PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

11 Ogos 2010

Ramadhan dan pohon kurma

Selamat Menyambut Ramadhan 1431H. Ramadhan sekali lagi menjenguk kita. Bagi orang yang beriman, ia suatu kegembiraan dan anugerah bernilai dari Allah kepada mereka.

Sesuatu yang sinonim dengan bulan Ramadhan ketika umat Islam berpuasa ialah buah tamar atau lebih dikenali sebagai buah kurma.

Buah kurma memang sesuatu yang tidak asing dalam negara kita walaupun ia adalah makanan yang diimport dari negara-negara Timur Tengah. Manakala pohon kurma pula adalah sesuatu yang asing di negara ini. Walaupun terdapat beberapa tempat di mana pohon kurma ini ditanam dan tumbuh di negara ini, tetapi jumlahnya sangat sedikit dan terlalu jarang yang berbuah. Mungkin faktor iklim yang tidak sesuai dengan negara ini.

Apa yang ingin saya utarakan sempena awal Ramadhan ini ialah pohon kurma yang ditanam di negeri Terengganu di zaman pemerintahan Menteri Besar, Dato' Seri Idris Jusoh (2004 - 2008).

Ia ditanam di hadapan Bazar Warisan, Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu. Masih terdapat 18 pohon termasuk satu yang sudah mati (tinggal batang buruk sahaja). Khabarnya, harga bagi sepohon kurma itu ialah RM20,000.

Umurnya sekarang lebih kurang lima tahun sejak ditanam, tidak dikira umurnya semasa ditanam dahulu, kerana ketika itu pokok itu sudah besar.

Saya tidak pasti jangka berbuah bagi pohon kurma ini. Tetapi pada congakan kasar, rasanya ia sudah patut berbuah. Bagaimanapun sehingga sekarang buahnya masih belum kelihatan.

Mungkin juga tujuan ia ditanam itu hanya untuk perhiasan sahaja walaupun menelan kos sebanyak RM360,000.

Sejak dua tahun lepas, kerajaan negeri Terengganu di bawah Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said telah membahagikan buah kurma dan air zam zam kepada 300,000 rakyat di negeri ini. Pada tahun lalu, perbelanjaanya menelan kos RM7.8 juta.

Isu ini telah ditimbulkan oleh wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sendiri dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri yang mendakwa ada penyelewengan. Mengikut maklumat dari satu sumber, kos sebenar satu unit ialah RM6 sahaja, sedangkan kerajaan negeri membayar sebanyak RM22.50 seunit.

Untuk tahun ini, kita tidak pasti lagi sama ada agihan itu akan diteruskan lagi atau tidak.

Walau apapun, itulah gambaran kerja buat yang dilakukan oleh Umno/BN dalam mentadbir negeri ini. Apabila ditegur, mereka kata pembangkang cuba menggagalkan rancangan kerajaan, dan pembangkang takut rakyat terus menyokong Umno/BN.

Mereka cuba menutup penyeleweng yang mereka lakukan dengan menuduh pula kepada pembangkang.

Ingatkan pada tahun ini dapat juga merasa buah kurma yang ditanam di Bazar Warisan itu, tetapi rupanya ia hanya untuk perhiasan dan pasti akhirnya satu persatu akan mati.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

derma mintak sokmo... dia tu bui ke dok....