PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

14 Mac 2010

Ramai yang tersentuh dengan Kuliah Khas Presiden

Malam Jumaat lalu, bertempat di Masjid Rusila, Marang berlangsung satu majlis yang dianjurkan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) dan Dewan Ulama' PAS Negeri iaitu Kuliah Maghrib Khas dan Solat Hajat Perdana.

Ruang masjid yang begitu besar itu dipenuhi oleh ahli jamaah hingga melimpah sampai ke bahagian luar. Mereka terdiri daripada ahli dan penyokong PAS dari seluruh negeri Terengganu yang dijemput khas untuk mengikuti majlis yang sangat penting itu.

Seusai solat Maghrib dan sunat ba'diyyah, Ketua Dewan Ulama' PAS Negeri, Dato' Husain Awang selaku pengerusi majlis memulakan bicara dan menjemput Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Dato' Abu Bakar Chik, bagi mewakili BPPNT untuk menyampaikan ucapan aluan dan menerangkan tujuan majlis diadakan.

Seterusnya pengerusi mempersilakan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang untuk menyampaikan Kuliah Maghrib Khas.

Kuliah sepanjang lebih satu jam setengah itu mengupas ayat 54 - 56 Surah Al-Ma'idah:

(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; kerana Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi meliputi pengetahuan-Nya. Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, dan Rasul-Nya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah yang tetap menang.

Antara yang ditekankan oleh Tuan Guru ialah bahawa penyertaan dalam kumpulan (jamaah Islam) ini tidak boleh dibuat-buat atau berlakon, jika tidak mereka akan tercampak keluar.

Allah tetap akan memelihara agama-Nya dan akan ada golongan yang mempertahankan agama ini. Ciri-ciri golongan ini dijelaskan dalam ayat tersebut, iaitu:

1) Dikasihi Allah dan mengasihi Allah;
2) Bersifat lemah lembut terhadap orang beriman dan tegas terhadap orang kafir;
3) Berjuang bersungguh-sungguh pada jalan Allah;
4) Tidak takut kepada celaan orang-orang yang mencela;

Tuan Guru juga menyebut tentang kelebihan orang-orang yang berjuang dan orang yang menyumbang pada jalan Allah bagi tujuan memenangkan agama Allah. Ganjaran yang besar sehingga 700 kali ganda diberikan kepada mereka kerana antaranya banyaknya soalan syaitan ketika hendak memberi sumbangan itu.

Sementara perbezaan orang berjuang dengan orang yang tidak berjuang jaraknya ialah antara langit dengan bumi. Orang yang berjuang dalam sepanjang masa dan kerjanya adalah ibadat kepada Allah.

Mereka adalah penyelamat generasi akan datang. Pahala orang yang terpelihara disebabkan usaha mereka itu akan sampai walaupun setelah mereka mati.

Sesungguhnya orang yang diberi nikmat sahaja berada di dalam perjuangan Islam ini.

Memang betullah seperti yang saya sebut terdahulu bahawa rugi mereka yang tidak hadir dalam majlis itu. Ramai yang tersentuh dengan kuliah itu, sehingga ada yang mengalirkan air mata. Barangkali itulah tanda keikhlasan dan ketulusan hati mereka.

Sesungguhnya apa yang disampaikan pada malam itu benar-benar memberi semangat dan kekuatan kepada ahli-ahli dan penyokong PAS untuk meneruskan perjuangan ini.

Untuk mendapat video kuliah, boleh layari di sini.

Tiada ulasan: