PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

10 Mac 2010

Betulkah Terengganu akan dapat MB baru?

Kebetulan sekarang di Pantai Timur ini musim angin bertiup kencang, di mana ketika ini di sana sini ramai orang bermain wau atau layang-layang. Tidak kurang juga diadakan pertandingan wau yang kebanyakannya bertemakan Wau Bulan dan banyak dianjurkan oleh PAS sendiri.

Sekencang angin yang bertiup itu, maka sekencang itu pula bertiup khabar angin yang mengatakan bahawa kerusi Menteri Besar Terengganu akan bertukar penyandangnya. Punca dari mana angin itu mula bertiup mungkin tidak penting, kerana ramai orang menyaksikan banyak pokok bergoyang dek tiupan angin kencang itu di negeri ini, walau angin itu sendiri tidak ada siapa yang nampak.

Betulkah berita yang tersebar itu? Atau ia hanya sebagai satu spekulasi politik yang nantinya akan hilang apabila musim berubah, sebagaimana musim angin hari ini? Inilah persoalan yang ingin kita lihat.

Kata orang tua-tua, masakan pokok bergoyang jika tidak ada angin. Tetapi bergoyang tidak semestinya kerana ditiup angin, mungkin digoyang (atau dihingguk - dalam dialek Terengganu) oleh tangan manusia. Walau apapun keadaannya, ia pasti ada asasnya yang membawa kepada spekulasi yang tidak kurang hebatnya ini.

Memang sudah menjadi nasib Dato' Ahmad Said yang diangkat ke kerusi panas Menteri Besar Besar Terengganu selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu melalui krisis politik yang sangat runcing. Satu demi satu ujian melanda beliau.

Perlantikannya mendapat bantahan yang tidak kurang hebat dari partinya sendiri, termasuk Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN). Dari situ timbul kumpulan yang digelar sebagai "10 Budak Hitam" yang sehingga sekarang dilihat terus mengasak Ahmad supaya berundur dari kerusinya itu.

Tetapi Ahmad ini terkenal jenis "keras kepala" yang tidak pernah tunduk kepada tekanan terhadapnya. Apatah lagi, beliau berpegang kuat atas perlantikannya yang diperkenan oleh baginda Sultan. Perkara itu dijadikan sebagai talian hayatnya.

Pelbagai usaha terancang telah dilakukan oleh kumpulan penentang beliau dalam Umno. Bermula dengan penghantaran sistem mesej singkat (SMS) ugutan bunuh, membawa kepada pemulauan sidang DUN dan protes diam dalam sidang DUN, sehinggalah akhirnya serangan yang dilakukan dalam sidang DUN yang terakhir baru-baru ini.

Persoalannya, kenapa kumpulan penentang itu terlalu tidak suka kepada Ahmad sebagai Menteri Besar? Apakah mereka tidak boleh bertolak ansur sesama sendiri untuk tempoh waktu yang tidak terlalu panjang ini bagi menjernihkan keadaan. Perbalahan mereka yang dilihat secara terang-terang oleh seluruh rakyat di negeri ini sudah tentu memberi gambaran yang sangat negatif kepada parti mereka.

Berpunca dari itu, sebahagian rakyat yang selama ini menyokong BN menjadi muak dan melihat bahawa BN sudah tidak mampu mentadbir negeri, "padan balah sama sendiri".

Apakah Ahmad memang tidak layak menduduki kerusi Menteri Besar itu? Apakah ada sebahagian mereka yang berasa malu mempunyai Menteri Besar sepertinya yang dilihat macam tidak ada 'standard' atau dalam istilah orang Terengganu "komang spanar" atau "dok rok cetong".

Ramai orang melihat bahawa cara Ahmad mentadbir negeri ini seolah-olah "baham rambang", "cukang cemaking" atau lintang pukang.

Ucapan-ucapan beliau dalam majlis rasmi langsung tidak ada standard. Sehingga pernah dalam satu majlis yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah, tercetus dari mulut seorang pelajar, "kalau macam ini cara berucap seorang MB, aku lebih layak jadi MB."

Beliau tidak pandai hendak membezakan mana majlis rasmi kerajaan dengan majlis parti Umno. Di mana-mana apabila beliau berucap di hadapan rakyat, perkiraanya hanya hendak mengutuk pembangkang (terutama PAS) dan mengajak mereka supaya menyokong Umno/BN. Sedangkan majlis itu bukan majlis anjuran parti, tetapi majlis rasmi kerajaan yang di situ ada pegawai-pegawai kerajaan dan rakyat dari pelbagai kefahaman politik.

Standard ucapannya kadang-kadang dilihat lebih teruk daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Dari situ orang melihat bahawa beliau tidak layak sebagai Menteri Besar. Kalau zaman beliau sebagai Exco dahulu mungkin sebahagian orang boleh maafkan, tetapi bila sudah jadi Menteri Besar ini, sepatutnya "reti bahasa" lah sedikit.

Kalau begitulah rupanya, memang beliau tidak layak duduk di situ. Padanlah kalau ada orang Umno sendiri yang malu dengan sikap dan perangai beliau itu.

Ikuti cerita seterusnya (bersambung)... Siapakah pengganti Ahmad Said?

Tiada ulasan: