdana yang menampilkan Naib Presiden PAS, Haji Salahuddin Ayub; Haji Mohd Abdul Wahid Endut dan Ustaz Haji Saiful Bahri Mamat, Timbalan-Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu dan Ustaz Haji Abu Bakar Abdullah, Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Nerus.


Anggota perbarisan Skuad Khidmat, Nisa' dan Guru PASTI

YDP menerima tabik hormat

DSTG Haji Abdul Hadi melawat pameran

Pemeriksaan kesihatan

Petugas Perbekalan sibuk memastikan bekalan cukup

Pelajar Darul Taqwa menyampaikan pidato bahasa Arab

Kumpulan Nasyid Darul Taqwa

Abdul 'Alim turut mempersembahkan nasyid

Muslimat sedang menjamu selera

Gubahan buah tembikai yang menjadi johan

ARC turut sama dalam kempen keahliannya

Acara merebut gula-gula kanak-kanak 4 tahun ke bawah

Johan masakan "Nasi Goreng Pattaya"

Petugas Kebersihan sentiasa pastikan kawasan bersih

Acara sukaneka "Orang Buta Bawa Bola"

Ketua Muslimat Kawasan menyampaikan hadiah

YDP menyampaikan hadiah utama cabutan bertuah

Ketua Penerangan Kawasan menyampaikan hadiah sukaneka

Bersama johan Bawa Bola Atas Belakang (DUN Seberang Takir)

1 ulasan:

Bintun Wan bakar berkata...

salam...meriahnya...
Ruginya xleh nak ikut serta...