PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

11 Mac 2010

Laporan stadium runtuh: Memalukan!

Tajuk akhbar Berita Harian hari ini "Semua pihak terbabit projek SSMZA bawa masalah: MB" agak menarik. Siapakah yang dimaksudkan dengan "semua pihak terbabit" itu? Kenyataan Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said semasa mendedahkan laporan Jawatankuasa Siasatan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) itu hanya menyalahkan pihak kejuruteraan projek yang disebut menyumbang kepada masalah berkenaan.

Di bawah ini dikemukakan laporan akhbar berkaitan:

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri semalam mendedahkan laporan siasatan Jawatankuasa Siasatan mengenai runtuhan sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Kompleks Sukan Gong Badak di sini, yang mana antara lain mendapati semua pihak terbabit dalam kejuruteraan projek itu menyumbang kepada masalah berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, mengumumkan laporan itu selepas Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) pada mesyuaratnya semalam meneliti dan mengklasifikasikan semula laporan siasatan bebas (IC) setebal 60 muka kejadian itu daripada sulit kepada umum.

Katanya, kerajaan negeri akan melantik pasukan perunding untuk menentukan semula sama ada stadium berharga RM292 juta itu masih selamat digunakan atau sebaliknya.

Beliau berkata, pihaknya sudah menghantar notis kepada kontraktor utama yang dipertanggungjawabkan untuk membaiki stadium berkenaan kerana masih berada dalam tempoh tanggungan kecacatan, tetapi sehingga kini belum mendapat sebarang maklum balas.

“Antara sebab runtuhan itu ialah reka bentuk yang tidak menepati spesifikasi ditetapkan serta bumbung yang tidak dibina dengan sempurna,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Beliau berkata, harus diakui kesilapan jururunding dilantik tidak ada pengalaman dan kepakaran mencukupi menyelia projek sebesar dan pertama seumpamanya di Malaysia.

Katanya, laporan IC juga mendedahkan antara lain punca runtuhan disebabkan kesilapan rekaan yang tidak mengambil kira keupayaan struktur sokongan, ketidaksempurnaan pembinaan hingga berlaku penyisihan geometri, ketiadaan kawalan mutu di tapak kerja dan penggunaan bahan serta mutu kerja yang tidak menepati standard ditetapkan.


Antara yang disebut oleh Ahmad Said ialah, beliau mengaku kesilapan jururunding dilantik tidak ada pengalaman dan kepakaran mencukupi menyelia projek itu.

Sesuatu yang menghairankan. Kenapa boleh jadi begitu? Siapa yang melantik mereka? Kalau orang yang dilantik itu silap, apakah kesilapan itu tidak membabitkan orang yang melantiknya?

Tetapi kerajaan pimpinan Ahmad Said seolah-olah langsung tidak mahu bertanggungjawab dengan masalah ini. Kesilapan yang berlaku, bukan kesilapan beliau.

Sedangkan inilah realiti yang berlaku dalam projek-projek kerajaan Barisan Nasional (BN) khususnya di negeri ini dan amnya seluruh negara. Runtuhan satu demi satu yang berlaku kepada beberapa projek di negeri ini sepatutnya menyedarkan kerajaan bahawa di sana ada penyelewengan yang besar dalam projek-projek berkenaan.

Pemimpin nombor satu mesti dipersalahkan dan beliau mesti mengambil tanggungjawab ini. Kalau di negara luar, pemimpin yang bermaruah boleh meletak jawatan atas isu yang seumpama ini. Tetapi di Malaysia, tanahairku yang tercinta ini, perkara ini barangkali mustahil akan berlaku.

Nasib kamulah rakyat Malaysia kalau kamu masih tidak sedar dengan perkara ini. Atau mungkin kamu akan sedar bila runtuhan itu terkena atas kepala kamu atau keluarga kamu.

1 ulasan:

Awang berkata...

Jenis tadok maruah. Muka dok malu.