PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

30 April 2010

Sepagi di Kebor Besar



Seawal jam 7.15 pagi tadi kenderaan saya sudah mula bergerak menuju ke Kampung Kebor Besar, Manir dalam DUN Teluk Pasu. Di situ sejak semalam diadakan program Ops Al-Falah bagi Unit Peti Undi (UPU) Kebor Besar.

Saya tiba di Surau Kg Kebor Besar yang juga markas PAS di kampung itu setelah mengambil perjalanan selama kira-kira 15 minit. Beberapa pemimpin utama PAS Kawasan Kuala Nerus sudah sampai di situ, iaitu Ustaz Abu Bakar Abdullah (Yang Dipertua), Cikgu Shukrimun Shamsudin (Timbalan Yang Dipertua), Dr Alias Razak (Naib Yang Dipertua) dan Cikgu Jusoh Ngah (Penolong Setiausaha).

Turut menyambut kami di situ ialah Ketua PAS Cawangan Kebor Besar, Haji Yaacob Ibrahim dan beberapa orang Ahli Jawatankuasanya.

Aturcara pagi ini ialah "Sembang Kedai Kopi". Sebuah kedai kopi dekat jambatan di tengah-tengah kampung itu menjadi lokasi kami. Hampir sejam kami bersembang di situ bersama penduduk setempat yang menjadi pengunjung kedai kopi itu.

Pelbagai topik yang kami perbualkan, merangkumi isu-isu politik hinggalah kepada masalah sosial dan keselamatan kampung. Antara berita baru yang disampaikan kepada kami oleh salah seorang penduduk di situ ialah berlaku kecurian kerbau yang disembelih terus di tempat kejadian pada malam tadi di kampung itu.

Setelah beredar dari kedai kopi itu, kami dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk melakukan ziarah penduduk setempat seperti golongan al-mala' dan orang sakit.

Saya bersama Haji Ahmad Zaini Deraman (Bendahari PAS Kawasan) ditugaskan ke rumah warga emas yang sudah uzur di hujung kampung itu. Beliau ialah Tengah Ismail berumur 93 tahun yang berasal dari Kg Kebor Air yang bersebelahan dengan Kebor Besar. Beliau tinggal di rumah anaknya, Awang Tengah.

Tengah atau mesra dengan panggilan Che Ngah adalah penyokong PAS yang setia sejak dari usia muda lagi. Beliau tidak pernah berganjak dari menyokong parti Islam ini. Walaupun bermacam diskriminasi dilakukan terhadap beliau, ia tidak sedikitpun melemahkannya.

Kami beredar dari rumahnya setelah meninggalkan sedikit hamper bahan-bahan makanan untuk keluarganya selain sedikit sumbangan wang.

2 ulasan:

Otai PAS... berkata...

..alhamdulillah... diharap perbanyakkan program sebegini...

Ibni Gharib berkata...

Sebenarnya program seperti ini diadakan hampir setiap minggu di negeri Terengganu sekarang. Minggu ini sahaja di Kuala Nerus ini, semua DUN (Tepuh, Teluk Pasu dan Bukit Tunggal) kecuali DUN Seberang Takir mengadakannya. Di DUN Seberang Takir insya' Allah, pada 20 - 22 Mei ini.