PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

22 Januari 2011

Adakah tenang suasana di Tenang?

Hari ini bermulalah 'perang' secara rasmi setelah berlangsungnya proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang. PRK ini adalah yang ke-14 selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 2008 lalu. Ia mencatat sejarah PRK paling banyak dan boleh dimasukkan dalam Malaysia Book of Records.

PRK ini diadakan bagi mengisi kekosongan berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha, wakil rakyat Umno/BN, 17 Disember lepas.

Ia PRK pertama di Johor sejak Mac 2008, malah ia juga yang pertama sejak pilihan raya kecil DUN Tambatan yang diadakan pada 5 Ogos 1989.

Johor dikenal sebagai kubu terkuat Umno di negara ini kerana kebetulan pula di situ lahirnya Umno. Sebelum ini Parti Islam Se-Malaysia (PAS) seolah-olah tidak ada tempat langsung di negeri itu. Bagaimanapun, bermula PRU-11 pada 2004, PAS berjaya menghantar seorang wakil ke dalam Dewan Undangan Negeri Johor setelah menang tanpa bertanding di kerusi DUN Senggarang (Dr Mohd Ramli Md Kari).

Sejarah ditempa pada PRU-12 2008 lalu, apabila dua calon PAS iaitu Dr Sheikh Ibrahim Salleh (Sungai Abong) dan Dr Mohammad Taslim (Maharani) telah mencapai kemenangan yang sangat manis bagi PAS Negeri Johor.

Rentetan selepas itu, maka sudah kelihatan bahawa PAS semakin diterima di negeri Johor ini melalui perkembangan dan sambutan terhadap program-program yang dianjurkan oleh parti itu sejak akhir-akhir ini.

Suasana ini membawa harapan baru kepada PAS dan Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini apabila berlakunya PRK Tenang ini.

Persoalannya, adakah suasana di Tenang itu tenang dalam PRK ini? Sukar bagi kita untuk mencari sebuah ketenangan dalam sesuatu pilihan raya, kerana sifatnya itu sendiri perlawanan atau 'peperangan'. Kita tidak boleh mengelak dari berlaku ketegangan, tetapi keganasan yang melampau boleh dikawal oleh kedua-kedua pihak yang bertanding.

Berdasarkan sejarah PRK yang sudah sekian kali berlangsung di negara ini, banyak menyaksikan peristiwa-peristiwa berupa tragedi, sampai ada yang terkorban. Kita masih ingat kematian Osman Talib dalam peristiwa Lubuk Merbau sehari sebelum pembuangan undi PRK Parlimen Padang Terap pada 18 Januari 1985. Dalam tragedi itu, lebih 200 ahli Umno menyerang pekerja pilihan raya PAS di Felda Lubuk Merbau, menyebabkan tujuh cedera parah, dan seorang meninggal dunia, esok harinya.

Begitu juga apa yang berlaku dalam PRK DUN Ijok pada 28 April 2007, petugas PAS dipukul teruk oleh samseng Umno. Manakala dalam PRK DUN Bagan Pinang pada 11 Oktober 2009, berlaku serangan di Markaz Besar PAS.

Sejarah PRK bagi negeri Johor sendiri, dalam PRK DUN Tambatan pada 5 Ogos 1989 juga berlaku tragedi keganasan yang dicetuskan oleh petugas (samseng) Umno.

Apa yang kita perhatikan, di kawasan kubu Umno, selalu terjadi peristiwa keganasan apabila Umno seolah-olah tidak dapat menerima kehadiran pembangkang dalam kawasan mereka.

Apakah Tenang yang dianggap kubu kuat Umno, akan berlaku keganasan yang akan menggambarkan bahawa ia tidak setenang namanya?

Tiada ulasan: