PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

07 Disember 2009

Banjir: Umno khianati rakyat sendiri

Terengganu adalah antara negeri yang dilanda banjir yang kini sudah masuk gelombang ketiga. Bila musim banjir begini, sudah tentu banyak cerita yang menarik mengenainya, termasuk politik yang mungkin boleh disebut sebagai "politik banjir".

Kira-kira enam tahun lalu, saya pernah menulis dalam Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Terengganu yang ketika itu saya sebagai Pengarahnya mengenai banjir juga.

Apa yang saya tulis itu ialah mengenai Umno atas nama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bertindak 'mengacau' di pusat pemindahan banjir yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Bantuan Banjir Daerah di bawah pengurusan kerajaan negeri dan diamanahkan kepada Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR).

Walaupun JSR sudah menyediakan dapur untuk memasak makanan bagi mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan itu, JKKK pula sibuk juga membuka dapur yang berasingan dan memasak untuk mangsa banjir itu juga. Sehingga timbul istilah "nasi hijau, nasi biru".

Itulah gambaran kerja mengada-ngada dan bermuka-muka yang dilakonkan oleh Umno bagi menunjukkan bahawa mereka sangat cakna dengan rakyat yang ditimpa banjir itu. Sedangkan ketika itu kerajaan di bawah PAS sudah menyediakan segala kemudahan yang jauh lebih baik dari mereka.

Hari ini apabila mereka kembali berkuasa sebagai kerajaan yang memerintah, sewajarnya mereka lebih peka dan bersungguh-sungguh dalam membantu mangsa-mangsa banjir di negeri ini.

Malangnya, kedengaran kepada kita ada wakil rakyat Umno yang bertanya lebih dahulu kepada mangsa banjir di sesuatu tempat adakah mereka pengundi di kawasan berkenaan sebelum diberikan bantuan. Jika mereka bukan pengundi di kawasan itu, mereka diabaikan dan tidak diberi bantuan.

Fokus yang cuba saya bawakan kali ini ialah berkait dengan sikap diskriminasi yang menjadi darah daging Umno dahulu, kini dan selamanya.

Pada hari Khamis lalu setelah hujan turun semalaman, beberapa kawasan di Seberang Takir ditakungi air dan ada yang terpaksa pindah. Umno menzahirkan kebusukan perut pedalnya apabila melarang kakitangan bertugas Pejabat Daerah untuk menggali bagi saliran air di suatu tempat kerana disifatkan kawasan itu adalah kawasan pembangkang. Buktinya, lihatlah sistem mesej singkat (sms) yang dipaparkan di atas.

Dalam pada itu, saya suka pula merujuk kepada kenyataan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang juga Ketua Umno Bahagian Marang, Haji Yahya Khatib Mohamad dalam akhbar Sinar Harian Jumaat lalu yang menyelar pembangkang kerana memberi bantuan kepada mangsa banjir secara senyap-senyap kepada puak mereka sendiri.

Beliau merujuk kepada tindakan Yang Dipertua PAS Kawasan Marang, Haji Yahaya Ali yang menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir terutamanya di DUN Pengkalan Berangan (yang wakil rakyatnya Haji Yahya Khatib Mohamad).

Mungkin apa yang dilakukan oleh PAS itu adalah membela orang-orang PAS yang menjadi mangsa diskriminasi Umno sebagaimana antara dua kes yang dibuktikan di atas. Tetapi hakikat sebenarnya, PAS dalam program itu memberi kepada semua yang terlibat yang layak menerimanya.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said semasa bulan Ramadhan lalu memberi amaran kepada JKKK supaya tidak berlaku penyelewengan dalam pembahagian kurma dan air zamzam kepada seluruh rakyat Terengganu. Ahmad mengarahkan supaya pembahagian itu dibuat kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik mereka.

Tetapi yang jelasnya, Menteri Besar sendiri bertindak di sebaliknya apabila berucap dalam satu majlis (nanti akan menyusul ceritanya). Rupanya "cakap tak serupa bikin". Patutlah anak buahnya melakukan tindakan yang sama.

Jelasnya berlaku diskriminasi yang hebat terhadap rakyat mereka sendiri. Sudahlah sebelum ini sudah banyak kisah orang-orang PAS dan pembangkang dinafikan hak mereka dari mendapat apa-apa bantuan yang layak untuk mereka menerimanya.

Ini pula, rakyat dalam keadaan cemas dan tersepit kerana banjir pun masih dipilih-pilih orang; ada yang boleh ditolong dan ada pula yang tidak perlu ditolong. Dalam erti kata lain, pembangkang biar mati kelemasan. Sedangkan semua itu adalah rakyat mereka sendiri.

Mereka adalah kerajaan, mereka mesti bertindak secara profesional, tanpa mengira fahaman politik. Adalah menjadi kewajipan mereka untuk menyelesaikan semua masalah yang dihadapi oleh rakyat mereka. Jika tidak, mereka telah mengkhianati rakyat mereka sendiri dan mereka tidak layak untuk menjadi kerajaan.

Inilah Umno yang sebagaimana kata Tun Dr Mahathir, busuk sampai ke usus.

Tiada ulasan: