PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

06 Disember 2009

Misi Kemboja: Selamat Tinggal!

Sabtu, 11 Zulhijjah 1430 bersamaan 28 November 2009: Hari ini adalah hari raya kedua dan kami masih berada di Madrasah (Pondok) Darul 'Ulum, Poipet, Kemboja.

Solat Subuh pagi ini diimamkan oleh Abdul 'Alim Zakaria dan beliau seterusnya dijemput oleh Ustaz Afi Abdullah (Mursyid Darul 'Ulum) untuk menyampaikan Kuliah Subuh.


Selepas sarapan pagi, kami mula beredar untuk menziarahi kampung-kampung orang Islam di laluan Poipet ke Phnom Pehn.

Oleh kerana insurans van kami hanya dilindungi bagi Wilayah Banteay Meanchey, sedangkan kami mungkin akan melepasi wilayah itu, maka kami diberi pinjam kereta Camry milik Haji Salleh warga Kemboja yang selalu berulang-alik ke Malaysia.

Perjalanan kami ditemani oleh Ali yang bertindak sebagai jurubahasa kami. Bagaimanapun, di Kemboja ini tidak terlalu sukar dalam komunikasi kami kerana di mana-mana sahaja kampung yang kami ziarahi, kami pasti bertemu dengan warga tempatan yang boleh berbahasa Melayu dengan fasih. Mereka adalah bekas pekerja asing di Malaysia.

Lokasi pertama kami ialah Masjid Al-Ma'aruf, Kampung Limit. Di situ kami berjumpa dengan Yusof yang pernah bekerja di Terengganu beberapa tahun lalu. Bersama dengan imam di kampung itu, kami ke padang untuk membeli lembu.


Di kampung itu dua ekor lembu kami beli dan terus disembelih di situ oleh warga tempatan.


Kami beredar pula ke Masjid Ma'ar-Raki'in, Kampung Tekla. Di situ kami bertemu dengan Rashid yang fasih berbahasa Melayu, bekas pekerja asing di Malaysia. Kami membeli dua ekor lembu dan menyerahkan kepada imam di situ untuk qurban.

Manakala di Masjid Darus-Salam, Kampung Rong Masen kami juga membeli dua ekor lembu dan menyerahkan kepada imam Bunyamin untuk disembelih qurban.


Dalam pada itu, saya selalu memantau keadaan anak saya yang sedang sakit di tanahair. Kami diberitakan keadaannya semakin serius. Oleh itu kami terpaksa bergegas untuk menyelesaikan urusan kami di Kemboja ini, membawa amanah qurban dan aqiqah.

Kesemua yang dapat kami tunaikan qurban yang kami bawa ialah sebanyak 13 ekor lembu. Sebahagian baki lagi kami serahkan kepada pihak Darul 'Ulum bersekali dengan sumbangan untuk guru dan madrasah itu.

Selepas 'Asar, kami berkemas untuk berangkat pulang. Kami dihantar oleh Ustaz Sha'ari yang menaiki van bersama kami sehingga ke sempadan. Manakala Husin menunggang motosikal memandu jalan kami ke Poipet.

Di bandar Poipet kami telah ditunggu oleh Nuon Chansophek, Pegawai Imigresen yang akan menguruskan segala dokumen perjalanan kami. Dengan bantuan beliau, kami tidak perlu beratur panjang di kaunter imigresen, segala-galanya diurus oleh beliau.

Kira-kira jam 6.30 petang waktu tempatan (7.30 malam waktu Malaysia), kami mula bertolak melepasi sempadan Thailand - Kemboja di bandar Aranyaprathet.

Selamat tinggal Kemboja!

Setelah sesat hampir tiga jam dalam Kota Raya Bangkok, akhirnya kami sampai ke Tak Bai kira-kira jam 12.30 malam waktu tempatan (1.30 pagi waktu Malaysia) 30 November yang mengambil masa 30 jam perjalanan.

Malam itu kami tidur di Masjid Tak Bai dan selepas solat Subuh kami mula beredar menuju ke jeti bagi menaiki feri menyeberangi Sungai Golok ke Pengkalan Kubur.

Alhamdulillah, kami selamat sampai di rumah pada jam 12.10 tengah hari.


Tamat.

Tiada ulasan: