PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

21 Januari 2011

PAS tidak anggap isu debat hina Hadi

KUALA TERENGGANU – Timbalan Ketua Penerangan PAS Negeri Terengganu, Zakaria Dagang menganggap tidak timbul sebarang kenyataan menghina daripada Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim apabila beliau dikatakan menyerah isu berhubung cabaran debat Ummi Hafilda Ali kepada Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Sebaliknya Zakaria berkata, semua pihak dalam Pakatan Rakyat (PR) perlu mempertahankan isu berhubung kebenaran kes salah laku seks yang dikaitkan ke atas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Beliau menjelaskan, keadaan itu perlu memandangkan Ummi Hafilda turut membabitkan PAS apabila dikatakan akan memfailkan saman RM700 juta terhadap pelbagai pihak, termasuk PAS sebanyak RM100 juta.

“Tidak timbul isu menghina dan PAS sendiri dibabitkan dalam kes ini. Kita juga tidak tahu maksud sebenar individu itu tetapi apabila timbul cerita sebegini dan libat semua pihak, kita kena pertahan (Anwar Ibrahim),” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Sebelum ini, Parti Progresif Penduduk (PPP) menyifatkan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim menghina Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang secara halus apabila menyerahkan isu cabaran debat Ummi Hafilda Ali terhadapnya kepada pemimpin berkenaan.

Naib Presidennya, Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff berkata, sepatutnya Anwar menyerahkan isu debat itu kepada Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, bukan Abdul Hadi yang tiada kena mengena dengan kes itu.

Zakaria berkata, perkara yang dibangkitkan Ummi Hafilda itu juga dilihat bertujuan menghangatkan cerita menjelang pilihan raya.

Bagaimanapun, tindakan itu sedikit pun tidak menimbulkan kekeliruan kepada pihaknya memandangkan ia isu lama yang seolah-olah cuba dicetuskan semula untuk memburukkan Pakatan Rakyat (PR).

“Kita rasa ia ada tujuan dan mungkin berkait dengan isu politik untuk jatuhkan PR terutama dalam suasana ketika ini yang sedang menghampiri pilihan raya,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Tiada ulasan: