PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

16 Februari 2011

PAS penting diri sendiri?

Terbaca satu berita seperti tajuk di atas dari akhbar Sinar Harian Selasa (15 Februari) lalu berhubung kenyataan yang dibuat oleh Ketua Penerangan Umno Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman (gambar) yang baru dilantik di bawah pentadbiran Dato' Seri Ahmad Said sebagai Pengerusi Perhubungan.

Pada mulanya agak malas untuk diulas kerana nilai beritanya tidak sepadan dengan taraf jawatan orang yang membuat kenyataan itu. Tetapi mungkin kerana beliau orang baru memegang jawatan itu yang merupakan salah satu jawatan penting dalam hiraki parti yang sedang memerintah negeri ini.

Kalau dilihat dari banyak kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini dari Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu yang juga Menteri Besar, iaitu bos beliau, rasanya tidak hairanlah kenyataan seumpama itu boleh dikeluarkan. Kata orang padan dengan standard ketuanya.

Pernah diberitahu, pegawai-pegawai kerajaan di negeri ini 'malu' dengan ucapan dan kenyataan yang dibuat oleh Ahmad Said. Bahkan di kalangan orang Umno sendiri pun rasa tidak selesa mempunyai seorang Menteri Besar yang standard ucapan dan kenyataannya macam pemimpin di peringkat kampung. Hingga pernah pelajar sekolah merungut, "Kalau beginilah ucapan seorang Menteri Besar, aku lebih layak duduk di tempat itu."

Berbalik kepada apa yang didakwa oleh Razif bahawa PAS mementingkan diri sendiri dengan beliau merujuk kenyataan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang menyalahkan Umno selain mendakwa berlaku penipuan dalam usaha Umno dan Barisan Nasional (BN) menawan Terengganu melalui 'Gelombang Biru'.

Memetik kata-kata beliau: "Inilah yang dikatakan ibarat tidak pandai menari, lantai pula dikatakan jongkat-jongket walaupun mereka sebenarnya yang tidak pandai mentadbir, ekonomi teruk, nepotisme, menipu rakyat berhubung isu tanah, selain Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) yang lebih berkuasa berbanding jabatan-jabatan lain."

Memang kita akui bahawa orang PAS atau khususnya para pemimpin PAS tidak pandai menari, bahkan tidak boleh menari seperti kebanyakan pemimpin-pemimpin Umno. Jadi tentunya tidak berbangkit soal lantai yang jongkat-jongket itu.

Benarkah sebagaimana dakwaan beliau itu bahawa PAS tidak pandai mentadbir? Apakah PAS telah gagal mentadbir sepanjang empat tahun pemerintahannya di negeri Terengganu dahulu? Betulkah kegagalan PAS untuk mempertahankan pemerintahannya itu berpunca dari faktor ini?

Apa yang telah dibuktikan oleh kerajaan PAS semasa berkuasa di Terengganu dahulu ialah pencapaian dan pengiktirafan yang diterima oleh beberapa jabatan di bawah kerajaan negeri dari segi pengurusan terbaik. Begitu juga pujian yang diberi oleh pihak Ketua Audit Negara apabila pentadbiran di bawah PAS termasuk Pihak Berkuasa Tempatan yang berjaya mengemukakan laporan masing-masing dalam tempoh yang sepatutnya, bukan seperti di zaman sebelum itu. Perkara ini boleh dirujuk kepada laporan berkenaan.

Adakah kerana tidak pandai mentadbir itu kerajaan PAS menerima anugerah dan pengiktirafan seperti itu? Ataupun kita hendak kata bahawa orang yang memberi anugerah dan pengiktirafan itu sebagai 'bodoh' dan tidak pandai menilai.

Razif jangan cuba menyeleweng fakta yang menjadi bahan sejarah yang tidak boleh ditipu. Kalau bercakap di hadapan orang kampung terutama di pedalaman mungkin mereka boleh dikelentong oleh Ketua Penerangan Umno ini. Rakyat tidak sebodoh itu untuk ditipu, apatah lagi di zaman yang serba canggih ini dengan perkembangan teknologi maklumat yang boleh dicapai di hujung jari.

Tentang dakwaan beliau bahawa ekonomi lemah di bawah pemerintahan PAS, tahukah beliau apa puncanya? Dunia tahu bahawa pemimpin Umno Terengganu telah mengkhianati kerajaan dan rakyat Terengganu semasa pemerintahan PAS dahulu apabila mereka mendesak supaya royalti petroleum yang menjadi hak negeri ini ditarik balik. Mereka tanpa ada perasaan, maruah dan harga diri sanggup melanggar perjanjian yang dimetrai dengan 'merompak' hak yang termaktub bagi negeri ini.

Cuba kita bayangkan, bagaimana lebih 70% hasil negeri ini dirompak orang. Saya rasa kalau sekiranya Umno/BN yang memerintah negeri ini dalam keadaan itu, mereka hanya mampu bertahan beberapa bulan sahaja. Tetapi kerajaan PAS telah membuktikan bahawa dalam keadaan seolah-olah kaki dan tangan mereka diikat, mereka boleh terus mentadbir negeri ini melalui beberapa pendekatan.

Walaupun banyak perkara yang kerajaan ketika itu tidak mampu lakukan disebabkan kekangan kewangan, tetapi perkara-perkara asas seperti perbelanjaan mengurus termasuk emolumen (gaji bagi kakitangan awam negeri) tidak pernah tertunggak sepanjang empat tahun di bawah PAS. Bahkan kerajaan ketika itu mampu juga membayar kenaikan gaji dan elaun-elaun tertentu selaras dengan apa yang dibuat oleh Kerajaan Pusat.

Langkah berjimat-cermat dan strategi ekonomi yang mantap hasil kebijaksanaan kepimpinan kerajaan PAS ketika itu telah berjaya ditempuh sepanjang pemerintahan empat tahun di negeri ini. Pengurusan yang cekap, telus dan bebas rasuah adalah faktor utama kejayaan ini.

Walaupun pemimpin PAS Terengganu ditohmah 'baham' balak, tetapi hasil balak meningkat tinggi di negeri ini, dan tidak ada seorangpun pemimpinnya yang didakwa oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu (SPRM sekarang) kerana penyelewengan dan salah guna kuasa. Yang jelasnya, sepanjang empat tahun itu, kerajaan PAS berjaya menyifarkan rasuah di negeri ini.

Ini juga termasuk dakwaan berlaku amalan nepotisme dalam pentadbiran kerajaan PAS ketika itu. Ia tidak pernah dibuktikan dan bahkan tidak ada yang didakwa atas kes-kes berkaitan.

Apa yang dapat kita buktikan bahawa sepanjang tempoh itu, kehidupan rakyat Terengganu dalam keadaan yang sangat selesa. Kata orang, rezeki melimpah ruah, senang cari makan dan keselamatan dirasakan terjamin. Bahkan kadar kemiskinan di negeri ini telah berjaya diturunkan daripada tempat kedua ke tempat keempat. Adakah itu suatu gambaran ekonomi teruk di bawah PAS mengikut kaca mata Umno?

Mengenai dakwaan Razif PAS menipu rakyat berhubung isu tanah? Sebenarnya siapa yang menipu dan siapa yang kena tipu? Isu menipu ini semua orang tahu adalah mainan saraf Umno untuk memberi gambaran negatif kepada kerajaan PAS. Kalau benar berlaku penipuan sebagai yang didakwa itu, kenapa tiada pendakwaan dalam kes ini dibawa ke mahkamah?

Yang jelas, dalam isu tanah ini, dunia tahu bahawa Umno/BN yang mengkhianati rakyat Terengganu apabila dengan secara rakus mereka merampas tanah-tanah rakyat yang dikurniakan oleh kerajaan PAS. Bukan itu sahaja, mereka sanggup meroboh rumah-rumah rakyat, bahkan rumah Allah pun mereka roboh. Sesungguhnya rakyat Terengganu tidak akan pernah melupakan tindakan zalim yang dilakukan oleh Umno/BN ini yang merupakan tindakan balas dendam mereka.

Dakwaan berkaitan JSR yang dikatakan lebih berkuasa berbanding jabatan-jabatan lain adalah suatu yang subjektif. Mungkin ada satu atau dua kes yang boleh dianggap terpencil, tetapi digembar-gembur serta dijaja ke merata tempat untuk menggambarkan buruknya tingkah laku orang-orang PAS ini.

Padahal perkara seperti ini sepatutnya tidak berbangkit. Apa yang berlaku mungkin ada pegawai di jabatn-jabatan tertentu yang terlalu kuat Umnonya dan memang memusuhi PAS yang tidak senang dengan tindakan-tindakan betul yang diambil oleh JSR tertentu. Selama ini mereka boleh bebas melakukan sesuatu yang menyalahi peraturan, tetapi di zaman PAS mereka seoalah-olah tersekat untuk melakukannya. Jadi mereka mengkambinghitamkan JSR untuk menghalalkan tindakan mereka. JSR pula yang dijadikan sasaran.

Dakwaan Presiden PAS tentang berlaku penipuan dalam usaha Umno/BN menawan Terengganu itu adalah suatu yang boleh kita buktikan. Pertambahan pengundi yang sangat luar biasa adalah suatu yang telah dibuktikan dalam pendaftaran pemilih semasa Pilihan Raya Umum Ke-11 (2004) yang membawa hasil kemenangan Umno/BN. Kita boleh merujuk kepada data bilangan pengundi di negeri ini dengan membuat perbandingan antara PRU-10 dengan PRU-11.

Apakah ini masih mahu dinafikan oleh Umno/BN?

Razif juga mendakwa bahawa kegagalan pentadbiran turut berlaku di beberapa negeri yang ditadbir pembangkang (istilah pun tidak betul - sepatutnya disebut "di negeri yang Umno/BN jadi pembangkang") seperti Kelantan yang dikatakan tidak mampu mengawal masalah sosial yang berlaku dalam kalangan muda-mudi.

Betulkah apa yang didakwa itu? Jangan pakai hentam tanpa ada fakta yang jelas. Malulah Umno Terengganu jika begini cara Ketua Penerangannya buat kenyataan. Nanti akan diketawakan orang.

Bolehkah kita menilai sebagai gagal apabila Kelantan ditadbir oleh PAS selama lebih 20 tahun itu? Cuba bandingkan dengan Terengganu di bawah Umno/BN ini, mana lebih maju? Dalam isu ini, orang buta pun tidak boleh ditipu, inikan pula orang-orang yang celik. Tak tahulah mungkin Umno ini jenis orang yang tidak celik atau dalam kata lain buta mata hati atau buta akal. Tidak payahlah saya menyebutnya dengan panjang lebar, mereka yang berakal boleh berfikir secara waras.

Dakwaan terakhir Razif ialah tentang sikap PAS mementingkan diri sendiri dengan mengatakan PAS menjadikan ceramah sebagai 'karier', apabila ceramah kutip duit sedangkan cara berbelanja pemimpin mereka mewah.

Terlalu dangkal dakwaan itu yang menggambarkan pula kedangkalan pemikiran seorang Ketua Penerangan Umno Negeri. Beliau hendak menyamakan ceramah PAS dengan ceramah Umno, sekaligus hendak menyamakan orang PAS dengan orang Umno.

Kalau hendak tahu perkara sebenarnya, beliau kena masuk PAS dan duduk dalam PAS. Setahu kita, Umno memang menggunakan penceramah-penceramah upahan yang diberi upah yang agaknya banyak sepadan dengan banyaknya wang Umno (dari punca mana?). Sedangkan penceramah PAS hanya dibayar tambang atau minyak kenderaan dan sedikit wang untuk minum di perjalanan. Oleh kerana PAS tidak ada tauke-tauke besar seperti Umno, kita buka peluang kepada ahli-ahli kita yang datang mendengar ceramah untuk memberi sumbangan derma. Wang itulah yang digunakan untuk perbelanjaan pengurusan ceramah itu. Bahkan banyak ceramah yang dibuat orang kata 'tak balik modal'. Itulah hakikat yang ada dalam PAS.

Ahli-ahli PAS yang sentiasa memberi sumbangan dalam setiap kali ceramah PAS tidak pernah pun bersungut dan mempertikaikan ke mana wang derma itu dibelanjakan kerana mereka sangat faham. Tiba-tiba Umno yang tidak ada kena mengena dengan derma itu cuba pula mempertikaikannya.

Malulah sikit kepada orang PAS yang mempunyai semangat pengorbanan yang sangat tinggi, walaupun kata orang sekadar 'serial samas' sahaja yang boleh mereka sumbangkan,tetapi mereka ikhlas dan berpuas hati dengan sumbangan itu.

Bagi Umno pula, semua orang maklum dari mana punca dan sumber kewangan mereka dan ke mana mereka belanjakan. PAS sendiri tidak akan pernah untuk mempertikaikannya, kecuali di sana ada unsur-unsur rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Rasa nak ketawa apabila Razif mengatakan cara berbelanja pemimpin PAS adalah mewah. Saya sangat tidak faham dengan dakwaan dangkal seperti ini. Atau mungkin beliau maksudkan itu adalah pemimpin Umno sendiri atau diri beliau sendiri yang semua orang Seberang Takir sudah tahu?

Inilah antara kenyataan awal Razif setelah dilantik oleh Ahmad Said sebagai Ketua Penerangan. Malang dan malu bagi Umno Terengganu memiliki Ketua Penerangan seperti ini. Tetapi bagi Umno Terengganu, inilah orang yang terbaik dan sangat layak untuk jawatan itu. Sangat sesuai benarlah dengan Ketuanya.

Tiada ulasan: